Tuesday, February 17, 2015

PAS sedia hadapi PRK Chempaka

Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu berkata, PAS tetap bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka sama ada melalui pilihan raya kecil (PRK) atau sebaliknya.

“PAS bersedia dalam apa saja keadaan sama ada akan ada PRK Chempaka nanti menentang calon dari BN ataupun calon Bebas ataupun menang tanpa bertanding.

“Persoalan mungkin BN tidak meletakkan calon, dulupun pernah berlaku dalam PRK Penanti (Pulau Pinang),” katanya dalam sidang media selepas majlis Taklimat Tertutup antara barisan Jawatan Kuasa Harian PAS Pusat diketuai Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Jawatan Kuasa PAS Kawasan-Kawasan negeri ini di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini Ahad lalu.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai saranan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa BN tidak perlu meletakkan calon bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di negeri itu.

Pendapat tersebut turut dikongsi Ketua Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin

Sementara itu mengenai calon PAS yang akan menggantikan tempat Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Aziz Aziz Nik Mat yang meninggal dunia Ahad lalu, Mohamad berkata Perhubungan PAS Kelantan belum bermesyuarat dan begitu juga dengan PAS Pusat.

“Tunggulah, kita belum bincang lagi dan SPR juga belum umumkan kekosongan lagi,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Roslan Zainal.

Sementara itu jelajah pimpinan PAS Pusat ke seluruh negeri ini bermula dengan kuliah subuh hari ini, taklimat tertutup, jamuan rakyat di Bandar Pusat Jengka, ziarah, hi-tea dan ceramah umum serentak pada sebelah malamnya di Kuantan, Jerantut, Bera dan Kuala Krau.




Mohamad (dua, kanan) bersama Tuan Ibrahim, Suhaizan dan Roslan seusai program Taklimat Tertutup di Darul Amin Sungai Gau hari ini.


No comments:

Post a Comment