Friday, September 11, 2015

Syed Hamid didesak lepas kerusi Kuala Semantan

Pengumuman Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamed kelmarin yang keluar daripada PAS, mendapat reaksi keras daripada kepimpinan PAS Pahang.

Serentak dengan itu, beliau yang memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum (PRU) lalu atas tiket PAS diminta menyerahkan kembali kerusi tersebut dengan cara meletakkan jawatan.

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, ia seiring dengan arahan PAS Pusat dan juga dari sudut moral di mana wakil rakyat PAS yang keluar parti seharusnya mengosongkan kerusi masing-masing.

“PAS Pahang mengunapakai pendirian PAS Pusat bahawa mana-mana wakil rakyat yang memenangi pilihan raya apabila keluar daripada PAS, mereka menyerahkan kembali jawatan mereka.

“Ini kerana sebelum bertanding dulu calon-calon PAS dikehendaki menandatangani borang watikah yang mengandungi tuntutan berkenaan,” katanya.

Rosli berkata demikian mengulas pengumuman Syed Hamid Syed Mohamed, 63, yang mengumumkan keluar daripada PAS dan menyertai parti pekerja (yang diasaskan oleh pimpinan PAS Pusat yang tewas pada muktamar tahun ini) dalam satu sidang media semalam sebaliknya mengekalkan kedudukannya sebagai Adun Kuala Semantan.

Media turut menyiarkan pengumuman tersebut. Turut hadir, pengerusi parti pekrja Pahang Dr Hamzah Jaafar.

Syed Hamid sebelum ini telah menunjukkan kecenderungan untuk meninggalkan PAS apabila hadir pada kebanyakan program Pasma, G 18, GHB dan kini Parti Amanah Negara yang mengambil alih Parti Pekerja Malaysia

“Dari sudut moral juga beliau wajar meletak jawatan sebab kita telah berbaiah iaitu satu ikrar kalau sekiranya kita khianat akan mendapat laknat Allah dan segala makhluk yang melaknat,” ujarnya.

Sumpah baiah tersebut secara jelas menekankan perlunya menanggung amanah dan jika mengkhianatinya secara jelas akan dilaknat Allah. Namun ia tidak meletakkan baiah isteri talak tiga sebagaimana ditambah oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat bagi calon-calon PAS di Kelantan.

Dari segi moral, tindakan Syed Hamid dilihat mengkhianati pengundi-pengundi di Dun Kuala Semantan yang mahukan PAS di situ. PAS kali pertama memenangi kerusi tersebut pada PRU 1999 melalui Ustaz Idris Omar.

Pada PRU lalu PAS memenangi tiga kerusi Dun daripada 21 yang ditandingi di negeri ini.

Kerusi tersebut ialah Tanjung Lumpur (Rosli Abdul Jabar), Beserah (Andansura Rabu) dan Kuala Semantan (Syed Hamid Syed Mohamed).

Syed Hamid telah memenanginya untuk penggal kedua. Pada 2008, beliau memenangi dengan mengalahkan Khairudin Manan.

Nama Syed Hamid pada mulanya diketepikan pada PRU 13 2013 lalu atas sebab-sebab tertentu, namun keputusan tersebut telah menimbulkan ‘bantahan’ besar daripada pengikut-pengikutnya sehingga pada satu ketika Pesuruhjaya PAS Pahang pada masa itu Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, ‘diserang’ dalam satu majlis.

Kekecohan tersebut menyebabkan nama Syed Hamid dicalonkan semula dan menang mengalahkan calon BN daripada Umno Mohd Anuar Yunus.

No comments:

Post a Comment