Friday, September 14, 2018

Sepatutnya Mazlan, bukan Khor - Generasi

Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) menyifatkan pelantikan Datuk Khor Chin Poey sebagai Pengerusi Felda Technoplant (FTP) mengejutkan warga Felda selaku estet Melayu terbesar itu.

Pengerusi NGO yang memperjuangkan hal ehwal Felda dan peneroka itu, Ustaz Roslan Md Esa berkata, ini kerana sebelum ini terdapat NGO yang juga proksi kepada PH lebih cenderung untuk memansuhkan Felda Technoplant namun sebaliknya, kerajaan PH telah melantik pengerusi baharu yang bukan dari kalangan orang Melayu.


Umum menyifatkan NGO yang dimaksudkan oleh Roslan ialah Pertubuhan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang dipimpin oleh Mazlan Aliman iaitu seorang ahli Parti Amanah Nasional (PAN) yang kini mengetuai NGO yang pro kepada kerajaan PH.

Menurutnya, perkara ini dilihat seolah-olah terdapat desakan daripada DAP yang mendominasi dalam PH dan ada kemungkinan pelantikan itu menjurus kepada keputusan parti itu.

"Kerajaan PH sepatutnya melantik Mazlan Aliman yang mana sebelum ini lantang bersuara memperjuangkan isu-isu dan hak hak yang berkaitan dengan peneroka Felda.

"Saya tidak mengenali siapa pengerusi baharu ini dan tidak menafikan mungkin dia mempunyai pengalaman tetapi pada tradisi seperti kebiasaanya ini dipengerusikan oleh orang Melayu," katanya kepada media.

Roslan yang merupakan Exco Pemuda Pas Malaysia berkata, kewujudan Felda Technoplant sebenarnya telah bercanggah Akta GSA 1960 (Kawasan Penempatan Berkelompok).

"Pihaknya kini dalam proses menghantar surat kepada pejabat Felda untuk mengadakan lawatan kunjung hormat di samping menyatakan masalah yang dihadapi oleh peneroka.

"Kita juga akan membincangkan perkara berbangkit dan ingin meminta pandangan daripada Pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor tentang pelantikan Chin Poey," katanya.

Felda Technoplant ialah agensi yang melaksanakan kerja-kerja ladang peneroka yang kemudiannya melantik kontraktor-kontraktor untuk kerja-kerja tersebut.

Anak sebelum ini banyak membongkar ketidakpuasan hati peneroka-peneroka berkaitan kerja-kerja ladang yang diusahakan anak syarikat Felda tersebut.


Roslan (kiri) bersama Ustaz Kamal Ashaari dan Ir Khirul Nizam

No comments:

Post a Comment