Tuesday, March 26, 2013

PRU 13: PR Pahang akan buat kejutan

PAS Pahang sekali lagi diberi kepercayaan menerajui Pakatan Rakyat (PR) negeri ini apabila diberi peluang bertanding 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Daripada keseluruhan 42 Dun, DAP bertanding 7 manakala selebihnya (14) ditandingi PKR selepas selesai agihan kerusi peringkat PR Pahang.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pahang (JPN) Cikgu Abdul Majid Hasan, Dun-Dun yang akan ditandingi PAS ialah N2 Jelai, N3 Padang Tengku, N8 Dong, N9 Tahan, N11 Pulau Tawar, N12 Beserah, N15 Tanjung Lumpur, N16 Inderapura, N17 Sungai Lembing, N19 Panching, N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N24 Luit, N26 Chenor, N28 Kerdau, N29 Jengka, N32 Kuala Semantan, N36 Pelangai, N37 Guai, N40 Bukit Ibam dan N42 Tioman.

Bagi mengetuai cabaran tersebut, PAS dijangka menampilkan lebih 50 peratus muka baru iaitu terdiri daripada ulamak muda lulusan Timur Tengah dan profesional dalam pelbagai bidang. Antaranya di Pulau Tawar, Inderapura, Luit, Kerdau, Beserah, Sungai Lembing dan Chenor.

Melihat kepada faktor Pahang tidak terkena tempias tsunami politik 2008, negeri Perdana Menteri dan menempatkan majoriti besar pengundi Melayu, tidak ramai penganalisis yang berani meletakkan PR akan berjaya mencipta sejarah pada PRU 13. Namun menurut Abdul Majid, berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir, tidak mustahil PR mampu membuat kejutan.

Antara lain ialah kelemahan kerajaan BN Pahang dalam menangani isu-isu rakyat, kebangkitan rakyat yang celik maklumat dan swing pengundi Cina yang dijangka meningkat sehingga 80 peratus.

Satu faktor lagi, terdapat 25 Dun mengandungi kawasan tanah rancangan Felda. Dengan pelbagai isu yang menghantui serta kesedaran warga peneroka dijangka boleh menyumbang ke arah kemenangan PR.

Pada ketika ini empat Dun sudah dimenangi PR iaitu dua oleh PAS di Kuala Semantan dan Beserah serta dua oleh DAP iaitu di Triang dan Tras. Kedua-dua parti dijangka tiak menghadapi sebarang masalah untuk mengembalikan semua kerusi masing-masing.

Namun yang menariknya terdapat 8 Dun di mana PR hanya kalah di bawah 1,000 undi pada PRU yang lalu iaitu Sabai (145), Teruntum (293), Tanjung Lumpur (496), Damak (509), Tanah Rata ( 575), Jengka (596), Inderapura (873) dan
Ketari (882).

Manakala 8 Dun lagi majoriti kekalahannya di bawah 1,500 ialah Luit (1,068), Bilut (1,108), Padang Tengku (1,188), Cheka (1,280), Tahan (1,357), Benta (1,358), Jenderak (1,374) dan Panching (1,444).

Abdul Majid berkata, jika terdapat swing (lonjakan) kurang daripada 5 peratus sahaja trend pengundian terdahulu meningkat ke arah PR, bermakna Dun-Dun Guai (1,941), Semambu (2,136), Lanchang (2,139) Batu Talam (2,415) dan Mentakab (2,439) akan jatuh ke tangan PR sekali gus mendapat majoriti mudah untuk ke Wisma Sri Pahang.

“Itu yang saya katakan PR mungkin boleh membuat kejutan berdasarkan terlalu banyak kelemahan kerajaan BN Pahang dalam menangani isu-isu air dan tanah, muncul aktivitis media baru serta peningkatan sokongan pengundi Cina terutama selepas isu Lynas.

“Bagaimanapun saya masih menekankan faktor utama kemenangan ialah jentera pilihan raya yang bertugas di segenap unit peti undi serta jentera kempen selain daripada bertawakal sepenuhnya kepada Allah,” katanya.


Perlu hanya 5 % untuk simple majoriti


Lonjakan lima peratus yang dikehendaki itu tidak mustahil boleh diperolehi PR berdasarkan peningkatan yang sama diperolehi pada PRU 2008 berbanding PRU 2004.

Bagi kerusi parlimen di Pahang pula, Abdul Majid berkata PAS akan bertanding enam daripada 14 iaitu Jerantut, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Bera dan Rompin. PKR kekal bertanding di Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar, Pekan dan Lipis. Sementara DAP kekal di kerusi tradisinya Cameron Highlands, Raub dan Bentong.

Tambah Abdul Majid, Pahang bakal menyumbangkan sekurang-kurangnya lima kerusi parlimen bagi membantu PR ke Putraja iaitu mengekalkan Indera Mahkota dan Kuantan. Manakala Jerantut, Raub dan Temerloh juga, dengan izin Allah, akan jatuh ke tangan PR. Katanya, kajian dari pihak BN sendiri yang diperolehi demikian.

Menurut angka terbaru jumlah pemilih pada PRU 13 di Pahang seperti dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah 727,047 orang iaitu meningkat lebih 20 peratus (603,242) dari tahun 2008.

Pecahannya mengikut kawasan parlimen ialah P078 Cameron Highlands (27,774), P079 Lipis (32,005), P080 Raub (53,802), P081 Jerantut (57,774), P082 Indera Mahkota (63, 419), P083 Kuantan (55,577), P084 Paya Besar (47,465), P085 Pekan (79,721), P086 Maran (37,875), P087 Kuala Krau (42,415), P088 Temerloh (65,308), P089 Bentong (61,335), P090 Bera (50,513) dan P091 Rompin (52,064).

Paratusan bagi pecahan kaum pula ialah Melayu 72%, Cina 22% dan India 6%. Yang menakjubkan ialah lebih 45% pengundi adalah yang berusia antara 21 tahun hingga ke 40 tahun. Menggambarkan pengundi kali ini lebih bermaklumat.


Calon mantap cabar BN


Bagi calon-calon pula, belum ada pengumuman rasmi meskipun tarikh pilihan raya semakin hampir. Namun begitu, pemimpin tertinggi PAS Pahang dijangka terus kekal bertanding di kerusi masing-masing iaitu Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Dun Jengka, Ustaz Yusof Embong di Dun Panching dan Dr Hamzah Jaafar di Parlimen Jerantut.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Dato’ Fauzi Abdul Rahman dijangka bertanding di Parlimen Indera Mahkota menggantikan Azan Ismail yang berpindah ke Terengganu. Sementara Leong Ngah Ngah yang diberi jolokan ‘Lee Lam Thye Pahang’ dijangka beralih ke Ketari. Manakala Dun Triang yang dimenanginya selama lima penggal akan diserahkan kepada Setiausaha Organisasinya Lee Chin Chen.

Pengerusi Himpunan Hijau Anti Lynas, Wong Tack dikhabarkan akan bertanding di Bentong atas tiket DAP.

Rata-rata menyebut, PR masuk bertanding PRU kali ini lebih bersedia. Ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat diadakan di Kerdau tahun lalu, berjaya dihimpunkan. Pada hari tersebutlah diumumkan tawaran PR Pahang 6 + 3 yang jika betul-betul disampaikan kepada khalayak rakyat, pasti akan memilih PR.

Ia berbetulan pula dengan kelemahan kerajaan BN yang sudah terlamapu lama berkuasa sehingga menimbulkan terlalu bnayak ketidakpuasan hati rakyat.

CAPTION
1. Tuan Ibrahim
2. Abdul Majid
3. HKR Kerdau
4. Dun-Dun Pahang


1 comment:

  1. salam tuan ada maklumat tanah di batu talam 3000 ekar hubungi saya 0164055681

    ReplyDelete