Saturday, January 19, 2013

22 bubar, 16 pencalonan 30 Mengundi?

Seorang sahabat iaitu Ketua Pemuda Umno sebuah cawangan memberitahu, tarikh-tarikh penting ialah 22 Februari ini bubar parlimen, 16 Mac hari penamaan calon dan 30 Mac pula ialah hari mengundi.

Konon ceritanya, beliau diberitahu oleh orang penting partinya, tarikh-tarikh tersebut telah diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno Pahang di Kuantan minggu lalu.

Ada juga yang berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak juga dikatakan malu untuk membiarkan parlimen Malaysia terbubar dengan sendiri oleh SPR. Dengan itu demi maruahnya, beliau akan bubar (sebelum terbubar dengan sendiri) untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

Pilihan raya Umum (PRU) 12 ialah 8 Mac 2008, iaitu lima tahun yang lalu.

Bagaimanapun, ada satu sumber menyebut tarikh bubar mungkin 25 Februari (Isnin). Jika diambil tarikh pembubaran parlimen 22 Februari itu, ia jatuh pada hari Jumaat iaitu 11 hari selepas sambutan Tahun Baru Cina. Memang sudah dijangka, Najib selaku Presiden Umno tidak akan berani membubar sebelum Tahun Baru Cina kerana khuatir dengan protes kaum Tionghua itu.

Manakala bagi pihak Umno, tarikh itu dianggap sesuai kerana pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) kali kedua akan mula diagihkan Februari ini. Manakala bantuan persekolahan M100 telah bermula minggu ini.

Kedua-dua bantuan dan lain bantuan dari bajet 2013 telah diuar-uarkan berulang-ulang kali dalam media elektronik sebagai satu kempen ‘kerajaan pemurah, rakyat kena balas budi dengan undi BN’.

Tarikh 16 Mac sebagai hari penamaan calon itu jatuh pada hari Sabtu, seminggu sebelum cuti penggal pertama persekolahan.

Jika benar hari mengundi ditetapkan pada 30 Mac (Sabtu), bermakna tempoh berkempen ialah selama dua minggu. Hari tersebut berada di akhir cuti persekolahan penggal pertama di Malaysia. Faktor ini penting kerana kebanyakan pusat mengundi ialah di sekolah.

Sebelum ini, akhbar The Star telah membuat spekulasi Najib akan mendapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Mu'adzam Shah Halim untuk pembubaran pada bila-bila masa antara 20 Feb ke 20 Mac.

Ini disebabkan tarikh 21 Mac adalah hari tempoh Dewan Undangan Negeri Johor tamat selepas tempoh lima tahun.

"Dewan Undangan Negeri Johor mengangkat sumpah mereka pada 21 Mac. Oleh itu tamat pada tarikh yang sama tahun ini. Kami menjangkakan Perdana Menteri akan bubar parlimen sebelum itu," kata sumber The Star.

Sumber mengatakan bahawa Najib tidak mahu membenarkan perhimpunan Johor tamat kerana sehingga tidak sah kerana akan membawa implikasi undang-undang.

Selain Raya Cina Februari ini, Najib dijangka ke luar negara atas urusan penting dalam bulan Februari ini. Pertubuhan sidang kemuncak Kerjasama Islam yang dijadualkan pada 6-7 Februari dan pemimpin Malaysia jarang terlepas mesyuarat ini. Ia difahami bahawa Najib telah dijadualkan satu lagi lawatan ke luar negara tidak lama selepas Tahun Baru Cina (10 Februari).

Najib juga dikatakan telah menerima isyarat daripada think-tanknya supaya tidak terlalu awal membubarkan parlimen kerana lazimnya sambutan dan kegembiraan perayaan Tahun Baru Lunar disambut selama 15 hari.

Berdasarkan semua faktor-faktor ini, menurut sumber dalaman Umno, 22 atau 25 Februari bubar, 16 Mac penamaan calon dan 30 hari mengundi untuk PRU 13.

Sudah bersediakah kita semua?



No comments:

Post a Comment