Tuesday, July 13, 2010

Umno mahu kuasai, guna masjid tertangguh

TEMERLOH: Gara-gara gangguan daripada Umno, masjid baru Temerloh Jaya dekat sini yang sepatutnya mulai digunakan minggu lalu, tertangguh.

Menurut seorang Ahli jawatankuasa Masjid An-Najah, iaitu surau di taman perumahan ini yang dibenarkan oleh Majlis Agama Islam Pahang (Maip) untuk didirikan Sembahyang Jumaat, pihak jabatan agama sepatutnya menyerahkan kunci masjid baru itu Selasa lalu.

Sebelum ini kunci masjid yang baru siap itu diserahkan telah Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid).

Namun, kata beliau, pada masa yang sama seorang pemimpin Umno Bahagian ini dikatakan menghubungi seorang pegawai Paid meminta kunci masjid baru itu diberikan kepada AJK yang dilantik Umno.

Alasan yang diberikan oleh pemimpin Umno berkenaan, AJK Masjid An-Najah sudah dikuasai oleh orang PAS sebelum ini dan masjid lama sepatutnya dikuasai oleh Umno pula.

“Mengikut enakmen pentadbiran agama yang ada, pihak Paid berpendapat AJK Masjid An-Najah yang sedang digunakan sekarang berhak menjadi AJK masjid baru itu.

“Oleh kerana campur tangan pemimpin Umno Cawangan Temerloh Jaya dan pemimpin Umno bahagian itu, Paid terpaksa menangguhkan dulu pemberian kunci masjid baru.

“Bagaimanapun, ini menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada penduduk setempat kerana mereka telah menunggu lebih 16 tahun untuk beribadat dengan selesa. Namun setelah siap, mereka tidak dapat pula menggunakannya akibat campur tangan rakus Umno,” katanya.

Tambah beliau, apa yang merunsingkan penduduk ialah jika AJK masjid yang dicadangkan Umno itu berkuatkuasa, dikhuatiri boleh ‘mematikan’ aktiviti masjid pada masa akan datang.

Katanya, ini disebabkan AJK yang dicadangkan itu dipercayai tidak pernah pun ke masjid tetapi mahukan jawatan.

“Pada kami, tindakan beberapa kerat pemimpin Umno ini hanya untuk memecahbelahkan keharmonian penduduk selama ini apabila mereka cemburu dengan masjid yang sudah makmur dengan program dan ramai jamaah ini,” tegasnya.

Taman Temerloh Jaya merupakan kawasan penempatan paling besar dalam daerah ini melibatkan kira-kira 2,000 buah rumah termasuk kuarters polis dan perumahan sekitarnya.

Terletak dalam Dun Kuala Semantan yang dikuasai PAS, lebih 90 peratus penghuninya terdiri daripada orang Melayu yang kebanyakannya merupakan kakitangan kerajaan, swasta dan usahawan.

Masjid An-Najah yang digunakan sekarang merupakan surau yang dinaiktaraf sebagai masjid jamek buat sementara waktu sebelum siap masjid baru. Ia terletak di atas tanah yang diwakafkan oleh penduduk setempat.


Gambar:
Masjid baru Temerloh Jaya, gah tetapi belum boleh digunakan akibat campur tangan Umno




1 comment: