Wednesday, April 6, 2016

PAS kini ‘King Maker’ dalam percaturan politik

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS kini menjadi 'King maker' dalam percaturan politik tanah air.

Berucap selaku Yang Dipertua PAS Kuala Krau, beliau menegaskan kekalutan yang melanda semua parti politik di Malaysia menyebabkan tumpuan beralih kepada peranan PAS sebagai tunggak utama dalam blok bukan kerajaan.

Tambahnya, ketegasan PAS berpegang kepada prinsip Islam telah berjaya menarik sokongan kalangan rakyat untuk melihat PAS sebagai alternatif tatkala Umno bukan lagi menjadi parti harapan rakyat khususnya orang Melayu dan masyarakat Islam yang lain.

"Kejayaan PAS mengemukakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) telah merubah pandangan politik dari kaca mata Sirah Rasulullah SAW.

"Pendekatan ini sedikit sebanyak meredakan ketegangan suhu politik negara serta tanggapan negatif masyarakat luar terhadap PAS" katanya dalam Mesyuarat Agung PAS ke-30 di Kompleks PAS Pahang, Kerdau di sini, Sabtu lalu.

Naib Presiden PAS Datuk Ir Iskandar Abdul merasmikan mesyuarat.

Tuan Ibrahim berkata, anjakan paradigma tersebut diharap menambah sokongan golongan atas pagar dan ahli Umno agar kembali bersama memperjuangkan Islam sebagai wadah politik negara.

"Wujudnya parti serpihan PAS tidak melemahkan sokongan kepada parti, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu cabaran bagi meneliti kelemahan dalaman.

"Jadi wajar diperkasakan usrah kepimpinan, tamrin di semua marhalah parti di smping Lujnah Tarbiyah dan Dakwah juga perlu merangka program pengukuhan ukhuwah di kalangan pimpinan dan ahli.

"Mujahadah perlu diperkukuhkan sehingga ketiga- tiga tonggak utama parti iaitu dakwah, tarbiyah dan siasah dapat berjalan secara seimbang," ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan parti di semua peringkat yang telah mewakafkan diri, masa, kewangan dan tenaga bagi memperjuangkan Islam.

Selain Kuala Krau, Jerantut turut mengadakan mesyuarat agung tahunan pada hari tersebut.

No comments:

Post a Comment