Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar turut merasa amat dukacita dan bersedih di atas kehilangan penuh misteri pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak Sabtu lepas.
SAMM Muar juga berkongsi kesedihan anggota keluarga dan sanak saudara penumpang dan anak kapal MH370. SAMM Muar sentiasa mendoakan agar keselamatan penumpang dan anak kapal sentiasa dipelihara Yang Maha Esa dan mengharapkan agar petunjuk-petunjuk yang dapat menyelesaikan krisis ini segera diperolehi. SAMM Muar juga berkongsi kesedihan anggota keluarga dan sanak saudara penumpang dan anak kapal MH370.
Sambil menghargai usaha dan tindakan pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dan juga agensi-agensi lain dari dalam Negara dan antarabangsa, SAMM Muar juga ingin menarik persoalan bagaimana keadaan sistem pintu masuk sempadan Negara masih mudah dibolosi.
Bukanlah satu rahsia lagi, dalam krisis MH370 ini dua passport yang telah dilaporkan hilang oleh warga Itali dan Austria dapat membolosi dan menaiki pesawat malang tersebut. SAMM Muar menolak untuk mengaitkan sebarang spekulasi atau membuat rumusan awal mengenai teori mengapa dua individu tidak beridentiti ini menggunakan passport tersebut tetapi lebih kepada menarik perhatian mengenai tahap keselamatan kawalan pintu masuk sempadan Negara.
Beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat bagaimana mudahnya pintu sempadan Negara ditembusi sama ada oleh individu, senjata api, dadah atau juga sindiket pemerdagangan manusia dan lain-lain.
SAMM Muar pernah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 5 Ogos 2013 yang menekankan betapa perlunya Kerajaan Pemerintah mengambil berat dan memandang serius mengenai tahap keselamatan dan kebocoran yang berlaku di pintu-pintu masuk sempadan Negara.
SAMM Muar juga mengambil maklum bahawa Yang Berhormat Saudara Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Kawasan Bakri pernah cuba untuk membawa usul berhubung kawalan pintu sempadan Negara pada 15 Jun 2011 sewaktu kejadian warga Singapura yang ditahan sewaktu cuba memasuki kembali Negara mereka selepas menjamu selera di Bandaraya Johor Bahru ketika itu.
Kes itu telah menunjukkan secara jelas bagaimana tahap keselamatan pintu sempadan Negara sehinggakan dua wanita tersebut boleh memasuki Negara kita tanpa dicop passport mereka oleh Imigresen.
Kerajaan Pemerintah tidak pernah mengambil berat dan serius berhubung perkara ini. Seharusnya apabila terjadi kejadian seperti kes warga Singapura dan juga penyeludupan dadah dan senjata api, Kerajaan Pemerintah lebih peka dan menilai semula tahap keselamatan pintu sempadan. Tambahan lagi, mencegah adalah lebih baik dari merawat.
Dan kini, Perdana Menteri baru tersedar dari mimpi apabila terjadinya krisis malang ini dan baru hendak mengarahkan protocol keselamatan di KLIA disemak semula. Ia seharusnya dilakukan secara berkala semenjak daripada terjadi kes 2 warga Singapura itu.
Pemeriksaan mengejut terhadap pegawai-pegawai yang menjaga pintu sempadan Negara ini harus dilaksanakan untuk memastikan mereka tidak cuai dan lalai hingga terjadi perkara-perkara seperti ini. Membolosi pintu sempadan Negara dengan mudah tidak memberikan reputasi baik kepada Negara apatah lagi kita sekarang berada di dalam Tahun Melawat Malaysia 2014.
Segala peruntukan dan perbelanjaan besar yang telah dikeluarkan bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 akan menjadi sia-sia sekiranya tahap keselamatan pintu sempadan Negara kita masih menjadi persoalan. Siapa yang ingin memperjudikan nyawa dan nasib mereka dengan menaiki pesawat daripada sebuah Negara yang mudah lolos seperti ini?
SAMM Muar masih terus berdoa dan mengharapkan agar pesawat MH370 ini tidak diancam oleh pengganas atau sebarang unsur-unsur seperti itu. SAMM Muar masih mengharapkan krisis ini akan berakhir dengan baik tanpa ada satu isu keselamatan antarabangsa yang akan menghakis potensi kita dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014. Namun, persoalan tahap keselamatan pintu sempadan negara perlu diberi perhatian yang serius.
Sekian,
Saiden Muslimin Ismail
Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar
No comments:
Post a Comment