Wednesday, August 29, 2012

Semua kaum diseru bersatu tolak BN

TEMERLOH: Rakyat pelbagai kaum diseru bersatu melakukan perubahan dengan menolak kerajaan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang demi menyelamatkan negara, rakyat dan masa depan generasi akan datang.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan setelah lebih setengah abad parti itu memerintah keadaan ekonomi dan sosial negara berada dalam keadaan makin tenat.

Berucap pada majlis ‘Makan Malam Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia’ anjuran DAP Bahagian Temerloh di Dewan Jui Moon Mentakab malam kelmarin, Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata, BN juga perlu ditumbangkan kerana mengkhianati janjinya sendiri.

“Mengapa perlu dilakukan perubahan sekarang? Saya kira masyarakat Cina lebih tahu tentang senario ekonomi negara... hutang sudah menjangkau RM500 bilion, bajet defisit sudah 15 tahun sedangkan sedangkan rasuah begitu berleluasa. Jadi apa lagi yang dapat kita harapkan daripada pemerintahan BN.

“Dalam masa yang sama jenayah negara terus meningkat. Bayangkan kami (ahli-ahli parlimen) diberitahu penjara yang memperuntukkan 800 orang terpaksa dimuatkan 1,400 orang, menggambarkan keadaan sebenar peningkatan jenayah.

“Jadi bolehkah lagi dipercayai kata-kata Menteri Dalam Negeri yang mengumumkan pencapaian KPI kementeriannya sedangkan rakyat terus berada dalam keadaan ketakutan?,” soalnya di hadapan kira-kira 2,000 memenuhi dalam dan luar dewan di majlis tersebut.

Turut berucap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Adun Triang yang juga Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan Pengerusi Himpunan Hijau Bantah Lynas Wong Tack.

Mengenai propaganda Umno yang kini mencanangkan ‘janji ditepati’, Zailah berkata ia lebih sesuai diubah dengan ‘janji dikhianati’ kerana negeri Kelantan dinafikan hak mendapat royalti petroleum sedangkan ia termaktub dalam undang-undang dulu.

Tambahnya, begitu juga dengan janji lebuh raya yang dicanangkan sejak Rancangan Malaysia Ke 6, 7, 8 dan 10. Tetapi semuanya dusta kerana tidak dibina menyebabkan Kelantan menjadi satu-satunya negeri tanpa lebuh raya.

“Sedangkan tanggungjawab membina lebuh raya hak kerajaan Pusat. Sebab cukai rakyat Kelantan Pusat ambil, royalti disapu. Tapi lebuh raya yang menjadi tanggungjawab Pusat dinafikan,” katanya.

Mengenai pemberian gula-gula politik seperti BR1M, TR1M, KR1M dan lain-lain, Zailah berkata semua itu manifestasi Umno dalam keadaan yang sangat takut dan gelabah menghadapi PRU apa lagi semakin ramai orang besar BN menyeberang ke arah PR.

“Kita harap kaum Cina terus beri sokongan kepada PR.
Mengenai pelbagai pemberian menjelang PRU ini, ambillah apa saja yang diberi kerana itu semua wang rakyat tetapi undi berikan kepada PR,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 2,000 yang hadir.

Zailah turut meminta diambil perhatian, Umno dan BN sedang memainkan politik perkauman dengan menakut-nakutkan orang Melayu jika sokong PR Cina DAP yang akan berkuasa. Sebaliknya MCA pula takutkan orang-orang Cina jika pilih PR Melayu PAS akan berkuasa.

“Ini semua mainan politik lama mereka yang sentiasa diberi nafas baru dan dihembuskan merata-rata. Mereka juga memomok-momokkan kalau PR perintah akan huru-hara. Adakah negeri di bawah PR berlaku huru-hara? Jadi inilah fitnah dan pembohongan besar Umno BN,” ujarnya.

Sementara itu kedatangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pertama kali sejak menjadi Ketua Menteri mendapat perhatian dan sambutan hangat.

Beliau dalam ucapannya sebagai penceramah terakhir yang bercakap dalam bahasa Melayu dan Cina, turut menyentuh pelbagai isu.

“Saya biasanya jarang bersetuju dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tetapi kenyataan terakhirnya mengatakan BN sebagai syaitan yang dikenali membuatkan saya bersetuju dengan beliau. Bagi saya beliau pertama kali bercakap benar,” katanya sambil disambut sorakan yang hadir.

GAMBAR:

1. Siti Zailah sedang berucap
2. Dalam dewan penuh sesak dalam majlis tersebut
3. Lim (dua kiri) bersama Leong Ngah Ngah, Pengerusi DAP Temerloh Woo Chee Wan dan Betty Chew





No comments:

Post a Comment