Thursday, September 13, 2018

Dari Muktamar Pemuda PAS: Ucapan perasmian Timbalan Presiden

PAS melahirkan rasa dukacitanya berkaitan tindakan kabinet kerajaan Pakatan Harapan yang mengkritik hukuman  sebat terhadap pasangan lesbian oleh Mahkamah Syariah Terengganu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepatutnya kerajaan menyokong tindakan yang ada kerana ia adalah satu pelaksanaan kepada undang-undang yang sedia termaktub.


“Semua orang tidak tahu siapa identiti pasangan terbabit jadi tidak timbul mengaibkan. Bayangkan, dirotan di Terengganu sakitnya sampai ke seluruh negara. Demikianlah hebatnya undang-undang syariah, ini bermakna menimbulkan ketakutan kepada umum untuk melakukan jenayah yang ditegah Allah,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS di Duyung Marina & Resort Kuala Terengganu, petang ini.

Tuan Ibrahim sebelum itu menghimbau sejarah PAS yang muncul di persada politik tanah air bergabung membentuk permuafakatan dan ternyata tindakan itu ternyata tidak merugikan parti.

Katanya, tahun 1969 ketika negara huru-hara Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein datang menemui Allahyarham Datuk Asri Muda Yang Dipertua PAS ketika itu meminta untuk berada dalam satu barisan.

“Meskipun PAS ditendang empat tahun kemudian ternyata tidak merugikan parti kerana hasil muafakat tersebut munculnya kesedaran Islam di jabatan-jabatan kerajaan, di kampung-kampung dan di tanah-tanag rancangan Felda.

“Setelah itu Semangat 46 datang menghulur salam kepada PAS dan hasilnya dengan gabungan itu berjaya menawan Kelantan. Apabila berlaku krisis dalam Umno (1999) PAS membentuk Barisan Alternatif dan berjaya menawan Terengganu. Bersama Pakatan Rakyat seterusnya berjaya mentadbir di Kedah dan bertapak di Selangor. Sekali lagi melalui Gagasan Sejahtera pada PRU 14 berjaya mengekalkan Kelantan, menawan Terengganu dan menunjuk prestasi cemerlang di Kedah dan Pahang,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, menjelang PRU 15 kumpulan anak muda menjadi sumber kemenangan yang besar justeru Dewan Pemuda yang bermuktamar hari ini, katanya, perlu menggembelingkan segala sumber yang ada agar tidak ketinggalan.

Mengenai potensi PAS pada masa depan, Tuan Ibrahim berkata:
“Kita punya tiga bahan yang sangat berharga iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) bagi menghapuskan ketakutan masyarakat terhadap Islam dan ke mana hala tuju negara Islam.

“Ketiga ialah Dokumen Hijau yang sangat berharga. Inilah sumber yang ada pada PAS di aman sangat perlu dihadam oleh pemuda sekelian untuk mengetengahkannya ke persada masyarakat”.

Bagi mengukur kejayaan PAS, Tuan Ibrahim berkata ia bukan terletak kepada jumlah kerusi yang dimenangi, bukan juga sebanyak mana negeri yang diperintah. Ukuran kejayaan ialah sejauh mana masyarakat berjaya memahami dan mengamalkan Islam.

Bagi persediaan Pemuda sebagai persiapan mengambil alih teraju kepimpinan negara pada masa depan Tuan Ibrahim menggariskan tiga syarat kepada pemuda.

“Pertama pemuda jangan lupa menuntut dan menggarap ilmu. Kedua, marilah membesarkan perkara-perkara yang menguntungkan jamaah dan tidak mengetengahkan perkara yang remeh-temeh. Dan ketiga jagalah akhlak termasuk dalam menggunakan media sosial kerana kita daripada parti Islam.

“Akhirnya marilah kita sama-sama taat dan walak dalam keputusan-keputusan parti kerana proses dibuat dengan permesyuaratan dan syura.”

Sebelum mengakhiri, Tuan Ibrahim sempat membawakan kisah Imam Syafie yang menasihati anak muridnya dalam adab meninggalkan majlis.

Sementara itu sebelum berakhir, Tuan Ibrahim diberi penghormatan menyampaikan anugerah kepada penerima-penerima bagi kecemerlangan PASTI, Jabatan Amal, Sriti dan tokoh-tokoh pilihan.

No comments:

Post a Comment