TUNTUTAN KOS MAHKAMAH: ISUNYA HANYA HUTANG PENGHAKIMAN, NAMUN SPINNYA JADI PENGHINAAN MAHKAMAH!
Oleh: WAN ROHIMI BIN WAN DAUD, Peguam Kepada Ahli Parlimen Temerloh YB Nasrudin Bin Hassan
KUALA LUMPUR: 13 Oktober 2016
1. Saya diarah untuk merujuk dan menjawab Siaran Akhbar oleh Raja Syarafina Raja Shuib, Pegawai Khas Undang-Undang kepada Ketua Menteri Pulau Lim Guang Eng (“LGE”) bertarikh 11/10/2016 dan 12/10/2016.
2. YB Nasrudin telah pun mendepositkan sejumlah RM10,000-00 ke akaun pelanggan firma firm saya pada 12/10/2016 dan saya akan mengemukakan bayaran kepada Peguam LGE sebagaimana yang diarahkan. Maklumat pembayaran ini telah pun saya fakskan kepada Peguam LGE lewat petang semalam.
3. Isunya hanya sedikit kelewatan untuk membayar kos Mahkamah lantaran Penghakiman Persetujuan bertarikh 18/1/2016. Namun Penghakiman Persetujuan yang dimeterai oleh Mahkamah hanya diserahkan kepada pejabat saya pada 19/9/2016 (lebih 8 bulan selepas tarikh Penghakiman), dimana dalam surat yang sama Peguam LGE memberi tempoh selama 14 hari untuk menjelaskan bayaran tersebut dan tempoh tersebut berakhir pada 2/10/2016. 5 hari selepas melewati tempoh tersebut, Peguam LGE menghantar Notis Tuntutan baru bertarikh 7/10/2016 yang hanya diterima oleh pejabat saya pada 11/10/2016.
4. Serentak dengan penerimaan Notis Tuntutan Kos pada 11/10/2016 tersebut, dan belum pun difailkan apa-apa prosiding perlaksanaan (execution proceeding), Syarafina atas arahan Tuan Politiknya telah membuat siaran media bertarikh 11/10/2016 menyerang YB Nasrudin di atas isu kos Mahkamah. Kesimpulan akhir kepada Siaran Media Syarafina hanya mempunyai satu kesimpulan bahawa YB Nasrudin telah menghina Mahkamah lantaran mengingkari Perintah untuk membayar Kos – lantas cuba menanam persepsi buruk terhadap YB Nasrudin.
5. Inilah matlamat akhir siaran media Syarafina, seorang yang berpengalaman sebagai Peguam litigasi sebelum menukar kerjaya berkhidmat sebagai Pegawai Khas Undang-Undang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.
6. Melaungkan tuntutan kos di media, dengan laungan penghinaan Mahkamah terhadap Penghutang Penghakiman (Judgment Debtor), tanpa memfailkan apa-apa prosiding perlaksanaan seperti yang sepatutnya difailkan, adalah suatu amalan guaman yang tidak pernah saya dengar dalam amalan guaman, bahkan bertentangan dengan etika guaman yang sepatutnya masih dijunjung Syarafina selaku seorang Peguam, secara profesionnya! (a lawyer by profession).
7. Melaungkan penghinaan Mahkamah ke atas Penghutang Penghakiman ke seluruh alam, apatahlagi hanya berkaitan kos prosiding, tanpa mengambil langkah perundangan yang sewajarnya – adalah manifestasi ceteknya pengalaman dan seni perundangan yang dimiliki oleh seorang Pegawai yang dikhaskan untuk menjaga urusan undang-undang seorang Ketua Menteri.
8. Namun motifnya mudah ditelah – Dalam Sudah Keajukan, Dangkal Sudah Keseberangan!
9. Justeru YB Nasrudin bingkas menjawab, bukan menyerang, pada hari yang sama. Ia adalah reaksi yang sepatutnya dijangka oleh Syarafina, apabila isu kos yang hanya bersifat hutang penghakiman (judgement debt), dibiaskan sebagai perbuatan menghina mahkamah.
10. Saya sudah memaklumkan tuntutan kos ini kepada YB Nasrudin lebih awal sewaktu beliau berada diluar negara. Namun tentulah YB Nasrudin memerlukan sedikit masa untuk mengikhtiar jumlah RM10,000-00 tersebut, sekembalinya ke tanahair, lantas melewati tempoh yang diberikan. Jangan disamakan kedudukan kewangan YB Nasrudin dengan Boss Syarafina. Elaun sebagai Ahli Parlimennya sebahagian besar dilaburkan di medan siasah, mencari sekelumit syafaat jihad, buat bekalan bertemu Tuhannya.
11. YB Nasrudin hanya mampu mendiami rumah teres satu tingkat ditepi hutan, dipinggir Bandar Kuantan. Itu pun hutang! Tiada Bungalow bernilai jutaan, tiada kolam renang, dan tiada kroni untuk menderma jutaan, dalam masa sejam! Justeru kelewatan seminggu seharusnya dimaafkan! Tiadalah perlu dikokok kesekelian alam, melainkan tindakan Syarafina hanya menyerlahkan keterdesakan desperado, walau untuk apa pun tujuan, termasuk untuk memberikan (membayar) Peguam! Janganlah disamakan pemilik bungalow jutaan walau tanpa kolam, dengan setinggan yang saban hari dihalau tiada berpulang!
12. Saya dan Syarafina sama-sama peguam. Sama-sama faham. Amalannya setiap tuntutan hutang penghakiman hendaklah didahului dengan serahan Perintah/Penghakiman yang dimeterai, terhadap Penghutang Penghakiman. Jika masih ingkar, prosiding perlaksanaan (dalam bentuk prosiding saman penghutang penghakiman, garnisi, sitaan atau lain-lain) perlu difailkan. Sebab itu tidak ditimbulkan isu kos RM500 yang perlu dibayar oleh LGE sejak 19/9/2014 dan kos permohonan yang ditolak pada 20/4/2015, berjumlah RM2,000-00, kerana tiada Perintah termeterai diserahkan oleh mana-mana pihak. Asas ini difahami semua Peguam, termasuk Syarafina, sepatutnya!
13. Namun sebagai menjawab persepsi buruk yang cuba ditanam oleh Syarafina, yang cuba menggambarkan bahawa YB Nasrudin telah “menghina mahkamah lantaran keingkaran mematuhi perintah mahkamah”, YB Nasrudin menyebut, JIKA logik sedemikian digunapakai oleh Syarafina, maka beliau seharusnya menggunakan logik yang sama untuk mengingatkan bossnya bahawa LGE telah terlebih dahulu (atau juga) menghina Mahkamah kerana ingkar membayar kos RM500 sejak 19/9/2014. Jika logik Syarafina diterima, ia juga terpakai ke atas LGE! Kecil atau besar jumlah tiada perbezaan, ia tetap satu Perintah! Mudah bukan? What you give is what you get back! Sayang, Syarafina kelihatan terlalu naif untuk memahami sindiran semudah itu.
14. Mudah saja untuk mencongak logik Syarafina. YB Nasrudin tidak bayar kos = hina Mahkamah! LGE tak bayar kos = tidak hina Mahkamah sebab tak tuntut! Kalau ingkar itu menghina, MAKA semua Penghakiman Ingkar Kehadiran (JID) perlu dikenakan committal proceedings dan contempt of Court. Nampak gaya penghutang penghakiman yang gagal membayar hutang kredit kad, semuanya boleh disumbat ke penjara kerana menghina Mahkamah! Itulah tafsiran undang-undang Syarafina. Kesian!
15. Terima kasihlah kerana melahirkan rasa “terharu” apabila disekolahkan oleh YB Nasrudin, yang tiada latar perundangan, tentang beza liabiliti sivil hutang penghakiman dan penghinaan mahkamah.
16. Disinilah beza dan kematangan YB Nasrudin, berbanding Syarafina. YB Nasrudin sedar hakikat beliau seorang yang tiada berpengetahuan tentang undang-undang, lantas belajar dan bertanya dari yang lebih arif. Namun Syarafina, walau berbekal pengalaman sebagai Peguam litigasi, memilih mengambil ringan kesan dan efek perundangan atas penggunaan terma yang songsang. Tiada perlulah merengek diserang, resminya bila menepuk air di dulang, pasti akan terpercik ke muka sendiri!
17. Mengapa memilih “tanpa mengambil kira pemakaian terma-terma undang-undang”?. Bukankah siaran akhbar Syarafina bertarikh 11/10/2016 itu pada hujungnya memberi kesimpulan kepada kesan perundangan? Cuba memberi persepsi buruk yang dibiaskan jauh dari hakikat perundangan? Jangan hanya bila terbedal hidung sendiri, baru terngadah ke susur air!
18. Nasihat saya, jika Syarafina ingin menjadi Pegawai Undang-Undang yang lebih diyakini Ketua Menteri, kembalilah mentelaah kitab undang-undang. Jumlah Penghakiman, Kos Prosiding atau apa-apa yang diperintah bayar oleh Mahkamah – namanya Hutang Penghakiman. Sifatnya liabiliti sivil. Cara menguatkuasakannya terkandung secara khususnya melalui Aturan 45 - 50 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Manakala “penghinaan kepada apa-apa perintah Mahkamah” disebut sebagai contempt. Sifatnya adalah quasi criminal! Litigan yang menghina Mahkamah boleh dihukum sebagaimana kesalahan jenayah (penjara, denda, atau keduanya atau amaran). Aturan 52 KM 2012 memberikan peruntukan khusus bagi prosiding menghina Mahkamah dan hukumannya. Justeru bacalah! Baca dan tadabbur sebelum memalit lumpur ke muka sendiri.
19. Kenapa kaedah menguatkuasakan hutang penghakiman dan penghinaan Mahkamah mempunyai perbezaan? Sebabnya kedua-duanya berbeza, seperti yang disebut YB Nasrudin. Satu sivil, satu lagi quasi criminal. Justeru kos mahkamah, secara literalnya, atau kontekstualnya, tersurat atau tersiratnya TIDAK terjumlah kepada penghinaan mahkamah! Justeru siapa yang ingin menegakkan benang yang basah? Jangan nanti, mengata dulang si paku serpih!
20. Penzahiran kekesalan dan tuntutan kos adalah 2 perkara berbeza. Penzahiran itu, tanpa permohonan maaf (public apology), telah dibuat dalam prosiding Mahkamah Terbuka pada 18/1/2016. Ia sudah selesai! Sifatnya pada masa kini adalah akademik. Tuntutan kos adalah hutang penghakiman, justeru bayarnya terkemudian, mengikut saluran dan proses undang-undang. Justeru tiadalah perlu dicampur-aduk gula dan garam, jika rasa manisan yang diinginkan!
21. LGE nak tuntut lagi kos RM2,000? Tuntutlah, kerana itu haknya! Namun tuntutlah dengan prosesnya yang betul. Nasihatilah dia sewajarnya. Usahlah berkokok riuh sekampong, telurnya tiada kelihatan!
Sekian.
No comments:
Post a Comment