Saturday, July 10, 2010

Sotong dan burung tentukan juara piala dunia?

Kadang-kadang apabila semakin maju manusia, semakin pelik dan terkebelakang pula pemikiran mereka.

Demikianlah dengan peristiwa yang menarik perhatian lebih tiga bilion manusia di planet ini sekarang iaitu pertandingan bolasepak piala dunia.

Jika dahulu skil, team-work, kecergasan, kekuatan minda pemain dan strategi jurulatih menjadi sebab andaian satu-satu pasukan itu menjadi pilihan, kini kemenangan dan kejuaraannya berbalik kepada ramalan.

Sebelum ini seekor sotong kurita bernama Paul popular kerana ramalannya dikatakan tepat mengenai keputusan kalah menang antara Jerman dan pasukan lawannya.

Menjelang penentuan juara besok, muncul pula seekor burung nuri yang menjadi perhatian. Burung tersebut yang menetas di Malaysia dan kini dipelihara di Singapura, mula menjadi sebutan apabila meneka tepat Belanda menewaskan Brazil pada perlawanan peringkat suku akhir.

Untuk menjuarai perlawanan akhir edisi Ke-19 Piala Dunia FIFA di Afrika Selatan besok, sotong Paul memilih Sepanyol. Sementara ‘Mani Si Nuri’ meramalkan Belanda bakal menjadi juara.

Belanda dan Sepanyol memasuki ke final masing-masing julung kali dalam tempoh 32 dan 44 tahun.




Sementara itu, piala dunia kali ini diakui paling banyak menimbulkam kejutan dan kontroversi. Antaranya ialah tumbangnya dua gergasi dan bekas juara dunia iaitu Brazil dan Argentina.

Turut menjadi mangsa juga gergasi bolasepak Eropah yang kalah dengan pasukan yang dianggap kerdil iaitu Peranchis dan Itali.

Semua ini menimbulkan pelbagai cakap dan desas-desus yang tidak berkesudahan. Ada yang berkata, piala dunia kali ini paling banyak ‘membaham’ wang penjudi kerana keputusan-keputusan luar biasa dan sekali gus memberi kemenangan besar kepada tauke atau bookie.

Ada yang berkata perlawanan-perlawanan kali ini telah diatur oleh perasuah-perasuah bertaraf dunia.

Dalam hal ini saya tidak sependapat dengan mereka. Alasan saya, bagi pemain-pemain profesional ini wang bukan lagi penting kepada mereka kerana rata-rata berpendapatan antara RM1 juta sebulan hingga lebih RM1 juta seminggu.

Ertinya wang bukan lagi menjadi hambatan kepada mereka, tidak seperti pemain-pemain di Malaysia!

Sebaliknya apa yang mereka mahukan sekali dalam seumur hidup mereka ialah nama dan kemasyhuran. Menjuarai, menggenggam piala dunia adalah idaman setiap profesional bola sepak manakala wang bagi mereka sudah tidak bernilai lagi berbanding keaiban yang diterima.

Lantas mengapa gergasi-gergasi ini boleh tumpas?

Jawap saya: “Itulah bolasepak yang boleh bertukar mengikut faktor-faktor semasa dan nasib yang tidak berdaya dijangkau oleh otak-otak manusia, tetapi mampu dihidu oleh sotong dan burung.

“Keputusan bolasepak juga seperti keputusan pilihan raya,” tegas saya.


Friday, July 9, 2010

Yang SPRM siasat, yang SPRM tak siasat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu menyiasat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun penulis Barry Wain dalam buku terbarunya mendakwa Dr Mahathir bertanggungjawab atas kerugian kewangan dan ‘write-off’ berjumlah RM100 bilion sepanjang perkhidmatannya selama 22 tahun.

Kata Nazri (walaupun belum disiasat), tidak ada sebarang elemen rasuah dalam kandungan buku kontroversi ‘Malaysian Meverick: Mahathir in Turbulent Times’ tulisan Barry Wain.

"Setelah meneliti buku berkenaan, SPRM mendapati secara umumnya tiada elemen rasuah berlaku.

"Dengan itu, SPRM tidak bercadang untuk menjalankan siasatan kerana tiada asas berlakunya kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya menjawab soalan Charles Santiago (DAP-Kelang) di dewan rakyat semalam.

Nampaknya sifir penyiasatan di Malaysia ini senang saja, kalau dakwaan rasuah disuarakan oleh orang Umno seperti kes pasir dan lembu di Selangor, kes kek RM4 di Kelantan dan banyak lagilah... akan segeralah SPRM menyiasat.

Tapi kalau kes melibatkan pemimpin Umno, kroni atau yang sama waktu dengannya, bukan main liat dan punyalah banyak alasannya.

Dengan lain-lain perkataan, rasuah akan disiasat apabila sianu nampak ia rasuah. Sebaliknya rasuah tidak akan disiasat jika sianu nampak ia tidak rasuah. Rasuah ialah apa yang sianu nampak, bukan lagi penyiasatan.

Maaf, kenyataan ini mungkin terlalu prejudis. Tetapi sekurang-kurangnya demikianlah persepsi umum orang ramai terhadap pemerintahan negara sekarang ini.



Thursday, July 8, 2010

Malaysia hasilkan 84 anak luar nikah setiap hari!

Fakta rasmi bahawa sejumlah 257,000 sijil kelahiran dari 2000 hingga Julai 2008 yang tidak mencatatkan nama bapa, sebagaimana titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah baru-baru ini, sebenarnya amat serius dan perlu diperhatikan semua pihak.

Angka tersebut merujuk kepada perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menunjukkan 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari!

Baginda turut menyebut, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada 2007 kepada 16,541 dalam 2008 dan 17,303 pada 2009.

Ini bukan sekadar fakta angka, malah inilah realiti betapa parahnya masyarakat kita pada hari ini.

Bagi sesetengah ulamak, gejala yang mengundang kemurkaan Allah ini adalah berpunca daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang keterlaluan.

Budaya hedonisme dan candu hiburan, berpeleseran, bersekududukan, mengunjungi pusat-pusat hiburan adalah faktor penyumbang kepada terjebaknya remaja kepada aktiviti perzinaan.

Mengapa kes kelahiran dan pembuangan bayi semakin meningkat di kalangan masyarakat sedangkan dalam tempoh 50 tahun ini sudah banyak program Islam diterapkan dalam pemerintahan?

Pihak kerajaan pernah ada dasar penerapan nilai-nilai Islam. Negara ini pernah ditonjolkan sebagai negara Islam terbaik di dunia, Islam Hadhari dan terbaru 1Malaysia. Slogan-slogan ini dikatakan telah menarik beberapa orang ulamak muda untuk menyertai Umno.

Tetapi kerajaan membenarkan pusat hiburan beroperasi tanpa kawalan dengan pelbagai aktiviti maksiat berlaku seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan, arak, dadah, dan pelacuran.

Selain itu, penganjuran konsert hiburan yang terlalu banyak turut menyumbang kepada gejala kelahiran anak luar nikah. persoalannya mengapa kerajaan sanggup membenarkan penganjuran konsert berlangsung tanpa kawalan yang ketat.

Apakah kerajaan mampu menjamin keselamatan anak-anak gadis dari dinodai dan digoda oleh remaja-remaja lelaki sebaya dengannya? Apakah kerajaan mampu memantau setiap pergerakan remaja dan kemana mereka pergi setelah tamat menonton konsert?
Tambahan pula, dengan ledakan maklumat melalui internet dan telefon bimbit yang tiada had meloloskan segala kemungkaran dengan mudah untuk diakses.

Penekanan terhadap tarbiyah dan pendidikan agama yang longgar menyemarakkan lagi faktor kelahiran anak luar nikah. Sistem pendidikan negara hari ini gagal membentuk peribadi dan syakhsiyah remaja untuk menjadi muslim yang soleh dan solehah dan bagaimana masyarakat boleh mengharapkan generasi akan datang menjadi insan yang baik dan bebas dari maksiat sedangkan generasi yang lahir pada hari ini ramai lagi yang jahil dan buta agama?

Apa nak jadi dengan umat Islam dan bangsa Melayu dalam negara ini?

Dalam akhbar sehari dua ini juga didedahkan terdapat pelacur di kalangan pelajar sekolah. Jika begini, bagaimana dapat dibendung gejala maksiat?

Ada yang berkata, tindakan satu pihak menyediakan pusat ‘bayi tong sampah’ iaitu anak luar nikah yang dibuang oleh ibunya, juga menyebabkan pelaku-pelaku zina ini pada masa akan datang tidak takut lagi untuk ‘terlanjur’ dan mengandung kerana tempat simpan bayi mereka sudah ada dan mendapat peruntukan kerajaan.

Itupun kalau nak diikutkan hasrat Kerajaan Umno/BN, pelajaran ‘bagaimana mengadakan seks yang betul’ akan diperkenalkan di seekolah-sekolah!


Peneroka Felda mewah macam warga Brunei, Singapura?

Nampaknya tajuk depan akhbar Suara Keadilan bertajuk "Felda Bangkrap" terus menjadi bahan kempen Umno untuk menutup isu sebenar, iaitu wang tunai Felda telah terlalu banyak dihabiskan. Bukan untuk peneroka, tetapi untuk kepentingan pihak tertentu, kroni dan demi kepentingan pilitik Umno.

Tidak cukup sekadar itu, anak-anak peneroka yang tidak tahu hulu hilir duduk perkara pun, bukan main lagi melompat-lompat marah, walaupun sebenarnya mereka yang menegur 'Felda Bankrap' itu adalah demi menyelamatkan sebuah institusi orang Melayu.

Lebih melucukan lagi, ada anak-anak peneroka berteriak kononnya Felda telah memberi kemewahan, aman bahagia dan harmoni tanpa sebarang masalah kepada warganya, sehingga pemaju tanah kepada bapa-bapa mereka (Felda) itu tidak perlu dilihat dan dikaji lagi ke mana mereka menggunakan wang peneroka.

Bagi mereka, Felda adalah segala-galanya dan kebal tanpa boleh ditegur!

Konon-kononnya warga Felda digambarkan sudah hidup senang lenang, macamlah warga Brunei dan warga Singapura.

Kebetulan, ada seorang sahabat menghantar emel, bagaimana kehidupan warga peneroka. Ini baru sedikit saja yang dijumpai dan dilaporkan di akhbar.


5 TAHUN PENEROKA FELDA GUNA AIR HUJAN
Utusan Malaysia 23 Jun 2010 - Penduduk Felda Palong 2 di sini pula terpaksa mengharapkan air hujan sejak lima tahun lalu. Pelbagai aduan telah dibuat namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan. Sebanyak 44 buah keluarga yang juga merupakan peneroka menetap di kawasan tersebut merayu pihak terbabit melakukan sesuatu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_05.htm

LULUS SEGERA PROJEK TANAM SEMULA
Sinar Harian 4 Jun 2010 – Anak peneroka Felda Bukit Jalur meluahkan rasa kecewa mereka apabila proses tanam semula bagi tanah seluas kira-kira 3.2 hektar yang dimohon sejak tanaman mereka ditebang, Ogos 2008 masih belum mendapat kelulusan pihak berkaitan.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7770478.asp

DERITA 28 TAHUN AIR TERPUTUS DI FELDA
Kosmo 15 Mac 2010 - Ketika kebanyakan rakyat di negara ini menikmati kemudahan asas yang sempurna, lain pula ceritanya bagi 1,200 penduduk di Felda Palong 7 dan Palong 8 di sini yang terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan air terputus hampir setiap hari.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm


28 TAHUN WARGA FELDA HADAPI MASALAH TEKANAN AIR RENDAH

Utusan Malaysia 15 Mac 2010 - Itulah 'derita' yang dihadapi oleh lebih 1,200 penduduk di kawasan Felda Palong 7 dan 8 berikutan masalah tekanan air rendah sejak menduduki kawasan itu 28 tahun lalu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

KOS UKUR TANAH TIDAK MASUK AKAL
Sinar Harian 17 Feb 2010 – Peneroka di Felda Raja Alias 4, di sini, melahirkan rasa tidak puas hati dengan kos dikenakan Felda bagi mengukur lot tanah peneroka untuk tujuan penebangan pokok dan pembangunan. Menurut mereka, kadar sebanyak RM1,145 bagi setiap peneroka untuk keluasan 1.2 hektar setiap peneroka adalah tidak masuk akal dan meragukan.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6824551.asp

MASALAH BEKALAN AIR TIADA KESUDAHAN
Sinar Harian 17 Feb 2010 - Penduduk Felda Raja Alias, di sini, masih menaruh harapan agar masalah air yang berlaku di kawasan rumah mereka sejak seminggu lalu, dapat diselesaikan segera supaya mereka boleh menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6824950.asp


PENDUDUK FELDA BERANG TIADA BEKALAN AIR

Sinar Harian 13 Feb 2010 – Penduduk Felda Raja Alias Dua, di sini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) berikutan masalah ketiadaan air di kawasan mereka.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6789488.asp

ORANG FELDA PALONG DIANAKTIRIKAN
Sinar Harian 19 Jan 2010 - Ketiadaan lampu jalan terutama di persimpangan masuk ke Palong 2 memang mengecewakan penduduk yang mendakwa kawasan mereka seperti ‘dianaktirikan’ apabila kemudahan yang sudah lama dipohon itu tidak mendapat maklum balas daripada pihak-pihak yang berkenaan.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6385438.asp


FELDA PALONG DAIF

Berita Harian 21 Dis 2009 - Palong 4, 5 dan 6 adalah pusat bandar bagi gugusan Felda Palong, kawasan dikenali sebagai skim tanah rancangan terbesar di negeri ini membabitkan Felda Palong Satu hingga 16, yang mempunyai bilangan penduduk kira-kira 100,000 orang. Namun, gelaran pusat bandar itu hanya indah dari segi nama tetapi dari aspek prasarana, jauh ketinggalan berbanding pusat bandar lain yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk penduduknya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Wilayah/20091221075521/Article/index_html

GANGGUAN BEKALAN AIR DI FELDA JEJAS PERAYAAN
Sinar Harian 2 Dis 09 - Kemeriahan penduduk Felda Bukit Rokan, di sini, menyambut musim perayaan bersama keluarga dan sanak saudara kian menjadi lesu berikutan masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku tanpa penyelesaian.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6120646.asp

PENEROKA PROTES DAKWA FELDA TIDAK TUNAI JANJI
Sinar Harian 14 Okt 2009 - Seramai 300 peneroka Felda Raja Alias 4 mengadakan perhimpunan sebagai tanda menunjukkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan Felda yang tidak menunaikan janji sewajarnya kepada pihak peneroka Felda berkenaan. Penduduk Felda Raja Alias 4 ingin menuntut hak pembayaran daripada hasil jualan kayu getah yang sudah ditebang beberapa bulan lalu hingga tahun depan.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5255067.asp

PENDUDUK FELDA 52 TAHUN MERDEKA TIADA AIR
21 Feb 2009 - Sudah lebih 50 tahun merdeka, penduduk Felda Kemahang, Bentong tak menikmati bekalan air. Terpaksa tadah air hujan. Laporan TV3 jam 1.30 tengahari 21 Februari 2009.
http://adimul.blogspot.com http://adimul.blogspot.com/2009/02/warga-prihatin-malaysia-prima-s-u-r-p-r_22.html#links

BONUS PENEROKA FELDA GETAH GIGIT JARI
Sinar Harian 24 Dis 08 - Felda diminta mengkaji semula syarat setiap peneroka perlu melepasi sasaran hasil yang ditetapkan sebelum layak menerima bonus insentif produktiviti untuk mengelakkan rasa tidak puas hati di kalangan peneroka.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2279446.asp

MASALAH KELAPA SAWIT TIDAK DITUAI BELUM SELESAI
Sinar Harian 8 Jul 2009 - Shamsuri berkata, hasil pendapatan yang mereka terima tidak seberapa akibat buah kelapa sawit yang sepatutnya dikutip oleh pihak kontraktor terbabit dibiarkan begitu sahaja sehingga rosak. “Rata-rata peneroka hanya menerima kurang RM1,500 sebulan. Ia tidak cukup akibat kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan baru-baru ini.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1815578.asp

BURUH BANGLA CEROBOH TANAH
Harian Metro 25 Julai 2007 -Perbuatan segelintir buruh asing warga Bangladesh yang dibawa masuk ke tanah rancangan felda di Jempol untuk bekerja di ladang kelapa sawit menceroboh kawasan halaman kediaman peneroka menyebabkan penduduk tempatan dalam kebimbangan.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20070725095014/Article/index_html


Jadi, jika keadaan terus-terusan begini dan warga peneroka masih beranggapan Felda baik segala-galanya sehingga tidak boleh ditegur, patutlah peneroka Felda boleh ditipu Umno dulu kini dan selamanya...


Rumah anda ada banyak semut?

Sesetengah daripada kita amat merasa tercabar kerana rumah mereka sering 'diserang' semut sehingga menyukarkan meletakan sesuatu dalam rumah seperti makanan, kelihatan jijik dan ada yang berbau busuk.

Tahu anda bagaimana semut mampu dihalang daripada memasuki balang gula / bekas makanan / tin susu anda?

Begini caranya ;

1-Ambil kapur tulis (atau chalk) * kalau boleh guna yang warna putih lagi baik


2-Dengan menggunakan kapur tersebut, buatkan garisan sempadan menutupi tempat balang gula anda disimpan



*Semut tak suka kepada kapur (CaCO3). Bila semut nampak saja garisan sempadan kapur tersebut, pasti ia tak akan mendekatinya.

Wednesday, July 7, 2010

PAS Pahang pasar produk Takaful Ikhlas

TEMERLOH: PAS Pahang hari ini menandatangani perjanjian persefahaman dengan Takaful Ikhlas bagi membolehkan ejennya, Arma Group, memasarkan semua produknya kepada ahli-ahli PAS Pahang.

Dalam majlis tersebut, Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertukar-tukar dokumen dengan Abdul Rahim Sulaiman yang mewakili Takaful Ikhlas dan Abdul Majid Hasan yang mewakili Arma Group.

Berdasarkan persetujuan dicapai, Arma Group bersedia berkongsi keuntungan bagi mengisi dana PAS Pahang.

Tuan Ibrahim dalam ucapannya berkata usaha yang dilakukan ini membolehkan perolehan manfaat bersama semua pihak.

“Pencarum yang terdiri daripada ahli PAS mendapat perlindungan, Takaful mendapatkan keuntungan manakala PAS Pahang pula mendapat dana imbuhan,” katanya.

Bagi yang berhasrat untuk mencarum sebagai pelindungan atau ingin mengetahui lanjut, bolehlah menghubungi pejabat BPPNP 09-2965143.

Gambar:

Tuan Ibrahim bertukar dokumen dengan Abdul Rahim, disaksikan Bendahari PAS Pahang Musaniff Abdul Rahman (kiri) dan wakil Arma Group Abdul Majid Hasan.

Tuesday, July 6, 2010

Felda: Bankrap ke tak bankrap?



"Pokoknya semua syarikat yang dikendalikan Umno gulung tikar. Tengok apa jadi dengan Bank Bumiputera yang lahir hasil daripada konvensyen Melayu. Tengok juga apa jadi dengan Sime Darby. Apakah para peneroka mahu Felda jadi bankrap seperti itu baru mahu berdemonstrasi."

Nampaknya tajuk utama akhbar Suara Keadilan “Felda bangkrap” terus diambil kesempatan dan diperkatakan umum, terutama puak gerabak Umno yang berada dalam tanah-tanah rancangan.

Malangnya, sebahagian besar mereka tidak tahu pun berkenaan aset, harta dan pendapatan Felda. Malah mereka tidak pernah ambil peduli pun selama ini.

Kenapa sekarang tiba-tiba melompat kononnya mahu menjadi hero?

Terbaru, seperti disiarkan akhbar Sinar Harian, Timbalan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Mempaga, Zulkepli Baharom, melahirkan keyakinan bahawa kedudukan kewangan Felda masih lagi stabil dan kukuh, lebih-lebih lagi Felda masih meneruskan programnya seperti biasa.

Mana beliau tahu? Setakat duduk di kerusi MBF apakah sudah boleh mengaudit atau melihat akaun urusniaga Felda Holding yang berkorporat hingga ke luar negara?

Tanpa niat untuk memperkecilkan sesiapa, setahu kita, kebanyakan pemimpin kecil MBF tidak tahu apa-apa tentang akaun dan kewangan Felda tetapi h Zulkepli anya memberi alasan: sekiranya Felda dikatakan muflis, peneroka tidak dapat menerima duit sara hidup setiap bulan malah anak-anak peneroka yang dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi juga tidak dapat merasa imbuhan bernilai antara RM500 hingga RM1,000.

“Peneroka mahupun generasi Felda tidak akan terpedaya dengan fitnah dan tohmahan parti pembangkang ini.

“Mereka hanya mahu memecahbelahkan keharmonian di Felda selain menjadikan itu salah satu strategi menarik warga Felda untuk mengundi mereka pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada lagi belia yang terpengaruh dengan kenyataan itu tetapi sekiranya ada, pihaknya akan bersemuka dengan individu terbabit untuk menerangkan situasi yang sebenar agar mereka kembali ke pangkal jalan.

Sementara itu, Bendahari MBFM Wilayah Mempaga, Rosli Abd Rahman berkata, sejak lima tahun yang lalu, peneroka masih menikmati kemudahan dan prasarana yang disediakan walaupun Felda dan ini membuktikan Felda tidak pernah bankrap.

Memanglah Felda masih berupaya membayar semua itu, tetapi bayar dengan duit siapa? Duit pokok Najib atau wang hasil titik peluh peneroka yang dipotong melalui pelbagai aneka potongan setiap bulan?

Kamu tahukah itu?

Pimpinan Felda dan orang-orang politik jika mereka menghabiskan wang Felda sekalipun,mereka tidak akan dikira berhutang. Yang terus menerus dikira berhutang ialah para peneroka yang membanting tubuh mereka saban hari di ladang.

Tahukah MBF bahawa Timbalan Menteri yang juga Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan sendiri mengakui bahawa status kewangan Felda merudum dari RM4.08 bilion pada 2004, kepada RM1.35 bilion pada 2009. Ini kejatuhan yang sangat dahsyat, iaitu kira-kira 65 % dalam tempoh lima tahun.

Tahukah MBF bahawa antara alasan kelangsaian wang Felda itu adalah disebabkan RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil. Sebanyak RM203 juta wang Felda juga digunakan untuk pinjaman rumah, RM253 untuk tabung kemiskinan Sabah dan RM662 untuk bangunan baru Felda.

Tahukah MBF bahawa semua alasan tersebut tidak logik dan menimbulkan banyak persoalan?

Ini disebabkan, setiap peneroka yang terlibat dengan tanam semula telah mencarum setiap bulan dan dipotong oleh pengurusan Felda selama 15 tahun dan dilaburkan pula. Mengikut kiraan kami, sebanyak RM3 bilion terkumpul untuk tujuan itu. Jadi mengapa perlu dibelanjakan sehingga RM2 bilion lagi?

Bagi setiap pinjaman perumahan yang dibuat peneroka pula merupakan hutang yang dibayar balik setiap bulan. Mereka dikenakan kos pengurusan 2.5 peratus. Jadi mengapa perlu dikeluarkan RM603 juta itu. Ke mana wang tersebut dibelanjakan?

Mengenai wang Felda dibelanjakan untuk membiayai kemiskinan di Sabah, Mazlan berkata ia tidak relevan kerana jumlah penempatan peneroka di negeri tersebut terlalu kecil.


Felda Plantation, Estet Felda yang terbesar di Malaysia terletak di Felda Gugusan Sahabat (Sabah). Kenapa tidak digunakan keuntungan dari Felda (Plantation)itu,'' soal Mazlan lagi.

Bagi harga bangunan baru Felda setinggi 50 tingkat yang dibina di Platinum Park KLCC yang mencecah RM662 juta juga dipertikaikan kerana laporan sebuah akhbar harian sisipan khas pada 26 Februari 2008, menyebut bangunan tersebut ialah RM640.77 juta.
Kenapa berlaku perbezaan harga yang sangat ketara?

Isu ini sangat besar kerana membabitkan kepentingan 112,635 orang peneroka dan lebih 800,000 generasi baru Felda. Kita tidak mahu wang milik institusi pembangunan tanah bertujuan membasmi kemiskinan orang Melayu ini dibazirkan sesuka hati.

Kita tidak mahu Felda akhirnya benar-benar bankrap.

Tapi MBFM apa tahu?

Monday, July 5, 2010

Tak patut samatarafkan Najib dengan Pahlawan Mat Kilau!

Apa-apa juga alasan dan justifikasi diberikan, bagi saya tindakan menyamatarafkan Perdana Menteri Najib Tun azak dengan pahlawan Melayu tersohor negara ini Almarhum Mat Kilau, adalah tidak wajar sama sekali, mengelirukan orang ramai, kebudak-kebudakan dan menghina sejarah itu sendiri.

Gambar di atas dipampangkan di muka depan tabloid Sinar Harian edisi Ahad, 4 Julai 2010.

Gambar tersebut dihadiahkan kepada Najib selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerantut. Gambar lukisan bertajuk “Pahlawan Melayu Pahang” membariskan gambar Najib, Tun Razak. Mat Kilau dan seorang lagi yang tidak berapa dikenali.

Mungkin tujuan gambar ini dilukis sekadar hiburan bagi mengambarkan betapa sukacitanya dan menjadi pujaan Umno Jerantut memperoleh seorang perdana menteri yang berasal dari Pahang, lalu disebariskan dengan Mat Kilau.

Ketokohan Mat Kilau diakui dunia, malah perjuangannya termaktub dalam khutub khanah di London. Beliau menggadai nyawa mempertahankan agama dan tanah air daripada pencerobohan dan penjajahan kafir British.

Beliau juga bersama beberapa pemimpin Melayu seperti Orang Kaya Semantan Dato’ Bahaman dan ayahandanya sendiri Imam Perang Rasu atau Tok Gajah telah menggerakkan kesedaran orang-orang Melayu ketika itu bangun berjuang menentang penjajahan, penindasan dan kezaliman.

Mat Kilau ‘mengajar’ bangsa penjajah iaitu kuasa terbesar dunia ketika itu, bahawa orang Melayu masih punyai maruah dan integriti bangsa sendiri sehingga tidak mudah ditakluk fizikal spiritual dan mentalnya.

Pendek kata, Mat Kilau ialah legenda pahlawan Melayu yang amat digeruni pada satu ketika dahulu mengukir nama dalam sejarah negara kerana berani tampil menentang penjajah meski pun tanpa kekuatan, kelengkapan dan sokongan setara.

Memang beliau bukan seorang perdana menteri yang punyai kuasa besar bagi tujuan politik dan memberi projek. Namun beliau menjadi simbol kegagahan, simbol keberanian dan semangat waja bangsa Melayu sendiri.

Jika Mat Kilau berperang dengan penjajah, Najib berperang dengan siapa? Anwar? PAS?

Sejarah tidak boleh ditipu. Kenapa begitu mudah menyamakan tokoh legenda orang Melayu dengan hanya seorang pemimpin Umno? Memang, Najib juga seorang tokoh tetapi beliau berada dalam kelasnya yang lain.

Apakah perasaan anak cucu Mat Kilau apabila melihat dua tokoh tersebut disamatarafkan?

Justeru janganlah menipu sejarah, kelak anak bangsa Melayu akan datang juga yang akan tertipu apabila melihat Mat Kilau hanya setaraf Najib. Kerana kesan daripada gambar tersebut adalah besar dan berpanjangan.

Barangkali kesilapan inilah yang tidak disedari Umno Bahagian Jerantut!



Gambar-gambar sekitar program malam Amal Palestin, 4 Julai








1. Aktivis Haji Jamuddin Alias bercerita tentang detik-detik perjalanan bersama misi bantuan ke Gaza sehingga ditawan komando Yahudi Israel dan nasib umat Islam Palestin di bawah Yahudi. Penceritaan dibantu slaid LCD

2. Majlis dipengerusikan oleh artis motivator Akhwan Affandi yang turut mempersembahkan nyanyian ‘Oh Palestin’

3. Turut memenuhi undangan (dari kiri) YDP PAS Temerloh Ustaz Abdul Rahim Latif, TYDP Haji Jusoh Darus, YB Syed Hamid dan Haji Jamuddin

4. Artis yang sedang menempa nama, Qamarul Roihan, memukau penonton dengan persembahannya

5. Persembahan artis veteran Mas Sabrey menyebabkan orang ramai menjadi terpegun

6. Posing istimewa dua penyanyi berunsur Islamik, buat memenuhi kerinduan peminat



Sunday, July 4, 2010

Najib, demo ‘Felda bankrap' dan realiti peneroka

Nampaknya tajuk akhbar Suara Keadilan ‘Felda bankrap’ terus menerus dijadikan bahan kempen Umno. Isu yang sepatutnya diselesai, dimusyawarah dan dihuraikan secara ilmiah dan memuaskan hati semua pihak, kini akhirnya menjadi modal politik Umno.

Apa yang sebenarnya diutarakan di mana simpanan tunai Felda lesap sebanyak 65% dalam masa lima tahun, terus disembunyikan tanpa penjelasan apabila isu sebenar ditutup dan pendedahannya dikutuk.

Terbaru, Presiden Umno Najib Tun Razak dilaporkan berkata seperti dipetik akhbar pro-Umno dengan tajuk: Peneroka marah Felda dihina.

“Seluruh warga peneroka di tanah rancangan Felda di negara ini marah dengan perbuatan akhbar Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghina institusi yang sudah banyak berjasa dan membawa pelbagai kemajuan dalam kehidupan mereka,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Laporan yang Najib terima itu tidak betul, sebab mereka yang marah itu bukannya seluruh peneroka tapi hanya segelintir peneroka ekstrimis Umno sahaja. Umpamanya, di Felda Bukit Damar adalah beberapa orang budak-budak Umno berdemonstrasi membantah akhbar Suara Keadilan.

Tapi penajanya ialah Suhaimi Tan iaitu AJK Pemuda Umno Temerloh dan pemimpin Majlis Belia Felda (MBF) Pahang. Penulis sangat kenal dengan Suhaimi ini, bahkan agak rapat dari segi mu’ayasyah dengan bekas kerani sekolah yang kini jadi kontraktor itu.

Jadi kalau itu nak diterjemahkan sebagai mewakili seluruh peneroka, itu tak betul. Jumlah yang membuat laporan polis terhadap Najib dan Ahmad Maslan di Balai Polis Temerloh hari itupun lebih ramai lagi.

Tetapi puak-puak ini pandai, mereka berkumpul dan panggil wartawan Sinar Harian, maka masuklah muka dan cerita mereka dalam surat khabar!

Begitu juga pada hari berikutnya di Jengka, di mana sekumpulan budak budak, berlatih demontrasi di belakang Balora Mastika,Bandar Jengka dengan tulisan pada manila card bertulis 'Felda Tak Bengkrap'!

Menurut seorang sahabat, Aris Fezul, demonstrasi ‘nak masuk surat khabar’ itu bukannya diadakan di tempat orang ramai, tetapi di ceruk tempat orang kurang lalu lalang. Sekadar nak ambil gambar untuk Sinar Harian!

“Bukan apa,kalau demontrasi tu tengah tengah Nadi Kota,diketawakan orang pulak. Sebab nampak sangat nak mengampu Felda walaupun Felda pun menyampah dengan muka dia.

“Orang Jengka pun kenal sangat muka-muka yang selalu kenyang dengan duit Felda ni. Dengar ceritanya perangai ketua demontrasi itu dah berjangkit pada anak perempuan dia pulak. Mana taknya lepas tak dipilih dalam MBF cawangannya, segala penyata kewangan, buku kira kira, baki duit MBF tak di pulangnya kepada pimpinan baru, sebab dia ingat MBF ini bapak dia punya.

“Demontrasi dengan budak-budak pagi tadi tentu saja ada kepentingan peribadinya, inilah peluang nak jadi hero. Ada rezeki boleh jadi calon, banyak lagi duit Felda boleh diambil manafaat. Orang Jengka 11 pun belum lupa, kisah korban perdana pemuda Umno. Felda habis ratus ribu untuk beli lembu korban Pemuda Umno. Lepas lembu kena sembelih, tokey lembu pulak dikorbankan,” tulis Aris dalam blognya.

Rupa-rupanya gelagat sebahagian pengampu Umno dalam Felda ini amat dipercayai Najib. Sehingga beliau sehingga ‘Menteri Felda’ ini menganggap ia suara peneroka. Barangkali laporan yang diterima dari ejen risikannya tak tepat, atau sengaja dipolitikkan.

Tapi isu wang Felda yang lesap bukan dusta, antaranya didedahkan sendiri oleh bekas Timbalan Menteri Koperasi, Datuk Dr Tan, baru-baru ini.

“Mana ada FELDA bankrap... ini perbuatan menghina satu institusi yang begitu banyak berjasa kepada masyarakat luar bandar selama ini,” kata Najib.

Kita akui Felda sebagai agensi pemaju, banyak berjasa kepada bangsa Melayu selama ini. Tapi adakah Najib tidak faham bahawa Felda hanya sekadar agensi pemaju, sedangkan tanah rancangan bukan milik Felda, tapi milik peneroka sebagai warganegara yang mengusahakan tanah itu. Ini berdasarkan undang-undang Akta GSA 1960.

Sekali lagi, Felda hanya agensi pemaju atau lebih mudah difahami, sebagai kontraktor! Apakah Najib tidak faham ini, atau buat-buat tak faham? Suhaimi Tan dan ketua demo di Jengka itu mungkin tak faham. Tapi Najib?

Jangan lupa, segala wang, kekayaan dan aset yang dimiliki Felda, ialah hak peneroka yang dibina sejak setengah abad lalu melalui titisan darah, keringat dan air mata.

Hasrat Allahyarham Tun Razak penerokaan tanah hutan belantara melalui agensi Felda dulu ialah untuk mengubah nasib orang Melayu di luar bandar, Tetapi Felda hari ini sudah dijadikan badan korporat dan tempat bermewah-mewah mereka yang berjawatan tinggi.

Peneroka? Tinggallah mereka dalam kedaifan dan terus melarat tanpa dipedulikan, dibelenggu pelbagai masalah.

“Jangan bimbang kerana Felda akan terus membela masyarakat penerokanya di seluruh negara kerana ia adalah hasrat kita sejak dulu lagi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerantut, semalam.

Demikianlah ucapan seorang yang bergelar Perdana Menteri.

Pernahkah mereka yang mahu digelar pemimpin dan pejuang Felda ini berfikir tentang peneroka yang dibelit hutang tidak pernah habis? Gred buah sawit yang ditipu Felda? Tanah yang diserah kepada Felda Plantations yang sebahagian besarnya tak terurus? Potongan wang tanah semula sejak mula masuk Felda tidak pernah dipulangkan? Penafian pelbagai hak sebagai tuan tanah?

Tahukah Najib, Suhaimi Tan dan kepala demo di Jengka bahawa setiap barangan yang dibekalkan mula-mula masuk Felda dulu seperti cop, cangkul, topi, kereta sorong, rumah, baja, racun dan semuanya dikira hutang dan peneroka kena bayar balik?

Apakah mereka sedar tentang nasib generasi kedua yang langsung tidak punya masa depan jika bergantung kepada Felda?

Baru-baru ini dikeluarkan satu statistik tentang kejayaan akademi anak-anak Felda. Tapi, sedarkah mereka hanya berapa ramai anak-anak Felda yang berjaya ini diserap ke dalam pentadbiran Felda bagi menguruskan ladang ibu bapa mereka? Siapa yang berada di atas tampuk pentadbiran Felda?

Pernahkah mereka diberitahu tentang jumlah aset Felda, iaitu sebahagian daripada khazanah sumbangan ibu bapa mereka?

Kita percaya, Umno mungkin boleh mneghimpunkan lebih ramai lagi juak-juak dan konco-konco mereka berdemonstrasi membantah ‘Felda Bankrap’ selepas ini, sebab ini memang agenda mereka. Kita percaya Umno akan lakukan provokasi ini demi survival politik mereka dan mereka telah mengakui bahawa di situlah lubuk terakhir kekuasaan politik mereka.

Tetapi semakin banyak peneroka dan generasi kedua mengikut telunjuk mereka, semakin jauhlah kepincangan sebenar dalam Felda daripada dapat diketahui para peneroka dan anak cucu mereka!



Friday, July 2, 2010

Penduduk kesal tanah hutan simpan diusahakan tauke

MARAN: Semenjak kebelakangan ini sering dilapor banyak berlakunya pencerobohan hutan simpan. Sesekali mungkin jenayah tersebut didedahkan di media-media cetak dan elektronik, manakala kebanyakannya terus didiamkan begitu sahaja.

Penggondolan hutan simpan yang tidak terancang sudah tentu boleh mendatangkan akibat buruk yang tidak dijangkakan seperti bencana alam dan hilangnya nilai ekonomi sesuatu kawasan tersebut.

Namun jika penerokaan hutan tersebut tidak mencacatkan alam sekitar dan dibuka untuk aktiviti pertanian khususnya bagi manfaat penduduk setempat, ia mungkin ada baiknya demi meningkatkan status ekonomi penduduk luar bandar.

Salah satu hutan simpan yang digondolkan dan diganti dengan tanaman sawit ialah di Kampung Serengkam, dalam Mukim Luit dekat sini.

Ladang yang terletak kira-kira empat kilometer dari bandar Maran itu dianggarkan seluas 300 ekar yang dikatakan diusaha secara pajak oleh seorang tauke bukan Melayu.

Menurut penduduk, projek yang telah berjalan sejak lebih setahun lalu itu, berdasarkan pelan yang mereka perolehi dari Jabatan Ukur dan pemetaan Pahang (Jupem), kawasan tersebut termasuk dalam rizab Hutan Simpan Melayu Pekan, Hutan Simpan Temelung dan Hutan Simpan Sejabun.

Mengikut pelan yang diperolehi dari pejabat tanah dan daerah Maran pula, kawasan yang bersebelahan dengan ladang Felcra Serengkam terbabit menunjukkan ia tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Penduduk mempersoalkan mengapa projek di tanah milik kerajaan itu tidak dilot-dilotkan kepada penduduk kerana dengan cara tersebut dapat meningkatkan ekonomi orang Melayu tempatan.

Lebih mengecewakan mereka, tauke tersebut tidak memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk bekerja sebaliknya menggunakan buruh asing sebagai pekerja mereka.

“Kami generasi muda di sekitar ini bukannya ada tanah. Sepatutnya pihak berkuasa kena prihatin sedikit dengan masalah kami. Daerah ini sangat kaya dengan hutan yang boleh diteroka dan tanah terbiar.

“Kami generasi muda ini pula miskin tanah. Jadi apa salahnya jika kerajaan prihatin sikit dengan memecahkan tanah-tanah kerajaan yang ada secara lot kepada kami untuk diusahakan. Biasanya jika kami usahakan tanah mengambil masa begitu lama untuk diluluskan berbanding dengan tauke bukan Melayu.

“Sekarang ini pula Maran saya dengar diisytiharkan sebagai daerah pengeluaran hasil pertanian. Jadi jika kerajaan serius mahu melibatkan penduduk luar bandar seperti kami dalam aktiviti pertanian moden, ia boleh membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu,” kata seorang penduduk.


Gambar:
1. Tanaman sawit sedang diusahakan setelah balak ditebang dan dibawa keluar

2. Penduduk meninjau kawasan hutan simpan yang ditanam sawit




Tonton Piala Dunia bersama pimpinan PAS Temerloh

TEMERLOH: Sempena perlawanan pertama suku akhir Piala Dunia antara Belanda menentang Brazil mala m ini (2 Julai), Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Temerloh menganjurkan program santai menonton bola di perkarangan Restoran Ibu Jah, Jalan Dato Bahaman dekat sini bersama pimpinan Kawasan dan Pemuda.

Menurut penganjur, Saari Saad, program bermula jam 9 malam itu akan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Di Pertua (YDP) Kawasan Temerloh Ustaz Abdul Rahim Abdul Latif.

Tayangan slid video Palestin juga akan dipamerkan pada waktu rehat perlawanan.

Semua yang berkesempatan dipersilakan hadir.


Thursday, July 1, 2010

Menziarah bekas pejuang yang dilupakan

Meskipun tidak ramai yang menyanjungnya sebagai pejuang, namun hasil kemerdekaan dan nikmat yang dikecapi anak bangsanya hari ini sudah cukup untuk membuatkannya tersenyum puas.

Bagi lelaki bersemangat waja ini, Abdullah Hashim, 77, beliau tidak pernah menyesali pilihan yang diambilnya iaitu bertempur secara gerila dengan penjajah kerana ia lahir daripada keyakinan. Walaupun terpaksa mengorbankan lebih separuh daripada usianya dalam rimba belantara tanpa pengiktirafan pemerintah.

“Masa darurat diisytiharkan (1948) saya pada ketika itu berusia 18 tahun. Rakan-rakan seusia saya ada yang mengambil keputusan untuk ke Singapura atau ke Kuala Lumpur untuk menjadi anak wayang atau mencari pekerjaan, saya memilih masuk hutan,” kata bekas anggota Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Malaya,PKM itu ketika ditemui di teratak usangnya di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh baru-baru ini.

Kata Abdullah yang dikenali dengan panggilan “penghulu” di kalangan kawan-kawan seperjuangannya, beliau ketika itu mendaftar sebagai anggota kumpulan bersenjata kerana memang benar-benar berhasrat untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah British.

“Kebetulan pada masa itu penduduk-penduduk di Temerloh dan persekitarannya memang menyokong perjuangan revolusional untuk menghalau penjajah kerana sisa-sisa perjuangan Dato’ Bahaman dan pahlawana-pahlawan Melayu tempatan masih segar”.

Anak Semantan kelahiran Kampung Tualang, Temerloh itu bersama 10 orang rakan-rakannya mendaftar untuk menyertai perjuangan bersenjata Rejimen Ke-10 yang ditubuhkan pada 21 Mei 1949 di Lubuk Kawah. Di sana mereka terus dilatih menggunakan senjata yang kebanyakannya diperolehi daripada home guard.

Apabila Rejimen Ke-10 pimpinan Abdullah CD memilih untuk ‘berundur’ ke sempadan Siam, anak kedua dari empat beradik ini turut menyertai perjalanan panjang itu menempuh belantara. Turut serta dalam gerombolannya ialah Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Musa Ahmad dan beberapa tokoh lain.

Oleh kerana susuk tubuh Abdullah tinggi dan tegap serta ketangkasannya, beliau diamanahkan sebagai pengawal peribadi kepada pemimpin. Menurutnya perjalanan ke Siam menyusur jajaran jalan keretapi dan beliau sempat bertempur beberapa kali dengan tentera penjajah.

“Perjalanan memakan masa berahun-tahun dan saya sempat dilatih oleh anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dalam bidang perubatan pergigian. Sehinggalah saya menjadi tukang gigi dalam kumpulan dan juga sewaktu menetap di perkampungan sempadan Siam,” katanya.

Apabila termeterai perjanjian perdamaian tiga pihak antara Kerajaan Malaysia, PKM dan Kerajaan Thailand di Haadyai pada 2 Disember 1989, bapa kepada seorang anak itu memilih untuk kembali ke Temerloh, tanah tumpah darahnya.

Menurutnya, rakan-rakannya sudah ramai yang tidak ada lagi di dunia ini dan yang tinggal hanyalah kesan-kesan perjuangan sengitnya dahulu. Itupun telah diputarbelit dan tidak diiktiraf oleh sejarah yang ditulis oleh anak didik penjajah.

”Jangan lupa, kemerdekaan yang diperolehi hari ini merupakan hasil sumbangan perjuangan orang terdahulu termasuk kami patriot tulen yang memilih jalan sendiri, walaupun tanpa penghargaan dan keadilan catatan sejarah,” katanya dengan suara keuzuran.

Abdullah kini hanya mampu terbaring di rumah lama milik keluarga isterinya akibat keuzuran dan masalah jantung. Pejuang ini hidup di dalam kedaifan tetapi masih bersemangat kental apabila diajak bercerita tentang perjuangan.

Kepada individu atau mana-mana para dermawan yang ingin memberikan sedikit sumbangan kepada Abdullah, amat dialu-alukan dan boleh berhubung dengan Tajudin Ramli, di nombor: 019 9887111.


Gambar
Abdullah yang kelihatan uzur sewaktu dilawati di rumahnya.







Debat Mazlan-Maslan

Jika Datuk Ahmad Maslan bertekad untuk mengheret akhbar Suara Keadilan serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat ke mahkamah atas isu Felda Bankrap, beliau juga harus menerima cabaran debat intelektual daripada Pengerusi Persatuan Anak-Anak peneroka Felda (Anak).

Ini bagi membuktikan bahawa Timbalan Menteri itu serius bahawa Felda selama ini dikendalikan dengan betul perjalanan, pentadbiran dan operasinya oleh pemimpin Umno.

Ini juga bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar tahu tentang Felda dan segala yang berkaitan dengannya. Sebab bagi Mazlan, jawapan Maslan di parlimen berhubung faktor kemerosotan dana tunai Felda, sebagaimana yang menjadi pertikaian umum pada masa ini, adalah sangat meragukan dan banyak tanda tanya.

Seperti yang diketahui umum, Maslan baru menyertai kabinet Najib Tun Razak sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sejak dua tahun lalu, itupun atas tiket sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia. Berbanding dengan Mazlan yang sudah 16 tahun menyusup di serata pelosok Felda seluruh negara, mengumpulkan segala permasalahan peneroka.

Barangkala Maslan masuk ke kabinet Najib, beliau hanya mengetahui bahawa Felda sebagai sebuah badan korporat, tetapi lupa tentang matlamat asal penubuhan Felda iaitu:
• Memajukan kawasan pertanian secara produktif dan sempurna melalui amalan pengurusan pertanian yang berkesan dari segi kebersihan ladang, pengeluaran hasil yang maksimum dan bermutu baik, serta pengeluaran yang kosnya terkawal ke paras minimum.
• Menggerakkan masyarakat peneroka supaya maju, produktif dan berdisiplin, meningkatkan taraf hidup yang lebih sempurna.
• Mewujud jentera pengurusan yang cemerlang dan bersifat profesionalisme dengan beroreintasikan pembagunan sosial.

Untuk mengetahui lebih kanjut tentang Felda, elok rasanya Maslan menerima cabaran Mazlan. Mungkin selain baerkaitan angka-angka tunai felda yang sudah ghaib, tajuk-tajuk berikut juga boleh dicadangkan dalam debat intelektual berkenaan:

1. Monopoli kekayaan Felda – agihan kekayaan tidak sama rata antara peneroka dan yang diambil Felda.

2. Generasi kedua tidak mempunyai sebarang kelebihan atau tidak dipedulikan Felda terutama dalam soal pemberian tanah.

3. Peneroka ialah tuan tanah, tapi Felda pula yang bekuasa menentukan segala-galanya mengikut telunjuk pemerintah

4. Seluruh agensi yang ada dalam Felda semuanya dipergunakan untuk kepentingan Felda semata-mata.

5. Peneroka mahukan keadilan.

Umum sudah tentu mahu melihat debat tersebut menjadi kenyataan kerana jika hanya tindakan undang-undang diambil pihak kerajaan, ia dilihat sebagai satu "cubaan untuk melindungi sesuatu".



Tuesday, June 29, 2010

Ulamak sertai Umno: Satu Malaysia kena tipu

Ini berita yang baru kami terima.

Sebenarnya hanya tiga atau empat orang sahaja ulamak muda yang menyertai Umno, manakala selebihnya yang datang pada malam tersebut hanya kerana ‘diperangkap’ supaya hadir.

Mungkin program tersebut terpaksa diatur begitu rupa, kerana jika hanya tiga, empat orang ulamak yang mahu masuk Umno, 'siaran langsung' yang dipaparkan di telivisyen itu tidak nampak hebat dan grand.

Kenyataan tersebut didedahkan kepada Selamatkan Pahang sebentar tadi oleh satu sumber yang layak dipercayai.

Menurut sumber berkenaan, lebih 30 orang ulamak muda yang berbaris bersalaman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas di PWTC itu akan hadir ke satu program Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan malam ini. Mereka dijangka akan membuat pengakuan dalam satu sidang media dengan mendedahkan apakah sebenarnya terjadi pada malam tersebut.

Alangkah bodohnya dunia, terpedaya dengan gelagat tiga empat orang ustaz yang gelatat sangat nak masuk Umno, sehingga menyangka sudah ada ‘arus baru’ menyokong Umno dari institusi ulamak yang selama ini amat dihormati oleh orang Melayu .

Alangkah bodohnya pemimpin tertinggi Umno (jika mereka percaya), yang dikelentong oleh tiga, empat orang ulamak yang kerana menurutkan hawa nafsu untuk menyertai parti itu, mereka sanggup memerangkap ulamak muda yang lain untuk berbaris bersalam dengan Najib.

Mungkin beberapa pemimpin PAS juga terpedaya, sehingga telah membuat beberapa kenyataan. Realitinya, pada malam tersebut hanya tong kosong yang dipukul.

Jadi, confirm... tiga empat orang ulamak nak masuk Umno punya hal, satu Malaysia kena tipu!


Khasiat Betik

Betik (Carica papaya) ialah tumbuhan semula jadi tropika Amerika. Buah betik berbentuk bujur yang agak panjang hingga ke bentuk yang hampir bulat. Kulit buah betik yang masak berwarna kuning cerah hinggalah kuning pekat. Isinya pula berwarna kuning, oren hingga ke warna merah cerah atau merah. Isi betik rasanya manis, dan aromanya seharum kasturi.


Betik kaya dengan vitamin A, vitamin C dan juga kalium. Selain itu terdapat kalsium, besi, tiamin, riboflavin dan niasin dalam betik. Jumlah kalorinya sangat rendah. Kesemua nutrien yang terdapat di dalam sebiji buah betik dapat membantu mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan strok.

Cara yang terbaik untuk menikmati buah betik yang menyegarkan ini adalah dengan cara memotongnya kepada dua, buangkan biji hitamnya dan potong memanjang.


Monday, June 28, 2010

Apa signifikannya kepada PAS 40 ulama masuk Umno?

Akhirnya Jumaat lalu sekumpulan 40 ulama muda bertindak menyertai Umno. Mereka menyerahkan borang penyertaan ahli Umno kepada Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak di tingkat empat Menara Dato' Onn sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Kumpulan itu diketuai oleh Fadlan Mohd Othman, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Alasan yang diberi untuk menyertai Umno ialah untuk menyemarakkan lagi usaha berdakwah menerusi Umno menyediakan ruang yang lebih besar, bukan untuk berpolitik, kata beliau.
Ketika ditanya mengapa tidak memilih PAS sebagai parti politik, Fadlan berkata dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu sudah ada ramai ulama.

Seorang yang menamakan dirinya Abu Anis, yang mengaku kenal dengan Fadlan dan kumpulan ulamak muda berkenaan, mengulas dalam laman Malaysian Insider bahawa kumpulan tersebut masuk Umno kerana terpaksa.

“Mereka telah disiasat berkenaan dakwaan JI, Wahabi. Sebab tu masuk Umno.ternyata mereka ini lemah tak tahan diuji. Bercakap saja ikut sunnah dan aqidah yang sahih tapi tuan-tuan tengok sendirilah..., “ tulisnya.

Ada pula yang berkata, mereka ini, dengan kefahaman yang ada, tidak mendapat tauliah untuk mengajar di surau masjid, terutama di negeri Selangor. Jadi dengan menyertai Umno, konon ceritanya, dapat memudahkan mereka memperolehi permit mengajar dan berceramah selepas ini.

Apa-apapun alasannya, mereka sudah menyertai Umno. Sebagai warga dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kita tidak boleh mempertikaikan mereka. Sebab, itu hak mereka.

Namun bagi PAS, perkara ini tidak boleh diterima sebagai enteng dan remeh sahaja. Saya katakan demikian kerana terdapat pandangan sinikal dan bersikap tidak kisah dengan kemasukan tersebut. Pada hal ia sepatutnya dijadikan cabaran.

Pada saya, sikap ini silap... jika PAS bertekad menggantikan Umno menjadi parti pilihan orang Melayu, sebagai wadah untuk ke Putrajaya selepas PRU ke-13 nanti.

Ya, kita mengaku, setakat mana sangatlah 40 orang ulamak masuk Umno, berbanding mungkin lebih 40,000 ulamak muda yang telah sedia ada dalam PAS sekarang.

Kita pun boleh berhujah, Imam Besar Masjid Negara Ustaz Pirdaus Al-Hafiz pun entah ke mana setelah bergelumang dalam selut Umno!

Namun begitu kita kena ingat, kemasukan mereka ke dalam Umno luar biasa. Mereka masuk Umno dengan disaksikan oleh mungkin lebih 15 juta rakyat Malaysia melalui kaca televisyen di rumah masing-masing dan diulang-ulang.

Dan selepas ini mereka akan dipergunakan Umno untuk menggambarkan bahawa parti itulah yang mahu mendaulatkan Islam di bumi ini. Mereka akan ditaja untuk bergerak ke serata ceruk dan pelusuk penempatan orang Melayu untuk ‘berdakwah’ tentang betapa islamiknya Umno dan betapa perlunya diundi.

Bayangkan bagaimana perasaan dan sikap orang Melayu di kampung-kampung apabila tok-tok guru muda dari Umno berkempen kepada mereka.

Sedangkan cabaran PAS pada PRU akan datang ialah untuk mengembalikan undi orang Melayu, sekurang-kurangnya seperti pada PRU 1999. Ini sahaja jalan untuk ke Putrajaya. Sebab, kita berpendapat undi bukan Melayu terutamanya Cina, kekal bahkan terus meningkat berbanding PRU pada 2008.

Justeru apa yang kita mahu, Dewan Ulamak dalam PAS mestilah berperanan menarik seberapa ramai ulamak yang masih ada di luar. Dewan Pemuda mesti bekerja membawa masuk seberapa ramai pemuda yang masih bergentayangan di luar. Dewan Muslimat lebih-lebih lagi mesti berperanan besar membawa masuk seberapa ramai wanita yang dapat. Kerana undi golongan wanita sangat penting. Nisa’ pun begitu juga, mesti bekerja dua kali ganda memperhebat program. Ahli-ahli Dewan Himpunan Penyokong juga perlu berkerja keras menarik lebih ramai ahli.

Pendek kata semuanya mesti bekerja keras dan jadikanlah 40 ulamak sertai Umno itu sebagai cabaran.

Lubuk Yu ragut nyawa lagi

Air terjun Lubuk Yu merupakan kawasan perkelahan, mandi manda dan yang paling ideal untuk seisi keluarga kerana arusnya yang tidak begitu deras menjadikan ia air terjun yang paling digemari dan popular.

Di kelilingi Felda Gugusan Jengka dan berada dalam daerah Maran, ia manarik pengunjung luar dan tempatan juga disebabkan kawasannya yang tenang dengan dipenuhi flora dan fauna yang sungguh menyegarkan.

Namun banyak dalam kegembiraan bermandi-manda di hutan lipur itu, kerap kali bertukar tragedi apabila salah berlaku kemalangan yang tidak diingini seperti kejadian mati lemas.

Terbaru ialah pada hari Sabtu lalu di mana Mohd Azhar Azizan, 28, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berasal dari Felda Jengka 17 mati lemas ketika mandi bersama empat rakannya datang berkelah di tempat tersebut.

Bapa kepada seorang anak juga yang bertugas di Tapah, Perak itu pada mulanya dikatakan menyelam ketika mandi di kawasan pada kedalaman 4.3 meter dan tidak timbul menyebabkan rakannya mengesyaki mangsa lemas dan membuat percubaan mencari di kawasan sekitar.

Usaha mereka gagal dan polis dimaklumkan kira-kira jam 8.00 malam dan tiba di kawasan kejadian bersama pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bandar Jengka kira-kira jam 8.25.

Pada masa ini operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan. Sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

Sunday, June 27, 2010

Lesen judi: Model ekonomi apa?

Oleh DATO' DR. SIDDIQ FADZIL
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

ومن أعرض عن ذكرى فإن له معيشة ضنكا ونحشره يوم القيامة أعمى
Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh,
dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan
Mengumpulkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta.
(Taha: 124).

Pada suatu ketika seorang tokoh Melayu-Muslim mendakwa tidak menemukan ayat larangan berjudi dalam al-Qur'an, lalu ramai yang menanggapinya sebagai suatu kelucuan. Tetapi sebenarnya ia adalah hal yang malang dan menyedihkan. Mungkin dakwaan tersebut agak sukar diterima akal, tetapi demikianlah cara pengarah casino terkenal itu berhelah untuk mempertahankan kredibilitinya.

Di tengah heboh isu lesen judi ketika ini, terlintas suatu kemungkinan bahawa beliau tidak keseorangan, tetapi ada lagi orang-orang kenamaan Melayu-Muslim yang tidak mengenal ayat judi, atau tidak dapat melihat bahaya dan keburukan judi. Kemungkinan lain ialah lemahnya penguasa politik Melayu-Muslim sehingga tidak berdaya berkata "tidak!" kepada lobi dan tekanan taukeh-taukeh judi. Tentu ada pula sebabnya mengapa mereka menjadi selemah itu apabila berhadapan dengan kekuatan wang. Sikap terhadap judi dan maksiat-maksiat lain sebenarnya sangat ditentukan oleh faktor iman dan ilmu. Kedua-dua faktor itulah yang dapat memberikan kekuatan dan keberanian bersikap dengan benar, sesuai tuntutan iman dan kebenaran ilmu.

Andainya kita melihat segala sesuatu dari perspektif Qur'ani, dan andainya Tuhan dan Ayat-Ayat-Nya masih mempunyai erti dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara persoalan ini tidak akan sampai menjadi isu. Tidak ada alasan apa pun yang boleh dipakai untuk menjustifikasikan judi dalam segala bentuk dan modelnya. Larangan berjudi diungkapkan dalam al-Qur'an dengan nada yang cukup jelas, tegas dan keras sekali:

يآأيّها الذين آمنوا إنّما الخمروالميسروالأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان
.فاجتنبوه لعلّكم تفلحون

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi,
(berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak
panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan.
Maka jauhilah (perbuatan-perbuata n) itu agar kamu beruntung.
(Al-Ma'idah: 90).

Ayat tersebut bermula dengan ungkapan panggilan (wahai orang-orang yang beriman!), suatu gaya panggilan istimewa yang penuh penghormatan. Mereka yang memiliki sensitiviti keimanan akan tersentak mendengar panggilan tersebut. Justeru, kita dipanggil dengan kalimat yang mengungkapkan sikap dan pendirian bijak yang telah kita ambil iaitu pendirian untuk beriman. Kesan semerta gaya panggilan sedemikian ialah timbulnya kesedaran tentang perlunya sikap konsisten seorang mukmin iaitu peka dan responsif terhadap apa jua perintah Tuhan yang diimani. Orang mukmin tulen akan berasa malu andainya gagal menepati tuntutan iman. Mengaku beriman dengan Allah, tetapi kemudiannya mengingkari perintah-Nya adalah sikap tidak konsisten dan tidak jujur. Demikianlah al-Qur'an mempersiapkan jiwa dan minda mukmin untuk menerima perintah yang segera akan menyusul pada kalimat-kalimat berikutnya.

Panggilan tersebut diikuti dengan sebutan sejumlah amalan keji yang mencirikan budaya masyarakat jahiliah, termasuk judi (al-maysir). Demikianlah hakikatnya, judi bukan amalan masyarakat maju dan bertamadun tinggi. Ia adalah sisa kejahiliahan masa lalu yang jijik dan memalukan. Dalam ayat tersebut judi jelas-jelas disebut rijsun, suatu yang keji, kotor dan menjijikkan. Meskipun mungkin dilakukan di ruang casino yang serba moden, megah dan meriah dengan gemerlap pencahayaan yang berwarna-marni, hakikatnya ia tetap kotor dan menjijikkan. Orang yang mempunyai maruah akan berasa malu terlibat dengan judi, melakukan amalan berjudi, atau bersikap pro-judi.

Setelah disifatkan sebagai rijsun dengan segala kekejian dan kekotorannya, disebut pula hakikat judi sebagai produk pekerjaan syaitan (min `amal al-shaytan). Andainya ada orang yang melihat judi itu baik dan cantik, sebenarnya ia tertipu dengan pesona hasil gubahan syaitan. Memang syaitan memiliki kemahiran tinggi membungkus dan mengemas kekejian sehingga tampak bagaikan kebajikan. Memang itulah keahliannya: mempedaya manusia dengan kejahatan yang dihias indah dan megah sehingga disangka kebaikan tulen dan asli.

Orang mukmin yang sentiasa ingat dan sedar tentang permusuhan abadinya dengan syaitan akan sangat alergik dengan apa sahaja yang terkait dengan syaitan, lalu sentiasa mewaspadai segala bentuk jebakan dan jerangkap samar syaitan. Mereka yang melihat judi sebagai suatu yang baik dan menguntungkan, pada hakikatnya bukan orang bijak, tetapi orang naïf, tidak dapat membaca tipu-daya syaitan dan rakan-rakan kongsinya.

Pemakaian kata shaytan dalam al-Qur'an ada yang meliputi makna manusia dan jin yang jahat, menipu orang dengan kata-kata propaganda yang penuh tipu-daya sebagaimana dalam ayat:

وكذالك جعلنا لكل نبيّ عدوّا شياطين الإنس والجنّ يوحى بعضهم إلى بعض
...زخرف القول غرورا
Dan demikianlah untuk setiap nabi Kami menjadikan musuh
yang terdiri daripada syaitan-syaitan manusia dan jin,
sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang
lain perkataan yang indah sebagai tipuan. … (Al-An`am:112) .

Demikianlah kata syaitan yang mungkin berwujud sebagai manusia (al-ins) yang memusuhi nabi-nabi, menolak dan mengenepikan ajaran-ajaran mereka. Manusia-manusia syaitan ini juga selalu bekerjasama, saling membantu dalam menciptakan propaganda, dakyah dan slogan indah yang motifnya adalah penipuan dan pembodohan. Ungkapan "perkataan yang indah" (zukhrufa 'l-qawl) mungkin meliputi juga alasan-alasan rekaan untuk menjustifikasikan sesuatu perbuatan atau amalan keji, termasuk dakwaan kononnya ada judi kebajikan yang bermaksud baik, untuk mengumpul dana yayasan membantu golongan miskin. Andainya dasar menjadikan judi sebagai sumber pendapatan itu adalah sejenis model ekonomi, maka nama paling tepat ialah model ekonomi kesyaitanan atau satanomics.

Walau dikemas secantik mana, dan berikan label seindah mana, selagi hakikatnya adalah judi, al-Qur'an tetap tegas, "maka jauhilah ia!" (fa 'jtanibuhu). Kata "jauhilah" mengisyaratkan makna betapa keji dan berbahayanya judi sehingga tidak boleh dihampiri, apa lagi dilakukan. Al-Qur'an tidak mengatakan jangan lakukan!, tetapi jauhilah!. Ertinya, menghampirinya sahaja sudah salah, belum melakukannya lagi. Implikasi gaya pengungkapan sedemikian ialah bahawa yang dilarang bukan hanya berjudi, tetapi juga mewujudkan suasana yang merangsang orang berjudi, membuka ruang untuk orang berjudi, dan memberikan lesen kepada syarikat perjudian.

Ayat tersebut dihujungi dengan ungkapan pembawa harapan semoga "kamu beruntung" (la`allakum tuflihun). Jelas yang diberikan harapan akan beruntung bukan mereka yang berjudi, tetapi yang menjauhi judi. Bukankah ada juga orang berjudi yang beruntung? Sebenarnya tidak ada. Yang ada ialah orang yang tertipu, berasa beruntung walhal pada hakikatnya ia kerugian, terjerumus dalam kekejian dan menanggung dosa berat dunia-akhirat. Demikianlah ketololan manusia tahi judi, berasa mendapat, walhal hakikatnya ia kehilangan. Hilang dan musnahnya harapan untuk mencapai kejayaan dan keberuntungan hakiki. Demikianlah antara mesej tersirat ayat al-Ma'idah tersebut: Berjaya tanpa judi!.

Sebagai produk kemasan syaitan, judi membawa pelbagai kerosakan moral-sosial yang serius. Demikianlah seperti yang dijelaskan dalam ayat berikutnya:

إنّمايريدالشيطان أن يوقع بينكم العداوة والبغضاء فى الخمروالميسرويصدّكم
عن ذكرالله وعن الصلاة فهل أنتم منتهون.

Dengan arak dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud
menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu,
dan menghalang-halangi kamu dari mengingat Allah dan
dan melaksanakan solat, maka tidakkah kamu mahu
berhenti?. (Al-Ma'idah: 91)

Judi yang berkesudahan mengambil harta orang secara tidak benar, bukan upah dan bukan keuntungan perniagaan, menyebabkan kerugian di pihak lain. Seterusnya kecurangan inilah pula yang membangkitkan rasa marah, benci dan dendam permusuhan seperti yang terluah dalam caci-maki dan sumpah-seranah pihak yang berasa dirugikan. Apalah erti slogan 1 Malaysia jika judi yang jelas-jelas menjadi pencetus permusuhan dan kebencian dibenarkan? Berjudi memang selalu mengasyikkan kerana dimeriahkan dengan sorak-sorai dan rangsangan syaitan. Keasyikan itulah pula yang melalaikan orang sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap Tuhan, termasuk tanggungjawab utamanya iaitu solat, dan tanggungjawab lainnya seperti keluarga dan masyarakat. Berapa banyak rumah-tangga yang runtuh dan keluarga yang menjadi porak-poranda gara-gara ketagihan judi.

Apabila segala kerosakan tersebut terjadi, bererti tercapailah tujuan syaitan, dan berjayalah rencana jahat mereka. Bayangkan betapa meriahnya syaitan berpesta ketika lesen judi diluluskan, dan bayangkan betapa gegak-gempitanya sorak-sorai syaitan nanti apabila ramai orang Islam terjerumus dalam jebakan judi. Secara realitik dapat dipastikan bahawa mekanisme yang ada ketika ini tidak akan berdaya, dan mungkin sekali tidak akan berminat menghalang orang Islam daripada terlibat dengan judi yang diangkat menjadi sejenis pesta besar. Persoalan ini mengingatkan kita kepada penglibatan orang Melayu-Muslim dalam syarikat perjudian ternama di negara ini. Catatan Joe Studwell dalam bukunya Asian Godfathers: Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia wajar kita renung dengan penuh rasa prihatin,

Lim Goh Tong's casino empire keeps its Malay shareholders
under very close wraps since gambling is an anathema to
Islam; almost all the large shareholders in his main listed
vehicles are nominee companies. But Lim cannot hide his
dependence on close relationships with Malaysia's powerful
police force. Retired officers take many jobs at his giant
casino, while directors and executives of Genting, his main
company, have included a former inspector general and
deputy inspector general of the national police force. (Hlm.
75-76).

Hampir semua orang tahu, termasuk yang bukan Islam bahawa judi adalah suatu kemungkaran besar yang membawa akibat buruk. Tetapi kenapa dibenarkan juga? Al-Qur'an dengan jelas dan tegas menyebutkan antara tanggungjawab penguasa ialah melaksanakan amar makruf nahi munkar, mendorong kemakrufan dan mencegah kemungkaran (al-Hajj:41) . Apakah bisikan taukeh judi sudah mengatasi pesan Ilahi? Agama memberikan panduan jelas kepada pemerintah Muslim agar menjadikan maslahah sebagai asas apabila membuat sesuatu dasar atau keputusan.

تصرّف الإمام منوط بالمصلحة

Tetapi apa yang terjadi jelas bertentangan dengan prinsip tersebut. Meluluskan lesen judi bererti menjadikan mafsadah (kerosakan) sebagai asas pijakan dalam membuat dasar dan keputusan. Bagaimana rakyat dapat merasa damai, tenang dan yakin jika pemerintahnya sudah tidak komited kepada prinsip maslahah, malah sebaliknya sudah hilang kepedulian terhadap tanggungjawab melindungi rakyat dari mafsadah dan kebejatan moral-sosial.

Melihat hal-hal di sekitar isu ini, rakyat mulai bertanya siapa sebenarnya yang berkepentingan dalam kelulusan lessen judi ini? Kenapa pemimpin-pemimpin politik kelihatan tidak berdaya menolak kemahuan syarikat-syarikat perjudian sehingga pesan Tuhan tidak dipedulikan dan suara rakyat tidak diindahkan. Apakah ini satu lagi bukti yang membenarkan dakwaan Noreena Hertz tentang berlakunya gejala pengambilalihan kuasa secara senyap?

Dalam bukunya The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy beliau mengatakan,
Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant,
and dishonest. People see their governments as unable
to deliver what they promise, obsessed with unimportant
issues and internal politicking, riddled with corruption,
clinging to outmoded notions of authority, and increasingly
in the pockets of businesspeople. (hlm. 121).

Alangkah malangnya jika benar bahawa pemimpin-pemimpin politik yang mewakili rakyat sudah …increasingly in the pockets of businesspeople, sudah semakin jauh berada dalam poket tokoh-tokoh dan taukeh-taukeh perniagaan, termasuk pemilik-pemilik syarikat perjudian.

Mungkin ada yang mempertahankan dasar membenarkan perjudian atas perkiraan ekonomi, bahawa Judi adalah sumber penting pendapatan negara. Mungkin ada negara atau pihak-pihak lain yang menjadikan judi sebagai sumber pendapatan, tetapi yang pasti judi tidak boleh dan tidak mungkin menjadi sumber kesejahteraan. Sebaliknya ia adalah punca kesengsaraan. Tidak mempedulikan pesan dan peringatan Tuhan bererti menempah kesengsaraan. Itulah yang dimaksudkan dengan ma`isyatan danka (kehidupan yang sempit) sebagaimana diperingatkan dalam ayat 124 surah Taha di atas.

Meskipun mungkin ditimbuni harta yang melimpah ruah, tetapi ia adalah kehidupan yang terputus dari rahmat Tuhan dan tersisih dari naungan-Nya. Sumber kesejahteraan adalah Allah, Tuhan yang bernama al-Salam. Tidak ada kesejahteraan, kedamaian dan keteduhan selain dalam kehidupan yang sirami rahmat Ilahi dan diteduhi naungan-Nya. Tanpa rahmat dan naungan-Nya yang ada hanya keresahan, ketegangan, keraguan dan ketakutan. Hidup tanpa rahmah dan barakah itulah yang disebut hidup yang malang dan celaka dalam hikmah kepujanggaan bangsa:
Bergantung kepada Yang Satu
Berpegang kepada Yang Esa
Tuah hidup sempurna hidup
Hidup berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal haram.

BANGI: 9 Jun 2010.

Friday, June 25, 2010

Dituduh ‘pengganas’, Dr Asri tak jadi masuk Umno

Itulah Tuhan Yang Maha Kaya. Jika tidak dituduh pengganas oleh agensi kerajaan Barisan Nasional (BN), bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mungkin menyertai Umno hari ini.

Malaysian Insider memetik sumber yang rapat dengan Dr Asri, mengesahkan bahawa bekas pensyarah USM itu telah mengubah fikiran dua hari lalu untuk tidak menyertai parti pimpinan Najib itu kerana kecewa dengan tuduhan fahaman Wahabi dan kaitan dengan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI).

“Mengambil kira laporan dan dakwaan bahawa Dr Asri mengamalkan fahaman wahabi dan ada kaitan dengan kumpulan JI, beliau memutuskan bukan masanya untuk menyertai Umno... beliau agak kecewa dengan apa yang berlaku sejak awal minggu ini,” kata rakan Asri ketika dihubungi.

Bagaimanapun sumber itu menambah, perbincangan antara Asri dengan kepimpinan Umno akan diteruskan.

Cerita Asri masuk Umno ini pada asalnya didedahkan oleh Umno Online dengan menyebut beliau bersama kira-kira 50 lagi yang terdiri daripada cendekiawan agama dan ulama muda yang akan menganggotai Umno Cawangan Dataran Merdeka yang terletak dalam Bahagian Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Perkara tersebut kemudiannya disahkan oleh Setiausaha Kerja Umno Pusat, Datuk Ab Rauf Yusoh. Menurut perancangan, kumpulan ulamak muda itu akan menyerahkan borang keahlian menyertai parti itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn di sini hari ini dan akan dipancarkan secara lintas langsung melalui media elektronik ke seluruk pelosok tanah air.

Tindakan tersebut dikaitkan dengan usaha Umno/BN pada masa ini untuk mengangkat imej parti itu menjelang PRU ke 13 akan datang. ‘Penjenamaan semula’ Umno/BN bagi membersihkan semula ‘arang yang terconteng’ di wajah parti tersebut selepas mengalami banyak kekalahan selepas PRU 12, pada 2008 yang lalu.

Ketika dimalukan itu Umno/BN diterajui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib mahu menebusnya kembali sebagai pemimpin baru.

Sementara itu, ramai yang berpendapat jika kemasukan Dr Asri itu menjadi kenyataan, ia merupakan ‘Anwar baru’ kepada Umno. Semasa kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Umno (dengan alasan untuk mencuci dari dalam) pimpinan (Tun) Dr Mahathir pada 1982, Umno/BN dikatakan mendapat impak yang menakjubkan sehingga pada pilihan raya tersebut, pembangkang khususnya DAP mengalami kekalahan teruk.

Najib dikatakan bercita-cita untuk mengulangi kecemerlangan tersebut.

Namun Anwar menghadapi nasib malang apabila di hujung-hujung karier politiknya selama 15 tahun bersama Umno, beliau dituduh pengkhianat dan peliwat oleh pimpinan parti tersebut sendiri sehingga mengakibatkan beliau tersingkir, dibelasah, diaib dan dipenjarakan.

Namun Dr Asri nampaknya menghadapi nasib lebih malang lagi. Kerana jika Anwar dilabel pengkhianat selepas 15 tahun bergelumang dengan Umno, Dr Asri pula belum mengisi borang Umno pun lagi, sudah dituduh pengganas!

Barangkali Tuhan sayangkan Dr Asri, ulamak boyish face itu tidak sepatutnya terperangkap dan diaibkan dalam ‘tong tahi’ Umno barulah mahu serik dan insaf dengan parti itu!





Thursday, June 24, 2010

Kita tidak mahu menteri bertukar, pelajar jadi korban

Apakah pelajar-pelajar anak bangsa kita sekali lagi menjadi bahan uji kaji dan eksperimen pemimpin kerajaan Umno/BN?

Terbaharu ialah polemik yang diutarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan bercadang untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Apakah ‘revolusi’ sistem tersebut sudah diteliti dengan lebih mendalam? Apakah kerajaan sudai mempunyai alternatif lain yang lebih kukuh? Apakah pihak PIBG, persatuan-persatuan guru, dan badan-badan mahasiswa dan profesional sudah dibawa berbincang?

Ataukah cadangan tersebut hanya dibincangkan sekitar beberapa kerat pemimpin Umno?

Persoalan-persoalan ini perlu ditanyakan kepada menteri bertanggungjawab kerana anak-anak kitalah nanti yang bakal menjadi bahan uji kaji dan eksperimen pemimpin-pemimpin Umno itu.

Apa yang kita tidak mahu ialah, akibat daripada percubaan itu ialah berlakunya kesilapan demi kesilapan berulang dalam keghairahan pimpinan Umno mengubah polisi sistem pendidikan negara.

Kata orang, dasar dan sistem pelajaran negara akan berubah apabila berlaku pertukaran menterinya. Hinggalah orang merumuskan, Malaysia merupakan negara yang paling acap menukar dasar dan sistem pelajarannya, berbanding negara-negara lain di dunia.

Siapa yang tidak tahu bahawa kerajaan Umno/BN dan menterinya telah melakukan kesilapan demi kesilapan akibat percubaan demi percubaan terhadap dasar pelajaran.

Kita sudah maklum bahawa Kerajaan Umno/BN sebelum ini pernah mengubah sistem pendidikan dengan mengemukakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) namun terbukti gagal.

Jauh sebelum itu dulu, ialah Kerajaan Umno/BN memperkenalkan dasar menghapuskan tulisan jawi dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Akibatnya? Berjuta-juta umat Melayu menjadi buta jawi, sekali gus jahil agama.

Ertinya, yang melakukan kesilapan ialah menteri Umno sementara yang menjadi korban hasil eksperimen yang gagal itu ialah anak bangsa kita, anak Malaysia dan anak-anak kita sendiri!
Hasilnya, kedudukan Malaysia kini semakin ketinggalan berbanding negara jiran lain dalam pelbagai sektor hingga mungkin menyebabkan peningkatan pengangguran kerana tiada kemahiran dan kelayakan yang sesuai mengikut permintaan.

Kepada kita, Kerajaan Umno/BN sementara memrintah ini perlu menambah baik perkara bahagian-bahagian yang lemah ini, bukan hanya ghairah mahu menggantikan sesuatu polisi tanpa sebarang perancangan konkrit, perundingan dengan semua pihak dan bersedia dengan alternatif yang sudah terbukti.

Sebenarnya banyak lagi penambahbaikan yang perlu kerajaan lakukan dengan kelemahan dan kedaifan pra-sarana dan peralatan atau kemudahan untuk guru dan murid sekarang. Untuk mengetahuinya, menteri perlu turun dan menghayati sendiri, umpamanya menangani rungutan-rungutan daripada guru-guru selama ini.

Cadangan untuk memansuhkan dua peperiksaan utama itu, setidak-tidaknya, dijangka akan memberi kesan terutamanya terhadap perkembangan sistem pendidikan dan pelajar sekolah kebangsaan yang mempunyai sukatan kurikulumnya tersendiri.

Rizab Felda susut: Laporan polis terhadap Najib, Ahmad Maslan

TEMERLOH: Berikutan penyusutan sehingga 65 peratus rizab tunai Felda, satu laporan polis telah dibuat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan bagi disiasat sama ada terdapat unsur penyelewengan.

Laporan tersebut telah dibuat oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman bersama lima orang peneroka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada 23 Jun, dengan diiringi kira-kira 50 orang penyokong.

Mazlan dalam sidang medianya selepas itu berkata, beliau membuat laporan polis berdasarkan jawapan Ahmad Maslan di parlimen pada 17 dan 18 jun lalu dan surat terbuka bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Dr Tan Kee Kwong sebelum ini.

“Berdasarkan pengakuan Ahmad Maslan status kewangan Felda merudum dari RM4.08 bilion pada 2004, kepada RM1.35 bilion pada 2009. Ini kejatuhan yang sangat dahsyat, iaitu kira-kira 65 % dalam tempoh lima tahun. Bagaimanapun penjelasan daripada Ahmad Maslan lebih banyak menimbulkan keraguan,” katanya.

Menurut Mazlan, antara alasan yang diberi oleh timbalan menteri itu ialah RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil.
Sebanyak RM203 juta wang Felda juga digunakan untuk pinjaman rumah, RM253 untuk tabung kemiskinan Sabah dan RM662 untuk bangunan baru Felda.

“Semua alasan tersebut tidak logik dan menimbulkan banyak persoalan. Bagi setiap peneroka yang terlibat dengan tanam semula telah mencarum setiap bulan dan dipotong oleh pengurusan Felda selama 15 tahun dan dilaburkan pula. Mengikut kiraan kami, sebanyak RM3 bilion terkumpul untuk tujuan itu. Jadi mengapa perlu dibelanjakan sehingga RM2 bilion lagi?

“Bagi setiap pinjaman perumahan yang dibuat peneroka pula merupakan hutang yang dibayar balik setiap bulan. Mereka dikenakan kos pengurusan 2.5 peratus. Jadi mengapa perlu dikeluarkan RM603 juta itu. Ke mana wang tersebut dibelanjakan?,” soal Mazlan.
Mengenai wang Felda dibelanjakan untuk membiayai kemiskinan di Sabah, Mazlan berkata ia tidak relevan kerana jumlah penempatan peneroka di negeri tersebut terlalu kecil.

"Felda Plantation, Estet Felda yang terbesar di Malaysia terletak di Felda Gugusan Sahabat (Sabah). Kenapa tidak digunakan keuntungan dari Felda (Plantation)itu,'' soal Mazlan lagi.

Mazlan turut mempertikai harga bangunan baru Felda setinggi 50 tingkat yang dibina di Platinum Park KLCC yang mencecah RM662 juta kerana laporan sebuah akhbar harian sisipan khas pada 26 Februari 2008, menyebut bangunan tersebut ialah RM640.77 juta.

“Kenapa berlaku perbezaan harga yang sangat ketara?,” soal Mazlan.

“Isu ini sangat besar kerana membabitkan kepentingan 112,635 orang peneroka dan lebih 800,000 generasi baru Felda. Kita tidak mahu wang milik institusi pembangunan tanah bertujuan membasmi kemiskinan orang Melayu ini dibazirkan sesuka hati”.

“Sebab itu kami mendesak laporan polis ini disiasat dan tindakan segera termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat dilakukan segera,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanudin Salim, Pengerusi Cabang PKR Kuala Krau, Haji Suhaimi Said, Timbalan Presiden ANAK Aris Fezul Ismail dan Pengerusi Cabang PKR Maran Bustamin Abu Bakar.


Gambar:

Sebahagian daripada kira-kira 50 orang yang hadir ke IPD Temerloh setelah membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan berkaitan kemerosotan 65 % rizab tunai Felda.





Wednesday, June 23, 2010

Tengku Zul Tengku Puji: Orang Melayu dalam kepimpinan DAP

Barangkali tidak ramai yang mengenali YM Tengku Zulpuri (Tengku Zul), 46, berbanding Mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Tengku Puji Tengku Abdul Hamid. Tengku Zul ialah anak sulung kepada Tengku Puji.

Seperti Tengku Puji, anaknya yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sarjana Perubatan Homeopati ini juga memilih politik sebagai wadah perjuangan. Namun jika bapanya bergelumang dalam PAS, Tengku Zul pula berbeza dengan memilih DAP.

Ahli Perniagaan ini ialah AJK DAP Pahang dan Timbalan Pengerusi DAP Raub. Pada tahun 2009 hingga kini bapa kepada tiga orang anak itu dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.

Bagaimanakah seorang profesional Islamik seperti Tengku Zul boleh memilih DAP yang dianggap sesetengah pihak sebagai parti Chauvinis Cina itu? Sejauhmana seorang Melayu seperti beliau boleh membina masa depan politik dalam parti didominasi Cina itu? Bukankah potensinya jika berada dalam PAS lebih besar?

Selamatkan Pahang baru-baru ini berkesempatan menemubual beliau (TZ) bagi menyelami beberapa persoalan yang banyak diperkatakan umum khususnya di Raub dan negeri Pahang.



Boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga, pendidikan dan kerjaya Tengku?


TZ: Saya adalah anak sulung dalam enam beradik, iaitu tiga lelaki tiga perempuan. Sudah beristeri dan mempunyai tiga orang cahaya mata, iaitu dua perempuan dan satu lagi lelaki. Ayahanda saya, Tengku Puji adalah bekas Timbalan pesuruhjaya PAS Pahang dan kini sebagai Penasihat PAS Negeri Pahang.

Mengikut silsilah keturunan, saya adalah generasi ke 7 daripada keturunan Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Khairul Alam, iaitu Tengku Mahkota Padang Nonang, Sumatera barat daripada Kesultanan Pagar Ruyong. YAM Tengku Khairul Alam telah datang ke Raub dan membukanya sekitar 200 tahun dulu. Bandar Raub juga dipercayai daripada perkataan “Rao”, iaitu sempena nama sebuah daerah di Sumatera Barat.

Moyang-moyet saya terlibat dalam sejarah peperangan negeri Pahang dan pembentukannya. Atas jasa itu Sultan Pahang (Wan Ahmad) telah melantik YM Tengku Samad dan keturunannya sebagai orang Besar Berlapan yang membawa gelaran Datuk Setia Lela.

Saya berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sarjana Muda Sains Perubatan Homeopathy. Bekerja sendiri sebagai ahli perniagaan. Pada tahun 2008 pernah dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Kontraktor Elektrikal dan Mekanikal Melayu Malaysia (PERKEM).

Pada tahun 2009 dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang oleh Kerajaan Negeri Selangor. Jawatan dalam DAP ialah AJK DAP Negeri Pahang dan Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Raub dan Parlimen Raub.


Kenapa Tengku memilih DAP untuk berpolitik sedangkan dari segi latar belakang keluarga semuanya orang kuat PAS?

TZ: Walaupun saya dibesarkan dalam keluarga PAS, pandangan dan perspektif saya terhadap politik Islam lebih meluas, ianya tidak terikat dengan satu parti sahaja. Saya melihat PAS dan DAP ketika itu, sekitar tahun 2000, tidak boleh memerintah secara sendiri. Ini adalah kunci kejayaan BN “pecah dan perintah” yang diwarisi oleh penjajah dulu.

Sejak daripada kecil lagi saya telah dibina, dididik dan ditarbiyah di atas politiking pentadbiran negeri Pahang. Di samping itu suasana kekeluargaan dan kehidupan banyak mendedahkan dan mendidik saya hidup bermasyarakat berbilang kaum, lebih-lebih lagi keluarga kami dikenali dan dihormati oleh segenap lapis masyarakat.

Semasa era zaman ayahanda saya sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang ketika itu, saya ada menyuarakan mengapa PAS tidak membuka keahliannya kepada non-muslim? Ayahanda saya menyatakan PAS ketika itu belum bersedia.

Setelah berbincang panjang akhirnya ayahanda merestui saya menjadi ahli DAP seumur hidup dan saya mendaftar sebagai ahli DAP pada Mac 2000. Saya melihat pilihan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan lapisan masyarakat melalui DAP kerana parti seperti Umno, MIC dan MCA adalah berorientasikan perkauman semata-mata.


DAP pada perspektif umum merupakan parti Cina atau memperjuangkan isu-isu orang Cina. Bagaimana Tengku melihat ini?

TZ: Ya, memang pada perspektif umum bahawa DAP merupakan parti Cina atau memperjuangkan isu-isu orang Cina, tetapi kita kena lihat majoriti ahli DAP adalah Cina dan majoriti PAS orang-orang Melayu. Jadi tugas kita bersama, supaya dapat memecahkan tembok pemisah perspektif ini. Di mana, DAP mesti menarik lebih ramai lagi ahli Melayu dan juga PAS mesti menarik ahli atau Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) yang berbangsa Cina atau India.

Sekiranya ada satu kesefahaman dan satu strategi yang mantap dalam Pakatan Rakyat (PR) isu ini dapat diselesaikan. PAS tidak perlu gusar sekiranya ada orang Melayu yang menjadi ahli DAP dan begitu juga DAP tidak perlu gusar sekiranya kaum Cina dan India menjadi ahli DHPP.


Apakah terdapat penyisihan atau faktor kaum dalam penentuan jawatan dalam DAP?

TZ: Kami dalam DAP lebih kepada merit, tidak berdasarkan kepada kaum semata-mata, kerana tanggunjawab sosialnya adalah besar bukan hanya mewakili satu kaum sahaja. Ianya merangkumi kepada semua kaum dan kepercayaan. Apa yang kita nampak sekarang ini DAP dimonopoli oleh kaum Cina, kerana orang Melayu ada pilihan lain dan juga kurang diberi penjelasan dan promosi.


Apakah wujud peluang untuk Tengku naik lebih tinggi dalam hairarki parti?

TZ: Bagi saya perjuangan dalam parti adalah satu tuntutan dan ibadah kerana ianya mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Saya tidak meletakkan asas atau target sesuatu jawatan dalam parti, saya hanya menganggap itu adalah satu sumbangan sebagai kontrak sosial dan juga unsur dakwah kepada non-muslim dan juga kepada muslim.

Memang pada tahun 1999, 2004 dan 2008 DAP menawarkan kepada saya sebagai calon (pilihan raya), tapi saya menolak dengan baik atas alasan itu bukan target atau matlamat saya. Ini menunjukkan bahawa DAP bukan perkauman. Saya rasa peluang orang Melayu seperti saya untuk terkehadapan dalam parti adalah amat cerah kerana buat masa ini ramai lagi orang Melayu yang belum mendaftar untuk menjadi ahli DAP.

Kami dalam DAP bersikap lebih terbuka, sesiapa sahaja boleh memegang jawatan penting tidak kira Melayu, Cina atau India. Yang penting seseorang itu mestilah mempunyai moral yang tinggi, jujur, berintegriti, telus dan mempunyai pegangan agama. Saya tidak meletakkan parti itu sebagai tempat mencari makan, saya yakin Allah yang memberi rezeki. Sekiranya saya tidak diperlukan lagi, saya tidak akan melompat parti. Saya akan terus berjuang walaupun tanpa jawatan.


Apakah dasar-dasar DAP terhadap orang Melayu?

TZ: Dasar DAP terhadap semua kaum di Malaysia adalah sama, hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan seperti dalam Perlembagaan Malaysia tidak boleh dipertikaikan. Cuma pendekatan yang kita akan buat adalah berbeza dengan Umnoputra, MCAputra dan MICputra. DAP akan memastikan hak orang Melayu dikembalikan kepada orang Melayu, hak Cina dan India akan dapat kepada mereka masing-masing. Dalam hal ini tiada lagi wujud ‘Kassim Baba’, ianya lebih telus, berintegriti dan bertanggungjawab.


Bagaimana DAP memperjuangkan isu-isu orang Melayu seperti kemiskinan, kebajikan dan pendidikan?

TZ: Seperti yang saya nyatakan tadi, tiada diskriminasi kaum dari segi kemiskinan, kebajikan dan pendidikan. Sebagai contoh kerajaan PR Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng telah memperuntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah agama rakyat. Ini tidak pernah berlaku semasa pemerintahan BN selama lebih 50 tahun. Walaupun beliau bukan beragama Islam tetapi idola beliau adalah Khalifah Umar Abdul Aziz.

Di bawah kerajaan PR di Selangor lebih 100,000 geran telah dikeluarkan kepada semua lapisan masyarakat berbilang kaum. Walaupun baru memerintah dua tahun, banyak lagi kebajikan diberikan kepada rakyat. Seperti yang saya jelaskan tadi, DAP tidak boleh bersendirian dalam menentukan dasar pemerintahan sesebuah negeri.


Sebagai Ahli Majlis Perbandaran, apakah bidang-bidang tugasan yang Tengku lakukan?

TZ: Secara umumnya kuasa dan tanggungjawab Ahli-Ahli Majlis adalah kata pemutus dalam membuat sesuatu dasar PBT. Bidang-bidang tugas sebagai ahli majlis ialah penasihat kepada PBT, mewakili rakyat, membuat dan meluluskan undang-undnag kecil, pendokong dasar PBT, penyemak pelaksanaan dasar dan tenaga penggerak masyarakat.


Bagaimana Tengku melihat negeri Selangor selepas berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat sekarang?

TZ: Secara umumnya, rakyat negeri Selangor dapat merasakan perbezaan yang ketara dari segi perkhidmatan misalnya sampah, longkang, kebersihan yang jauh lebih baik daripada kerajaan BN dulu. Kedua, pendapatan kerajaan negeri bertambah, kerajaan yang mesra rakyat, rakyat semakin berani bersuara dan tahu hak-hak mereka. Juga negeri Selangor kini lebih makmur dan sejahtera, lebih telus, berintegriti, amanah, jujur dan bertakwa. Saya melihat sekarang sokongan kepada BN semakin merosot.


Pada fikiran Tengku apakah Pakatan boleh bertahan dan terus memenangi Selangor pada PRU akan datang?

TZ: Insya-Allah, jika kerajaan dan pimpinan PR lebih banyak turun padang, mendengar masalah rakyat serta bermurah hati untuk kebajikan rakyat, saya yakin negeri Selangor akan kekal di bawah PR pada PRU akan datang. Kemungkinan kemenangan besar dan negeri-negeri lain turut akan berada di bawah kerajaan PR seterusnya mengambil alih teras pemerintahan negara.

Sekarang ini BN teragak-agak untuk menentukan PRU 13, lebih lama kerajaan PR memerintah negeri Selangor, maka adalah lebih sukar BN untuk merampasnya kembali. Kini rakyat Selangor dapat membuat perbandingan di antara kerajaan PR dengan BN.


Apakah harapan Tengku kepada PAS sebagai sebuah parti dalam gabungan Pakatan yang paling ramai orang Melayu?

TZ: Harapan saya, suatu masa nanti PAS dan DAP dapat duduk bersama berbincang mengenai ‘Ahli Bersekutu’ kepada kedua-dua parti. Dan mungkin pada satu masa nanti kedua-duanya akan menjadi ‘sebuah parti besar’ dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat dan dunia.

Gambar:



Tengku Zul (kanan, duduk) bersama pimpinan DAP dan PAS. Sebelah beliau YB Leong Ngah Ngah, Tuan Ibrahim, YB Syed Hamid dan YB Choong Siew Onn