Tuesday, February 13, 2018

Pemuda generasi Al-Quran teras kemenangan PAS

Oleh: MUJAHIDUL AMIN ROSLAN

TEMERLOH:
Jentera Pemuda PAS di seluruh peringkat diseru dan digesa untuk memperkemaskan diri dan organisasi dalam mempertahankan kemenangan dan menghadapi Pilihanraya Umum yang akan menjelma tidak lama lagi.

Seruan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir Hj Khiril Nizam Khairuddin dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Temerloh di Pasti Assyakirin, Taman Tualang Indah di sini Ahad lalu.

Dalam amanat itu, beliau telah menggariskan beberapa perkara yang menjadi asas kepada pembentukan generasi acuan Alquran sepertimana Nabi Muhammad membentuk generasi sahabat yang mampu mengusai dunia dan menegakkan khilafah umat Islam.

Generasi ini ujar beliau didasari dengan 3 perkara utama iaitu, yakin dengan sepenuhnya iradah (ketentuan) Allah bahawa Islam akan menang dan berkuasa, wala’ dan tsiqoh kepada dasar, kepimpinan dan keputusan jemaah dan juga sentiasa beriltizam untuk memperbaiki diri bagi menguatkan jentera dan organisasi jemaah.

“Generasi Jilul Quranul Fareq (Generasi Al-Quran Yang Unggul) ini sangat penting dalam menjana kemenangan PAS. Pemuda PAS wajib mencontohi dan berusaha untuk menjadi seperti generasi acuan tarbiah Nabi ini kerana Pemuda PAS adalah back benches utama kepada kepimpinan dan pergerakan parti,” ujar beliau dihadapan kira-kira hampir 100 perwakilan dan kepimpinan Pemuda PAS Kawasan Temerloh.

Di akhir pertemuan itu juga, beliau sempat menukilkan wasiat Mantan Timbalan Presiden PAS, Allahyarham Professor Zulkifli Muhammad yang menyatakan perjuangan PAS akan terus releven jika penggeraknya ada tiga perkara iaitu keikhlasan, kesungguhan dan perpaduan. Beliau turut menyeru agar Pemuda PAS Temerloh berusaha semaksimum mungkin dalam mempertahankan kemenangan Parlimen Temerloh selaku kemenangan tunggal Parlimen bagi PAS Pahang. Maka tugas berat ini perlu dijalankan dengan penuh disiplin dan didikasi bagi mendapatkan rahmat dan pertolongan daripada Allah.

No comments:

Post a Comment