'Pemergian’ Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Khamis lalu menjadikan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) ‘kehilangan’ pemimpin besar masing-masing sejak setahun lalu.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, tahun lalu Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh telah meninggal dunia akibat terlibat dalam satu kemalangan di Perak.
Tambahnya, minggu lalu pula Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dihukum penjara selama lima tahun dalam kes liwat.
“Walaupun Anwar tidak meninggal dunia seperti Tok Guru Nik Aziz dan Karpal, tetapi PKR kehilangan pemimpin mereka kerana selepas bebas dari penjara nanti beliau tidak boleh memegang jawatan politik selama lima tahun pula.
“Tetapi ini tidak sepatutnya menjadi halangan kepada kita dalam memperjuangkan keadilan kerana keadaan dalam negara ini sudah terlampau teruk terutama dari segi ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Minum Petang Bersama Pemimpin di Taman Bukit Bendera, Mentakab dekat sini kelmarin sempena jelajah pemimpin PAS ke seluruh Pahang.
Turut berucap Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan. Hadir sama Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamed, Yang Dipertua PAS Temerloh Md Jusoh Darus dan timbalannya Hassanuddin Salim.
Kira-kira 200 orang penduduk tempatan terdiri daripada Melayu, Cina dan India turut meraikan.
Mengenai nilai wang Malaysia yang semakin merosot, Mohamad menceritakan pengalamannya pergi ke Singapura, rakyat mereka selalu berkata kepada orang kita “see you at three”.
“Kita ingatkan mereka ajak jumpa pukul tiga rupa-rupanya mereka menyindir nilai wang kita yang sangat rendah sekarang iaitu satu dolar Singapura bersamaan dengan dua ringgit tujuh puluh sen Malaysia.
“Jadi maksudnya mereka menyindir kita satu hari nanti satu dolar Singapura akan bersamaan dengan tiga ringgit Malaysia,” katanya.
Tambahnya nilai wang Malaysia turut merosot teruk jika berbanding negara Thailand dan Arab Saudi sebab itu sekarang nilai tambang untuk menunaikan umrah sahaja melonjak antara RM6,000 ke RM10,000.
~ Mohamad sedang berucap. Dari kiri Syed Hamid, Md Jusoh, Nasrudin dan Balasubramanim
No comments:
Post a Comment