Friday, January 11, 2013

Bersedia juga hadapi tembakan gas, air kimia

Flip-Flop: SAMM Tetap Menuju Stadium Merdeka Sambut Hari Kebangkitan Rakyat!

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak akan berganjak dengan apa jua cadangan dari pihak polis yang mengesyorkan selain Stadium Merdeka sebagai venue Hari Kebangkitan Rakyat 12 Januari 2013. SAMM dengan kekuatan seluruh negara akan tetap menuju ke Stadium Merdeka dan menyeru orang ramai tidak mempedulikan saranan pihak polis yang bertujuan mengelirukan lokasi sebenar perhimpunan.

Difahamkan, alasan pihak polis untuk mengalihkan lokasi sasaran dari Stadium Merdeka ke stadium lain kerana ruang yang terhad di mana stadium tersebut hanya mampu menampung sejumlah 30 ribu hadirin sedangkan jangkaan kehadiran mencecah 1 juta rakyat. SAMM melihat walau apa pun alasan yang diberi bagi tujuan menimbulkan polemik, sikap dolak dalik pihak polis ini tidak perlu dilayan sama sekali. Apa yang lebih penting ialah lampu hijau telah diberi.

Bagi SAMM, jika Stadium Merdeka hanya boleh dimuatkan seramai 30 ribu sahaja, maka bakinya 970 ribu rakyat sedia untuk memenuhi segenap ruang di perkarangan Stadium Merdeka. Jika keselesaan menjadi persoalan, maka SAMM ingin menegaskan bahawasanya tanpa kekacauan dan provokasi dari pihak polis sudah cukup menerbitkan keselesaan terhadap orang ramai.

Jelas terbukti dalam perhimpunan aman sebelum ini, hanya selepas kekacauan dari pihak polis berlaku maka perhimpunan aman bertukar menjadi huru-hara. Imbas kembali perhimpunan Oren di Jalan Duta, himpunan Lynas di Kuantan dan di Kuala Lumpur baru-baru ini dan himpunan Janji Bersih yang berlangsung hebat pada malam hari kemerdekaan, semua himpunan ini berjalan dengan baik kerana tidak diganggu oleh pihak polis.

SAMM kali ini memberi amaran kepada pihak polis agar tidak bertindak di luar batas kemanusiaan sepertimana yang berlaku pada 28 April 2012. Kali ini, hanya anggota polis beruniform yang menayangkan nama dan 'nombor anggota' sahaja layak diiktiraf sebagai polis. Selebihnya jika anggota beruniform gagal menayang 'nombor anggota', itu adalah penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis dan tindakkan awam harus diambil sebelum anggota penyamar ini merosakkan keamanan.

Untuk makluman, Hari Kebangkitan Rakyat akan disambut dengan cara paling istimewa apabila ia dimulakan sehari lebih awal iaitu pada malam 11 Januari (Jumaat) di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru bermula jam 8 malam. Festival Rapat Kemuncak mengira detik (Countdown) akan menampilkan pementasan luar biasa dan lebih penting ia menjadi pentas pengarahan/amanat terakhir akan disampaikan oleh pengerusi jawatankuasa Induk HKR sendiri, Tn Hj Mat Sabu. Rapat mengira detik ini juga akan menjadi lapang sambutan bagi peserta himpunan yang datang dari luar Kuala Lumpur yang dijangka sampai awal.

SAMM akan bergerak dari Kelab Sultan Sulaiman di Kg Baru bermula jam 10 pagi dengan laluan yang telah disusun rapi sebelum dijangka tiba di Stadium Merdeka sekitar jam 1.30 tghari. SAMM menjemput semua anak muda NGO mahupun NGI, kepartian atau tidak kepartian, untuk bersama SAMM menempuh segala kemungkinan halangan yang berlaku untuk tiba di Stadium Merdeka. SAMM mengalukan semua warna yang ingin berarak bersama namun menetapkan kepada semua anggota SAMM agar berpakaian t-shirt berwarna hitam.

SAMM juga ingin memberi nasihat kepada semua agar bersiap kelengkapan secukupnya sebagai persediaan. Sediakan garam, air mineral dan kain basah juga penting. Jangan bawa sebarang objek yang menyerupai senjata, kita mahu himpunan aman. Jangan lari sekiranya gas pemedih dilepaskan, sebaliknya duduklah dengan tenang kerana samada anda lari ataupun duduk tenang, anda semua tetap menghidu gas tersebut malah lari akan membuatkan lebih banyak gas 'jahat' ini akan masuk kerongkong.

Akhir sekali, SAMM meletakkan keyakinan betapa angka satu juta rakyat berhimpun bukanlah suatu yang mustahil untuk dicapai kerana rakyat hari ini sudah berani memberikan sokongan terhadap tuntutan-tuntutan yang tidak diendah oleh pemerintah. Ayuh semua kita menuju ke Stadium Merdeka dan kali ini kita pasti berjaya, rakyat bersatu pasti menang! Sebagai anak muda pencetus sejarah, SAMM akan mara menuju ke Stadium Merdeka tanpa berundur walau setapak, dan tidak lari kerana kita bukan penjenayah.

Sekian,

Edy Noor Reduan

Pengarah Propaganda SAM

No comments:

Post a Comment