Monday, January 19, 2015

Bah besar: PAS saran persediaan awal

Kerajaan disaran melakukan beberapa persediaan khusus bagi menghadapi bah besar pada masa akan datang supaya tidak berlaku panik dan demi untuk keselesaan mangsa-mangsa banjir.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, musibah seperti ini hampir setiap tahun berlaku cuma bezanya besar atau kecil saja justeru pihak kerajaan sepatutnya sudah boleh menjangkakan keperluan-keperluan asas untuk mangsa.

Tanpa menafikan bah kali ini luar biasa dan hanya berlaku 43 tahun yang lalu (1971), Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata, sudah sampai masanya pihak kerajaan melakukan persediaan umpamanya sistem khemah besar yang lebih selesa dibuka di padang-padang awam.

Katanya, tindakan ini boleh dilakukan lebih awal sebelum kedatangan musim monsun dan tidak ada masalah kerana maklumat dan ramalan jumlah hujan boleh diperolehi daripada Jabatan Meteorologi.

Tambahnya lagi, sistem pemusatan awal seperti ini dapat mengelakkan daripada mangsa menghadapi terputus bekalan seperti berlaku di banyak pusat pemindahan baru-baru ini ekoran terputus hubungan pengangkutan.

“Pihak kami menerima banyak rungutan di pusat-pusat pemindahan yang disediakan secara terdesak, didapati tiada privasi kerana tiada partisyen sekali gus makin menimbulkan kerumitan kepada mangsa.

“Umpamanya perempuan dan lelaki duduk setempat kemudian kaum ibu nak tukar baju pun payah. Begitu juga sembahyang. Bilik air dan tandas tak cukup. Kalau dewan itu ada lima bilik air, lima itulah walaupun ada beribu orang berpindah ke situ. Jadi sepatutnya bila berlaku begini pastikan tandas awam bergerak ditempatkan di situ,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika melawat dan menyumbangkan barang bantuan kepada pondok pengajian Addiniah Islamiah Kampung Paya Jauh Temerloh.

Kawasan yang menempatkan 150 pelajar dan warga tua tersebut antara paling tenat menerima kesan bah besar yang baru surut minggu lalu mengakibatkan hampir 80 peratus kediaman pelajar rosak dan terbalik.

Mengenai pusat-pusat perpindahan yang sesetengahnya masih dibuka sehingga kini kerana banjir belum surut sepenuhnya, didapati tidak ada pengisian rohani diprogramkan kepada mangsa sejak daripada mula.

“Ini menyebabkan berlaku kekososongan. Kita faham yang tinggal di situ sedang berada dalam kekecewaan dan berdukacita. Mungkin pihak berkuasa agama ataupun badan-badan NGO Islam boleh diberi ruang untuk membuat pengisian.

“Maknanya ada sembahyang berjamaah, sembahyang hajat dan tazkirah supaya sabar, reda dengan apa yang berlaku supaya tidak merasa terlalu kecewa. Musibah banjir ini adalah ujian Allah yang menuntut kesabaran. Kalau waktu ini manusia tak insaf maka tidak ada lagilah waktu lain,” ujarnya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas, sukarelawan dan dermawan di seluruh negara.

Katanya, beliau kagum dengan semangat dan keprihatinan mereka di mana beliau hantar sahaja mesej memerlukan bantuan pada sebelah pagi, sebelah petangnya berlori-lori barang sampai ke pusat bantuan.

Menurutnya, apabila berlaku sahaja banjir petugas dan sukarelawan berlumba-lumba datang dengan bantuan dan pada masa ini masih ramai tenaga dari luar datang membantu kerja-kerja pasca banjir seperti pembersihan.

Mengenai persediaan akan datang, Tuan Ibrahim berkata, PAS Pahang sendiri akan menyiapkan kelengkapan asas seperti bot laju dan kemudahan-kemudahan lain supaya apabila petugas-petugas datang dari seluruh negara semuanya sudah boleh mengagih kerja terutamanya ke tempat-tempat yang kritikal.



No comments:

Post a Comment