TEMERLOH: Seluruh ahli dan penyokong PAS serta orang ramai yang mahukan penjelasan secara langsung isu semasa tanahair, diseru hadir ke program Fastaqim 2.3 pada Sabtu ini bertempat di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.
Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, program ini penting bagi mempertegaskan bahawa PAS sentiasa serius dan bersedia untuk menerajui Pahang.
“Pada program ini akan dirangsang dan digerakkan jentera dan petugas pilihan raya PAS di semua peringkat membuat pecutan terakhir ke arah kemenangan menjelang pilihan raya umum ke 14 dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Kerana PAS Pahang bersama Gagasan Sejatera yang akan bertanding hampir semua kerusi Dun dan parlimen menyedari akan menempuh rintangan yang tidak sedikit.
“Program ini bermula dengan pelancaran pra-Fastaqim yang bermula dari Cameron Highland Sabtu lalu dan merentasi seluruh 14 parlimen di Pahang dan Sabtu ini merupakan kemuncaknya,” ujarnya.
Sementara itu program fastaqim yang dijangka akan dihadiri lebih 12,000 orang bermula jam tiga petang hingga tengah malam dan diisi dengan pelbagai acara menarik pada sebelah petang seperti konvoi PAS Teraju Pahang 300 buah motor, bicara santai bersama tokoh ilmuwan dan asatizah serta persembahan kebudayaan Pahang oleh Anak Kayan dan persembahan nasyid dari Shoutul Amal.
Selepas solat Maghrib akan disusuli dengan munajat perdana, pemasyhuran kompleks Al-Makmur. promosi Tawaran PAS Pahang, ucapan pimpinan NGO, deklarasi H12K dan acara kemuncaknya pidato daripada Mursyidul Am, presiden dan timbalan presiden.
No comments:
Post a Comment