Friday, January 10, 2014

Pemuda mahu Harussani disiasat Akta Hasutan


TEMERLOH: Berikutan kenyataan mengelirukan oleh Tan Sri Harussani Zakaria dalam isu bughah dan halal darah, Dewan Pemuda PAS Kawasan Temerloh mahu Mufti Perak itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda Kawasan Fairuz Hisham Nordin di Balai Polis Temerloh hari ini dan turut dihadiri Yang Dipertua Kawasan Md Jusoh Darus dan timbalannya Hassanuddin Salim.

Fairuz dalam laporannya menyatakan, kenyataan Harussani yang ditujukan kepada rakyat negara ini yang menyertai himpunan Turun pada 31 Disember lalu boleh menyebabkan masyarakat menyalah tafsir kenyataan tersebut sebagai fatwa.

“Dengan demikian kenyataan bersifat peribadi itu boleh memberi kesan negatif kepada rakyat negara ini untuk melakukan pembunuhan, pertumpahan darah dan ketegangan di kalangan masyarakat.

“Kalau ini berlaku keselamatan negara akan terjejas. Sedangkan tidak ada di dalam mana-mana peruntukan undang-undang boleh mengambil nyawa seseorang hanya menghadiri perhimpunan untuk menunjukkan tanda protes kenaikan harga barang yang mengancam kehidupan mereka.

“Tambahan pula, perhimpunan Turun pada tarikh tersebut adalah perhimpunan aman yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, bukan langsung untuk menggulingkan kerajaan,” katanya.

Turut ditunjukkan ialah keratan beberapa akhbar yang menyiarkan kenyataan Harussani itu.

Fairuz berkata, Pemuda berharap satu siasatan yang terperinci dapat dilakukan oleh pihak polis demi kepentingan awam.

Tambahnya, Pemuda amat menghormati institusi mufti di negara ini namun mereka sendiri mestilah lebuh cermat dalam menghukum seseorang atau mana-mana kumpulan.


Fairuz dan Hassanuddin (tengah) menunjukkan laporan polis yang menggesa Harussani disiasat di bawah Akta Hasutan.

No comments:

Post a Comment