Monday, March 18, 2013

Swasta jalan negeri rugikan pekerja, kontraktor

Penganugerahan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri di seluruh negeri Pahang kepada hanya sebuah syarikat dijangka akan menjejaskan pekerja kuari Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor kelas F dan peluang kerja anak tempatan.

Penswastaan kepada Syarikat YP Maintenance Sdn. Bhd. itu sudah tentu merugikan banyak pihak dalam jangka masa panjang kerana ia seperti monopoli.

Kuari JKR bergantung kepada pengeluaran hasilnya yang dipasarkan kepada JKR-JKR daerah, jika kerja-kerja penyelenggaraan jalan diswastakan secara langsung akan menjejaskan pendapatan pekerja kerana syarikat kontraktor biasanya mempunyai kuari sendiri.

Begitu juga dengan pekerja-pekerja unit jalan JKR daerah, mereka mempunyai kakitangan paling ramai dalam unit-unit JKR. Dengan cara penswastaan ini elaun lebih masa yang mereka nikmati sebelum ini mungkin sudah tidak ada lagi.

Sebelum ini Pesuruhjaya PAS Pahang Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, mendedahkan, berdasarkan surat daripada Pengarah JKR Pahang, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang telah meluluskan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri di seluruh negeri Pahang kepada Syarikat YP Maintenance Sdn. Bhd.

Menurutnya, surat yang ditujukan kepada semua jurutera daerah itu, kontrak akan dilaksanakan bermula pada 1 hb April 2013 selama 7 tahun dan pembiayaannya adalah dari peruntukan Wang Amanah Penyelenggaraan Negeri.

Jelas surat tersebut, jalan-jalan Negeri yang terlibat dengan kontrak ini adalah jalan-jalan di dalam kategori Jalan Raya Negeri di bawah JKR seperti yang disenaraikan dalam Malaysia Road Record Information System (MARRIS) tidak termasuk jalan-jalan di bawah kategori yang lain.

Sementara itu, menurut carian di SSM, dua orang ahli lembaga pengarah syarikat dengan nombor pendaftaran 1033787 X tersebut ialah Johari Harun yang beralamat di Janda Baik dan Syufina Yaakob yang beralamat di Batu Caves. Syarikat tesebut baru didaftarkan pada 4 Februari 2013 dengan modal berbayar 100,000.

Dengan penswastaan tersebut, kontraktor kelas F juga dijangka menghadapi kerumitan dan masa depan yang suram selepas ini kerana segala kerja-kerja undi dan sebut harga untuk kategori jalan raya negeri di bawah JKR dibatalkan.

Sebelum ini kontraktor kelas F juga ramai yang terpaksa ‘gulung tikar’ apabila penyelengaraan jalan persekutuan diswastakan kepada syarikat Roadcare.

Unit jalan JKR daerah-daerah sudah tentu akan dikecilkan saiznya kerana kerja-kerja sudah diswastakan. Secara tidak langsung kesan jangka panjangnya ialah tidak ada lagi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.















No comments:

Post a Comment