Tuesday, December 17, 2013

Nasrudin ziarah dan sumbang kepada mangsa kebakaran

Kesengsaraan seorang ahli PAS dan keluarga yang tinggal sehelai sepinggang akibat rumahnya terbakar hangus, mendapat simpati dan perhatian Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hasan.

Nasrudin bersama AJK PAS Kawasan Temerloh meluangkan masa menziarah sambil menyampaikan sumbangan kepada mangsa Kelana Putera Abdul Majid 48, yang tinggal di Taman Bukit Cermin, Mentakab dekat sini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari Sabtu lalu rumahnya hangus terbakar sehingga memusnahkan semua seisi rumah termasuk persediaan persekolahan tujuh anaknya dan wang tunai lebih RM1,000.

Semasa kejadian Kelana dan isteri Hamidah Harun, 42, serta anak-anaknya tidak ada di rumah kerana sedang menghadiri dua majlis kenduri di kawasan perumahan yang sama.

Hamidah berkata, sebaik pulang dia terkejut melihat asap berkepul keluar dari rumah dan orang ramai memenuhi kawasan sambil beberapa jiran sedang menarik keluar van miliknya.

“Saya baru keluarkan wang tunai lebih RM1,000 pada hari Jumaat untuk persediaan membeli pakaian dan yuran persekolahan anak-anak.

“Semua itu hangus, sebab masa keluar kenduri saya tak bawa beg tangan dan telefon bimbit kerana kenduri di kawasan sekitar rumah saya,” katanya.

Kelana Putera berkata, semua dokumen dan pengenalan diri tidak sempat diselamatkan kerana semasa kejadian tidak ada seorang pun di rumah.

“Kami tinggal sehelai sepinggang, masa kenduri semua anak-anak saya ikut serta. Pakaian, wang tunai semua hangus dalam kejadian itu,” katanya.

Kelana Putera berkata, dia tinggal di situ sejak 1996 dan membayar RM100 sebulan kepada kerajaan negeri Pahang untuk memiliki rumah kos rendah itu pada harga RM25,000.

Katanya, kerugian sebenar akibat kejadian masih belum dapat ditaksirkan kerana bomba sedang melakukan siasatan untuk mengetahui punca dan nilai kerugian.

“Buat sementara waktu kami tinggal di sebuah rumah kosong di hadapan rumah kami,” katanya.

Turut terjejas dengan kebakaran tersebut ialah rumah seorang lagi ahli PAS, Norbawi. Bagaimanapun Norbawi sempat menyelamatkan barang-barangnya tetapi struktur rumah rosak.

CAPTION
Nasrudin menyampaikan sumbangan kepada Kelana Putra sambil disaksikan Timbalan YDP PAS Temerloh Hassanuddin Salim

No comments:

Post a Comment