Friday, April 1, 2016

Pertandingan lima penjuru di Damak?

JERANTUT: Rentetan daripada beberapa peristiwa minggu ini dijangka memanaskan semula Dewan Undangan Negeri (Dun) Damak, iaitu kerusi yang dimenangi BN Pahang dengan majoriti paling kecil (64 undi) dalam pertembungan empat penjuru pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

Satu daripadanya ialah berlaku protes terang-terangan terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah oleh ahli akar umbi parti itu lantaran tidak puas hati isu calon Dun Damak pada PRU yang lalu.

Kehadiran kedua pemimpin itu ke sini baru-baru ini disambut dengan kekecohan apabila sebahagian ahli DAP bertindak membaling telur dan mencabut papan tanda Pusat Khidmat Rakyat DAP Parlimen Jerantut.

Sebelum itu Ketua Cabang PKR Jerantut, Mohamad Razali Ithnin tidak semena-mena muncul mempersenda PAS di media dengan mendakwa penubuhan blok baru antara PAS dan Ikatan sebagai sesuatu yang tiada nilai tambah. Tanpa rasa hormat, beliau menuduh PAS sudah tiada pendirian.

Kelmarin Yang Dipertua PAS Jerantut Ustaz Yohanis Ahmad pula mengisytiharkan untuk bertanding di Dun Damak dalam PRU akan datang berikutan desakan lima cawangan parti itu dalam Dun berkenaan.

Kawasan Dun Damak meliputi bandar Jerantut menganjur hingga ke sempadan Dun Benta dalam Parlimen Lipis. Di sinilah tinggalnya cucu-cicit Pawang Nong, seorang pendekar dan tabib yang tersohor dalam sejarah Pahang.

Lebih menarik lagi, dalam Dun inilah terletaknya Kampung Batu Balai di mana Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Pahang, Hamzah Jaafar berasal dari kampung berkenaan.

Pada PRU lepas Dun Damak memperlihatkan pertandingan empat penjuru yang ditandingi calon daripada Barisan Nasional (BN), PKR dan dua daripada Bebas.

PKR diwakili bekas ahli jawatankuasa PAS Kuala Krau Jamaluddin Abd Rahim yang ditarik masuk menjadi calon. Calon Bebas Koh Boon Heng (Cikgu Koh) sepatutnya bertanding atas tiket DAP, tetapi mengalah apabila Pakatan Rakyat (PR) memutuskan PKR yang bertanding di situ.

Seorang lagi calon Bebas ialah Mohd Nor Jaafar. bekas Ketua Cabang PKR Jerantut, yang pernah menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) pimpinan Datuk Zaid Ibrahim.

Keputusannya Calon BN Datuk Lee Lau mendapat 7,905 undi, diikuti Cikgu Koh (7,841 undi), calon PKR Jamaluddin Abd Rahim (2,435 undi), Mohd Nor Jaafar (174) dan majoriti 64 undi sahaja.

Kejadian baling telur oleh ahli akar umbi DAP baru-baru ini adalah berkaitan penetapan calon pada PRU itu kerana mendakwa mereka memilih Cikgu Koh sebaliknya pemimpin DAP meletakkan calon PKR sebagai mewakili PR.

“Kami kecewa kerana DAP pilih untuk letakkan calon lain sedangkan Cikgu Koh (Boon Heng) telah lama memberikan khidmat kepada masyarakat Dun Damak. Cikgu Koh mula beri khidmat pada 2009 sehingga PRU 13 namun sebaliknya mereka meletakkan calon yang tidak melakukan sebarang usaha,” kata Setiausaha DAP Jerantut Hussein Chou.

Susulan daripada itu, pihaknya berhasrat untuk membubarkan tiga cawangan DAP daerah ini iaitu cawangan Taman Sri Tahan, Taman Intan dan Bandar Inderapura di mana satu pemilihan baharu akan dibuat untuk ketiga-tiga cawangan terbabit.

Dun Damak ialah lambang perpecahan antara PKR dengan DAP. Pada PRU 2008 juga berlaku pertarungan sesama mereka, juga melibatkan Cikgu Khoh dan Mohd Nor Jaafar. Mohd Nor ialah abang kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar.

Dalam pada itu, tiada siapa yang dapat menafikan peranan PAS membantu rakan sekutunya sejak dulu lagi. Setelah tiada lagi persepakatan dengan DAP dan sikap tidak hormat oleh PKR, maka PAS kini bebas jika memilih untuk bertanding

“Ahli PAS makin bertambah di Cawangan Batu Balai. Walaupun ada beberapa kerat individu yang keluar PAS, namun diganti dgn 85 orang muka baru yang akan menjadi pendokong dan penyokong tegar PAS,” kata Yuhanis.

Berdasarkan cakap-cakap dan kehendak akar umbi, DAP dijangka akan terus meletakkan calon pada PRU akan datang kerana bagi mereka sekutu mereka dalam Pakatan baru, PKR tidak memiliki jentera pilihan raya.

Manakala PKR pula mendakwa kerusi tersebut tetap milik mereka berdasarkan status quo dan ganti kepada kerusi Dun Tanah rata yang diambil DAP pada PRU lalu.

Trebaru, Amanah juga dilaporkan dalam diam-diam memendam hasrat untuk bertanding di Damak memandangkan kerusi paling berpotensi sementelah lagi ia tanah tumpah darah ketuanya.

Dengan perisytiharan PAS untuk bertanding, juga BN yang berada dalam perpecahan parah itu juga, sudah tentu tetap turun mempertahan kerusinya.

Jika pertandingan lima penjuru ini benar-benar terjadi, inilah yang menarik untuk diperhatikan dan mungkin boleh mengundang ahli sosio-politik untuk membuat kajian.


No comments:

Post a Comment