Saturday, July 10, 2010

Sotong dan burung tentukan juara piala dunia?

Kadang-kadang apabila semakin maju manusia, semakin pelik dan terkebelakang pula pemikiran mereka.

Demikianlah dengan peristiwa yang menarik perhatian lebih tiga bilion manusia di planet ini sekarang iaitu pertandingan bolasepak piala dunia.

Jika dahulu skil, team-work, kecergasan, kekuatan minda pemain dan strategi jurulatih menjadi sebab andaian satu-satu pasukan itu menjadi pilihan, kini kemenangan dan kejuaraannya berbalik kepada ramalan.

Sebelum ini seekor sotong kurita bernama Paul popular kerana ramalannya dikatakan tepat mengenai keputusan kalah menang antara Jerman dan pasukan lawannya.

Menjelang penentuan juara besok, muncul pula seekor burung nuri yang menjadi perhatian. Burung tersebut yang menetas di Malaysia dan kini dipelihara di Singapura, mula menjadi sebutan apabila meneka tepat Belanda menewaskan Brazil pada perlawanan peringkat suku akhir.

Untuk menjuarai perlawanan akhir edisi Ke-19 Piala Dunia FIFA di Afrika Selatan besok, sotong Paul memilih Sepanyol. Sementara ‘Mani Si Nuri’ meramalkan Belanda bakal menjadi juara.

Belanda dan Sepanyol memasuki ke final masing-masing julung kali dalam tempoh 32 dan 44 tahun.




Sementara itu, piala dunia kali ini diakui paling banyak menimbulkam kejutan dan kontroversi. Antaranya ialah tumbangnya dua gergasi dan bekas juara dunia iaitu Brazil dan Argentina.

Turut menjadi mangsa juga gergasi bolasepak Eropah yang kalah dengan pasukan yang dianggap kerdil iaitu Peranchis dan Itali.

Semua ini menimbulkan pelbagai cakap dan desas-desus yang tidak berkesudahan. Ada yang berkata, piala dunia kali ini paling banyak ‘membaham’ wang penjudi kerana keputusan-keputusan luar biasa dan sekali gus memberi kemenangan besar kepada tauke atau bookie.

Ada yang berkata perlawanan-perlawanan kali ini telah diatur oleh perasuah-perasuah bertaraf dunia.

Dalam hal ini saya tidak sependapat dengan mereka. Alasan saya, bagi pemain-pemain profesional ini wang bukan lagi penting kepada mereka kerana rata-rata berpendapatan antara RM1 juta sebulan hingga lebih RM1 juta seminggu.

Ertinya wang bukan lagi menjadi hambatan kepada mereka, tidak seperti pemain-pemain di Malaysia!

Sebaliknya apa yang mereka mahukan sekali dalam seumur hidup mereka ialah nama dan kemasyhuran. Menjuarai, menggenggam piala dunia adalah idaman setiap profesional bola sepak manakala wang bagi mereka sudah tidak bernilai lagi berbanding keaiban yang diterima.

Lantas mengapa gergasi-gergasi ini boleh tumpas?

Jawap saya: “Itulah bolasepak yang boleh bertukar mengikut faktor-faktor semasa dan nasib yang tidak berdaya dijangkau oleh otak-otak manusia, tetapi mampu dihidu oleh sotong dan burung.

“Keputusan bolasepak juga seperti keputusan pilihan raya,” tegas saya.


No comments:

Post a Comment