Saturday, July 24, 2010

Sabaruddin Chik dan apabila staf Felda mula berbunyi

Sebelum menulis lebih panjang, saya ingin maklumkan maklumat yang baru saya terima. Bahawa PM DS Najib baru saja melantik mantan Menteri Pelancongan dan juga Ahli Parlimen Temerloh Datuk Seri Sabaruddin Chik sebagai pengerusi Pelaburan Felda.

Mungkin alasan pelantikan beliau itu disebabkan, satu dia orang Pahang dan Najib mungkin mahu mengukuhkan ‘anchor’nya. Kedua, pengalaman Sabaruddin yang pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Perdangan dulu. Dan ketiga, hanya Najib yang tahu.

Berbalik kepada cerita kedua. Biasanya, kenyataan-kenyataan melibatkan isu-isu Felda dijawab oleh orang politik. Jarang staf Felda sendiri berbunyi dalam media ketika menjawab isu-isu yang dibangkitkan warga peneroka.


Namun Timbalan Pengurus Besar Wilayah Mempaga, Amir Hamdan Yusof, dalam akhbar Sinar Harian hari ini menyarankan peneroka mahupun anak peneroka menggunakan medium tepat untuk menyalurkan setiap permasalahan supaya dapat diselesaikan dengan baik.


Pertubuhan yang dimaksudkan diiktiraf itu ialah lubuk Umno iaitu Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW).


Menurutnya, “Pertubuhan dan persatuan diiktiraf ini sentiasa menjalankan mesyuarat dari semasa ke semasa dan wajar dijadikan saluran untuk menyampaikan setiap permasalahan.

“Namun begitu, ada sebilangan kecil peneroka terpengaruh dengan persatuan yang tidak diiktiraf kerana taksub dengan perjuangan untuk membela nasib mereka,” katanya.

Mungkin atas dasar dan sifatnya sebagai staf Felda, itulah nasihat terbaiknya kepada warga peneroka yang mulai bangkit di seluruh negara mempertikaikan peranan agensi pemaju yang kini bertukar menjadi korporat yang mencekik darah peneroka.

Apa yang kita rasa pegawai pertengahan ini gagal melihat, ialah peranan yang disebutkannya itu dari segi pendekatan, semangat dan perjuangan menuntut hak dan maklumat sebenar yang dimiliki mereka.

Seperti yang diakui Timbalan Mneteri Felda Ahmad Maslan, bahawa Felda merupakan kubu Umno, maka sudah tentu badan yang dikatakan diiktiraf tadi merupakan pusat dan longgokan proksi dan kroni Umno yang bersarang di sana.

Sesuatu yang mungkin belum difahami oleh MBF dan GPW ialah wujud campurtangan politik melampau, arahan dan proses pengumnoan yang kuat telah terjadi kepada Felda pada masa ini. Sehingga wang dan aset Felda iaitu sebenarnya milik warga peneroka, telah dipergunakan semahu-mahunya bagi menjayakan hasrat Umno.

Namun oleh kerana MBF dan GPW, walaupun warga peneroka, penglihatan mereka ‘buta’ daripada semua ini. Sebab mereka juga sebahagian daripada Umno. Malah dua badan inilah yang selama ini menjadi jentera Umno/BN pada setiap kali pilihan raya.

Sebab itu isu-isu kritikal yang melibatkan peneroka dan Felda seperti wang makin susut, wang tabung tanam semula tidak dibayar, potongan sesuka hati oleh Felda, nasib generasi kedua tidak dipedulikan, penyelewengan dan pembaziran, pengusahaan buruk Technoplants terhadap ladang-ladang peneroka dan lain-lain lagi, semuanya didedahkan oleh NGO lain seperti Anak, serta PAS dan PKR.

Sebab itu kita rasakan jika mahu berharap kepada MBF dan GPW untuk membela nasib peneroka, samalah mengharapkan Umno untuk mengubah tabiat kerakusan Umno.

Sebab itu bagi saya, pegawai pertengahan Felda seperti Amir Hamdan perlu juga melihat keberkesan dua badan itu selama ini dalam memperjuangkan nasib, hak dan keadilan peneroka. Dua badan tersebut bertindak dan bekerja bagi melaksanakan aganda-agenda Umno, sedangkan nasib peneroka teraniaya akibat cengkaman Umno.

Mungkin Amir Hamdan ikhlas mahu melihat nasib peneroka benar-benar berubah, kerana beliau mungkin faham bahawa tugasannya di muka bumi ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti. Tetapi beliau kena faham, bahawa peneroka tidak akan berubah nasib mereka, tidak akan terhalang penganiyaan ke atas mereka dan tidak akan mendapat hak serta keadilan mereka selagi MBF dan GPW yang Umno itu mahu dipertanggungjawabkan.

Jika mahu diukur nasib peneroka Felda senang saja. Cuba kita bandingkan peneroka ada 10 ekar tanah sejak 50 tahun lalu, dengan Cina atau penduduk luar bandar yang juga punya 10 ekar tanah. Tengok nasib peneroka dan tengok pula nasib bukan peneroka Felda tadi.

Sudah tentu berbeza macam bumi dengan langit dari segi kekayaan, taraf sosio-ekonomi, pemikiran, pergaulan dan maklumat, status kehidupan serta taraf berfikir hak bersuara. Ertinya warga Felda ini ketinggalan, melainkan generasi kedua mereka yang telah berkerjaya di ibu kota dan di luar tanah rancangan.

Kenapa perkara sedemikian boleh terjadi?

Sebagai orang yang berpendidikan, Amir Hamdan mungkin boleh merenung perkara ini dengan ikhlas.


No comments:

Post a Comment