Wednesday, April 27, 2016

Bersedia untuk pilihan raya: Nik Amar


TEMERLOH:
Naib Presiden PAS Datuk Nik Muhamad Amar Nik Abdullah meramalkan akan berlaku pilihan raya negeri (PRN) Terengganu pula selepas PRN Sarawak.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Temerloh di Darul Ansar, Lanchang Ahad lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata ini berikutan suasana kritikal di itu pada masa ini.

“Kita tunggu dan lihat,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi, Musaniff Abdul Rahman selaku pemerhati daripada Badan Perhubungan Negeri serta Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ir Khiril Nizam Khirudin.

Dalam majlis yang sama, Nik Amar turut menggambarkan tugas berat kepada para perwakilan selepas ini iaitu mempertahankan kemenangan di Parlimen Temerloh dan Dun Kuala Semantan. Jadi ini cabaran besar.

Parlimen Temerloh dimenangi buat pertama kalinya oleh PAS dalam sejarah pilihan raya. Ia juga merupakan kerusi tunggal PAS bagi parlimen di negeri Pahang.

Manakala Dun Kuala Semantan telah dimenangi PAS selama tiga penggal. Namun begitu, Adun daripada PAS iaitu Syed Hamid Syed Mohamed telah mengkhianati parti dengan bertindak keluar PAS dan menyertai parti baru.

Mengenai PRU akan datang, PAS akan bertanding di 89 kerusi yang ditandingi Umno.

“Jika PAS menang separuh sahaja daripada itu PAS sudah boleh meruntuhkan BN. Pada masa itu akan berlaku pelbagai kemungkinan. Jika menang 40 sahaja PAS akan jadi parti penentu untuk memerintah”, tegasnya.

Mengenai tarikh PRU beliau tidak menolak kemungkinan akan diadakan pada tahun hadapan memandangkan tempoh matang mandat PRU ke-13 adalah pada tahun ini.

Beliau turut mengingat pendekatan politik matang dan sejahtera (PMS) yang dipelopori PAS akan beri kesan positif pada masa akan datang tambahan dengan perpecahan Umno.

“Sebab itu saya menyeru para perwakilan untuk bekerja keras kerana Umno ssudah berada pada penghujung usia. Sama ada berdasrkan teori RAHMAN dan sebaliknya.

“Kita lihat parti-parti yang sezaman dengannya pun sudah banyak yang dah runtuh umpamanya parti Kongres di India, Golka di Indonesia, LDP di Jepun dan lain-lain lagi. Hanya Umno sahaja yang tinggal,” katanya.

Beliau turut menyentuh persoalan sokongan undi Cina kepada PAS pada masa akan datang.

Katanya, betul beberapa kerusi PAS dibantu oleh undi Cina seperti Temerloh. Tetapi kena ingat bahawa undi Melayu yang didapati oleh DAP ialah kerana adanya PAS.





No comments:

Post a Comment