Wednesday, June 8, 2011

Tak beretika, Ahli Parlimen maki wartawan Sinar Harian

Sebagai seorang berpelajaran, apa lagi pemuka masyarakat, sepatutnya kita tahu adab tata susila dan medan kerjaya masing-masing. Inilah yang boleh menjamin kita dihormati oleh orang lain.

Bagaimanapun, lain pula dengan sikap Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said, yang tergamak memaki hamun seorang wartawan akhbar Sinar Harian hanya kerana menulis berita yang tidak disenanginya.

Berita yang disiarkan oleh akhbar berkenaan baru-baru ini ialah berkaitan Dewan Pemuda PAS Pahang yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memohon penyiasatan terhadap penyalahgunaan sekolah oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Krau yang telah mengadakan mesyuarat perwakilannya di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau.

Mail Said yang juga Ketua Bahagian Kuala Krau, juga mengadakan mesyuarat agung di situ.

Sepatutnya, sebagai orang yang berpendidikan, Mail Said tahu bahawa penyalahgunaan premis awam oleh parti politik merupakan satu kesalahan. Sebagaimana yang sepatutnya difahami, premis awam mengikut peraturan, tidak boleh digunakan oleh mana-mana parti politik termasuk Umno.

Jika Umno boleh gunakan sewenang-wenangnya, kenapa PAS tidak boleh? Jika PAS tidak boleh guna kerana melanggar peraturan, apa bezanya dengan Umno?

Menurut sumber, Mail Said menelefon wartawan berkenaan mempersoalkan tindakannya menulis berita berkenaan sambil marah-marah. Lebih menyedihkan lagi, Mail Said yang juga pengerusi PTPTN, sanggup mengungkit-ungkit kononnnya beliau telah menolong wartawan berkenaan daripada blacklist pinjaman semasa belajar di IPT dulu.

Meskipun sikap YB Mail Said itu tidaklah sebesar mana ‘news value’nya, namun demi keadilan kepada rakan wartawan berkenaan, elok didedahkan di sini supaya pengundi-pengundi beliau tahu.

Sebenarnya ada beberapa sebab mengapa tindakan Mail Said yang boleh dianggap tidak wajar memarahi seorang wartawan seperti itu. Pertama, tugas wartawan hanya melapor peristiwa untuk siaran media tempat beliau bertugas. Jadi mengapa wartawan mahu dipersalahkan?

Kedua, barangkali Mail Said lupa bahawa dasar Sinar Harian ialah neutral di mana boleh menyiarkan apa saja berita dan daripada pihak mana sekalipun. Mail Said tak sedar bahawa Sinar Harian bukan bukan media Umno seperti kumpulan Utusan, bukan kumpulan Berita Harian dan Tv 3.

Ketiga, sikap Mail Said itu boleh diterjemahkan sebagai ‘tidak mengenang budi’ dan seperti kacang lupakan kulit kerana selama ini banyak program politik dan sosial beliau disiarkan secara menyeluruh dalam akhbar berkenaan. Paling menonjol ialah ketika kempen semasa PRK Kerdau dulu di mana wartawan berkenaan ketika itu bertungkus lumus menyiarkan ‘çerita baik’ BN sehingga calonnya menang dengan cemerlang.

Lebih menyedihkan lagi, seorang stringer tua syarikat berita menokok tambah lagi dan mengada-adakan cerita memburukkan wartawan berkenaan kononnya beliau tak mengenang budi YB.

Apa-apapun, sebagai sahabat akrab, saya nasihatkan wartawan ‘adik’ saya itu supaya jangan patah semangat. Kerjaya wartawan adalah profesional dan mulia. Pada waktu dulu wartawan amat digeruni oleh ahli politik. Bahkan, wartawan boleh menaik dan menurunkan seseorang! Sehinggalah ada sebahagian wartawan ‘boleh dibeli’oleh ahli politik untuk menulis cerita-cerita mengampu.

Akhirnya, jika kita tidak terhutang budi dengan orang politik, kita tidak sepatutnya takut mahupun mengalah!


2 comments:

  1. Patutnya wartawan itu buat repot salah guna kuasa terhadap Mail Saad atas pengakuan dia menghilangkan black list PTPTN

    ReplyDelete
  2. Betul, wartawan dulu ditakuti oleh ahli politik!
    Tengok Said Zahari, demi untuk mempertahankan Utusan daripada dikuasai Umno, beliau rela bermogok lapar dan akhirnya disumbat ke dalam penjara ISA!

    Itulah wartawan, seorang yang berjiwa pejuang!

    ReplyDelete