Tuesday, March 11, 2014

Pembinaan Kompleks Al-Makmur bermula

Pembinaan Kompleks Al-Makmur iaitu pusat pentadbiran, tarbiyah dan dewan berhimpun PAS Pahang, sudah bermula dengan kerja-kerja mengukur sempadan dan penyediaan tapak.

Pengarah projek Musaniff Abdul Rahman berkata, kompleks yang terletak di Kerdau itu terbahagi kepada dua fasa iaitu mengandungi dewan dan bangunan pentadbiran.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pahang berkata, pada masa ini pembinaan akan ditumpukan kepada pembinaan dewan dua tingkat bernilai RM4 juta berukuran 108 kaki darab 208 kaki yang apabila siap mampu menempatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.

“Kerja-kerja sedang dilaksanakan oleh kontraktor iaitu Rangkai Makmur Enterprise, yang dipilih secara tender terbuka akan menyiapkan kerja-kerja tanah (ground work) dan tapak sehingga aras lantai terlebih dulu yang bernilai RM500 ribu dan dijangkakan siap Julai ini.

“Selepas itu akan disambung pula kerja-kerja memasang kerangka struktur besi bangunan
dewan utama yang menelan belanja RM1.5 juta dan dijangka siap September tahun ini juga.

“Kemudiannya kerja-kerja akhir menyiapkan bangunan dengan anggaran kos RM1 juta. Akhirnya akan disempurnakan dengan kerja-kerja pendawaian elektrik, pendingin hawa dan bekalan air (MNE) dengan tambahan kos RM1 juta lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi tapak pembinaan.

Menurutnya, jika tiada aral melintang dewan bernilai RM4 juta itu akan siap pada Mac 2015.

Musaniff dalam pada itu berkata, idea pembinaan Kompleks Al-Makmur dicetuskan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kira-kira dua tahun lalu memandangkan kebanyakan PAS negeri-negeri lain sudah memiliki kompleks sendiri sehingga boleh diadakan Muktamar Agung Tahunan.

“Kebetulan PAS Pahang mempunyai tanah seluas 8 ekar yang berkedudukan amat strategik berhampiran jalan besar Temerloh-Jerantut dan hanya lima minit perjalanan keluar dari Tol Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur.

“Walau bagaimanapun, PAS Pahang masih amat memerlukan sumbangan dan infak daripada semua pihak bagi menjayakan cita-cita besar ini,” rayunya.

Bagi sesiapa yang sudi menghulur derma di samping mendapat pahala sedekah jariah, bolehlah memasukkan wang sumbangan ke akaun Maybank Islamik 5560 5750 4469 atas nama Pembangunan Komples Al Makmur.

Sebarang kemusykilan boleh hubungi pejabat PAS Pahang 09 2965143.

CAPTION
~ Gambaran pelukis Kompleks Al-Makmur

~ Musaniff dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Md Jusoh Darus sedang melihat kerja-kerja mengukur sempadan tapak kompleks

No comments:

Post a Comment