Thursday, July 22, 2010

Subsidi rakyat dipotong, subsidi kroni disambung

TEMERLOH: Kerajaan tidak seharusnya terburu-buru menaikkan beberapa jenis barangan hasil daripada pemotongan subsidi baru-baru ini kerana membelakangkan kepentingan rakyat yang sudah sedia menanggung kos kehidupan yang tinggi.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sedangkan subsidi yang dinikmati oleh korporat-korporat besar lebih banyak tetapi tidak diusik dan begitu juga dengan pembaziran dibelanjakan kerajaan yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Yang dipertikai kenapa ditarik subsidi yang dinikmati rakyat selama ini sedangkan subsidi kepada syarikat-syarikat kroni seperti pembekal tenaga bebas (IPP) dan konsesi tol tidak diusik.

“Begitu juga dengan pembaziran yang amat jelas dilakukan kerajaan seperti peruntukan besar wang kepada polis dalampilihan raya, isu penyelewengan dalam PKFZ dan projek bangunan Felda yang dibayar 40 % walaupun kerja belum bermula,”.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata demikian semasa berceramah di Kampung Paya Luas, dekat sini baru-baru ini.

Turut berceramah ialah Ketua Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan Syed Hamid dan YDP PAS Temerloh Abdul Rahim Abdul Latif.

Sementara itu mengenai isu perpaduan Melayu dengan PAS yang dimainkan Umno pada ketika ini, Tuan Ibrahim berkata itu hanyalah sandiwara dan taktik lama Umno.

“Kita tidak mahu tangan kanan Umno menghulur salam dalam masa yang sama tangan kirinya pula membantai PAS. Lagipun, masa depan politik di Malaysia bukan lagi berdasarkan perkauman,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Tuan Ibrahim turut menyampaikan sumbangan dua buah kerusi roda kepada wakil Orang Kurang Upaya (OKU) kampung berkenaan.


Gambar:


Tuan Ibrahim Tuan Man dan Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad menyerahkan kerusi roda kepada waris seorang warga emas yang juga OKU di Kampung Paya Luas, Temerloh malam semalam . Turut kelihatan ialah Ketua PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan YDP PAS Temerloh Ustaz Abdul Rahim Abdul Latif.

No comments:

Post a Comment