Thursday, July 29, 2010

Teruknya kejatuhan pelaburan asing negara...

PETALING JAYA: Jika dilihat trend kejatuhan nilai pelaburan langsung asing (DFI) yang menimpa Malaysia dewasa ini maka ia merupakan satu fenomena yang menggerunkan.

"Situasi ini (kejatuhan nilai DFI) yang ketara berbanding pelaburan swasta ke luar negara yang semakin meningkat ternyata Malaysia menghadapi krisis keyakinan dalam menarik pelaburan asing," kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, "buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia menarik DFI kurang dari Filipina dalam tahun 2009. Filipina menarik AS$1.95 bilion berbanding Malaysia AS$1.38 bilion."

Gambaran yang buruk dan menakutkan ini kata Tony, terdapat dalam Laporan Pelaburan Asing Dunia (WIR) 2010 yang dikeluarkan oleh Persidangan Pembangunan dan Perdagangan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

Tony berkata, walaupun kemelesetan ekonomi tahun 2008/2009 dijadikan alasan atas kejatuhan teruk sebanyak 81% dalam FDI dari AS$7.32 bilion tahun 2008 kepada AS1.38 bilion pada 2009 namun apabila dikaji dengan lebih teliti maka kita akan lihat Malaysia telah hilang daya saing berbanding negara-negara jiran.

Malaysia tewas kepada Thailand dalam menarik FDI buat pertama kali pada 1998 manakala Indonesia mengatasi kita buat pertama kali pada 2005 serta kalah kepada Vietnam pada 2008.

"Di Asia Tenggara, kita hanya dapat menarik jumlah DFI melebihi negara-negara seperti Kemboja, Myanmar, Brunei, Laos dan Timor-Leste sahaja,"terang beliau.

Tony menjelaskan, "walaupun negara-negara jiran juga mengalami kejatuhan DFI tahun lalu, tetapi peratus pengurangan tidak seteruk yang dialami oleh negara kita. Tahap DFI merudum 81% berbanding Thailand 30.4%, Vietnam (44.1%) dan Indonesia (44.7%)."

Menurut laporan WIR itu kata Tony, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengalami keadaan negatif di mana pengaliran keluar pelaburan berjumlah AS$8.04 bilion, melebihi kemasukan FDI bernilai AS$1.38 bilion.

"Negara-negara lain dirantau ini mengalami keadaan positif di mana aliran masuk pelaburan melebihi aliran keluar pelaburan pada 2009," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment