Saturday, January 25, 2014

TAPAK MASJID ANTARA TERAWAL DI PAHANG DITEMUI!

Masjid berkenaan ialah masjid Tok Mengkarak di Kampung Mengkarak, Bera. Ia terletak di antara muara Sungai Mengkarak dengan tebing Sungai Pahang. Tok Mengkarak atau namanya disebut Imam Nur Al Qadim anak kepada Imam Nur Al Bayan, dipercayai yang awal bertanggungjawab membawa dan mengembangkan agama Islam di sebelah Pahang tengah.

Datang dengan empat beradik ke Semennajung Tanah Melayu dari Tanah Minang, beliau membuka satu tempat dengan nama Kampung Mengkarak, mengambil sempena nama tempat asalnya iaitu Danau Singkarak (yang katanya dari segi geografinya seakan-akan serupa dengan kampung asalnya).

Lokasi penempatan yang dibuka oleh Tok Mengkarak itu, betul betul terletak di tanjung Sungai Pahang yang paling selatan (jika merujuk peta negeri Pahang) dan keunikan ini menjadikan aliran Sungai Pahang seperti berbentuk huruf U.

Tapak masjid asal Tok Mengkarak ini hanya tinggal kenangan, kerana yang tinggal sekadar batu-batu yang ditemui dalam tanah. Ketua Kampung Mengkarak Tok Empat Rosli berkata, kawasan tapak masjid sering dilanda banjir menyebabkan kesan-kesan sejarah menjadi hilang. Menurut Rosli, selepas masjid Tok Mengkarak itu ada satu lagi masjid yang didirikan agak ke darat sedikit, juga sudah diruntuhkan dan kayu-kayunya diwakafkan ke pondok Bukit Keledang. Masjid Mengkarak yang ada ini merupakan masjid ketiga dalam sejarah Mengkarak.

Turut hadir dua orang ahli Persatuan Sejarah Pahang iaitu Haji Alang dan Abdul Aziz.

Penghijrahan Tok Mengkarak berkaitan semasa kegemilangan (sekitar tahun 1620an) Kerajaan Kesultanan Pagar Ruyung di Pulau Sumetra, berlaku pertentangan aliran fahaman tarikah dalam pengembangan agama Islam. Kumpulan pendakwah yang lebih berfahaman ekstrem dalam bidang tauhid telah meletakan tarikat Martabat 7 sebagai dasar utama amalan agama Islam. merupakan pendakwah dan pengamal tarikat ini yang mendapat penentangan daripada Sultan Iskandar Muda Thani (Sultan Pagar Ruyung ).

Berdasarkan catatan sejarah itu, baginda sultan telah mengeluarkan titah untuk menangkap, membunuh pengikut Martabat 7 selain membakar semua kitab-kitab yang digunakan.

Menyedari ancaman ini, Iman Nur Al Bayan dan anak-anaknya serta pengikut-pengikut yang setia telah berhijrah ke Tanah Melayu untuk mempertahankan ajaran yang dianuti serta mengembangkan Islam ke Tanah Melayu terutama untuk kawasan pendalaman negeri Pahang.

Penghijrahan ini juga melibatkan waris kesultanan Pagar Ruyung yang merasa terancam dengan kuasa Sultan yang memerintah. (ada dakwaan bahawa kumpulan ini merupakan waris kesultanan Pagar Ruyung yang dipinggirkan dan dengan silsilah kesultanan ini mereka telah mendapat tempat sebagai pemimpin atau pemerintah di tempat tempat yang tertentu. Contohnya, hubungkait dengan salasilah kesultanan Seri Menanti di Negeri Sembilan, kesultanan Maharaja Perba Jelai di Lipis dan perkaitan dengan salasilah keluarga di Pekan, Chenor dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment