Friday, July 2, 2010

Penduduk kesal tanah hutan simpan diusahakan tauke

MARAN: Semenjak kebelakangan ini sering dilapor banyak berlakunya pencerobohan hutan simpan. Sesekali mungkin jenayah tersebut didedahkan di media-media cetak dan elektronik, manakala kebanyakannya terus didiamkan begitu sahaja.

Penggondolan hutan simpan yang tidak terancang sudah tentu boleh mendatangkan akibat buruk yang tidak dijangkakan seperti bencana alam dan hilangnya nilai ekonomi sesuatu kawasan tersebut.

Namun jika penerokaan hutan tersebut tidak mencacatkan alam sekitar dan dibuka untuk aktiviti pertanian khususnya bagi manfaat penduduk setempat, ia mungkin ada baiknya demi meningkatkan status ekonomi penduduk luar bandar.

Salah satu hutan simpan yang digondolkan dan diganti dengan tanaman sawit ialah di Kampung Serengkam, dalam Mukim Luit dekat sini.

Ladang yang terletak kira-kira empat kilometer dari bandar Maran itu dianggarkan seluas 300 ekar yang dikatakan diusaha secara pajak oleh seorang tauke bukan Melayu.

Menurut penduduk, projek yang telah berjalan sejak lebih setahun lalu itu, berdasarkan pelan yang mereka perolehi dari Jabatan Ukur dan pemetaan Pahang (Jupem), kawasan tersebut termasuk dalam rizab Hutan Simpan Melayu Pekan, Hutan Simpan Temelung dan Hutan Simpan Sejabun.

Mengikut pelan yang diperolehi dari pejabat tanah dan daerah Maran pula, kawasan yang bersebelahan dengan ladang Felcra Serengkam terbabit menunjukkan ia tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Penduduk mempersoalkan mengapa projek di tanah milik kerajaan itu tidak dilot-dilotkan kepada penduduk kerana dengan cara tersebut dapat meningkatkan ekonomi orang Melayu tempatan.

Lebih mengecewakan mereka, tauke tersebut tidak memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk bekerja sebaliknya menggunakan buruh asing sebagai pekerja mereka.

“Kami generasi muda di sekitar ini bukannya ada tanah. Sepatutnya pihak berkuasa kena prihatin sedikit dengan masalah kami. Daerah ini sangat kaya dengan hutan yang boleh diteroka dan tanah terbiar.

“Kami generasi muda ini pula miskin tanah. Jadi apa salahnya jika kerajaan prihatin sikit dengan memecahkan tanah-tanah kerajaan yang ada secara lot kepada kami untuk diusahakan. Biasanya jika kami usahakan tanah mengambil masa begitu lama untuk diluluskan berbanding dengan tauke bukan Melayu.

“Sekarang ini pula Maran saya dengar diisytiharkan sebagai daerah pengeluaran hasil pertanian. Jadi jika kerajaan serius mahu melibatkan penduduk luar bandar seperti kami dalam aktiviti pertanian moden, ia boleh membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu,” kata seorang penduduk.


Gambar:
1. Tanaman sawit sedang diusahakan setelah balak ditebang dan dibawa keluar

2. Penduduk meninjau kawasan hutan simpan yang ditanam sawit




No comments:

Post a Comment