Thursday, May 21, 2015

Sungai Jelai, Tembeling keruh PAS gesa Jas bertindak

PAS Pahang semalam menghantar memorandum kepada Jabatan Alam Sekitar (Jas) bagi menuntut jabatan tersebut menangani isu pencemaran dan fenomena luar biasa air sungai keruh terutama di sebelah hulu negeri ini.

Ini berikutan kekeruhan air Sungai Jelai dan Tembeling, menyebabkan sering berlaku gangguan bekalan air di beberapa loji pemprosesan ekoran bacaannya melebihi 1000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) sehingga menyusahkan orang ramai.

Menurut memorandum berkenaan, kekeruhan luar biasa di kawasan hulu lembangan Sungai Pahang itu adalah ekoran kerosakan alam sekitar yang serius sehingga menjejaskan kualiti air yang sudah sekian lama.

Antara punca disebutkan ialah pembalakan tidak terkawal, perlombongan biijih besi dan emas, pembukaan rakus hutan untuk perladangan, pembangunan tidak terkawal di Cameron Highland serta pembuangan sisa cecair dari kawasan industri.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang yang juga Adun Beserah Andansura Rabu kepada pegawai Jas Mohd Lokman Osman. Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Md Jusoh Darus, Setiausaha Perhubungan PAS Pahang Roslan Zainal, Yang Dipertua PAS Kawasan (YDP) Lipis Roslan Harun, YDP Cameron Highlands Ustaz Abdul Karim Nor dan YDP Raub Dr Mohd Nilam Manaf.

Sementara itu dalam sidang medianya Andansura menggesa Jas mengambil beberapa tindakan drastik antaranya membuat lawatan mengejut bagi mengenal pasti punca pencemaran dan kekeruhan teruk sungai-sungai yang dinyatakan.

Katanya, Jas juga diminta menguatkuasakan undang-undang sedia ada berkaitan penjagaan kualiti alam sekitar di mana pesalah hendaklah diambil tindakan dan hukuman supaya menjadi teladan.

“Jas hendaklah mengetuai pemantauan berkala dan bersepadu bersama agensi-agensi yang berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Jas juga diminta menyediakan pelan pemulihan dan penjernihan semula air Sungai Pahang dalam masa terdekat supaya dapat dimanfaatkan untuk aktiviti industri ikan air tawar dan ekopelancongan selain sebagai sumber bekalan air bersih.

“Jas juga mestilah memastikan penanaman semula hutan di semua kawasan yang telah dibuka untuk pembalakan atau yang telah diceroboh oleh penjenayah alam sekitar,” katanya.

Tambahnya lagi, Jas juga mestilah menggerakkan kempen aktif dan berterusan bagi menerang dan mendidik semua segmen masyarakat mengenai kepentingan memulihara alam sekitar.

CAPTION
Andansura menyerahkan memorandum kepada Mohd Lokman

No comments:

Post a Comment