Friday, September 9, 2011

Profesor Umno akhirnya kata Malaysia tak pernah terjajah!

Lagi kusut. Setelah hampir sebulan media Umno dan medium rakyat, tokoh politik kerajaan dan pembangkang serta sesama rakyat bergasak, berpolemik dan hentam menghentam dalam isu perjuangan menuntut kemerdekaaan, akhirnya seorang profesor Umno Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata Malaysia atau Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

Katanya, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun.

Sudah berminggu-minggu ‘pelawak-pelawak’ Umno menerpa balai polis dan berdemo sambil mengherdik bahawa Umnolah pejuang kemerdekaan dan selain Umno adalah pengkhianat, tiba-tiba itu semua tidak bererti kerana Malaysia tidak pernah dijajah.

Ertinya, semua orang kena tipu sekarang bahawa penjajah negara adalah British. Lojik yang disebut Zainal Kling, British bukan penjajah tetapi merupakan rakan yang sama-sama tolong mentadbir.

Berapa banyak wang dihabiskan untuk menyambut tarikh 31 Ogos selama ini? Berapa kali diulang-ulang saban tahun di kaca televisyen Tunku melaungkan merdeka di hadapan raja-raja Melayu? Berapa ramai pahlawan Melayu dan dan rakyat kebanyakan yang gugur menentang penjarah itu, untuk menuntut apa?

Setelah sekian lama rakyat ditipu dalam buku sejarah mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan, hari ini Zainal Kling muncul mengisytiharkan tidak ada penjajahan dan Melayu sentiasa merdeka.

Patutlah selama ini rakyat amat loya dan malas mempamerkan sifat-sifat patriotik, kerana barangkali mereka sendiri merasakan sambutan hari kemerdekaan sekadar ciptaan pemerintah semata-mata.

Secara peribadi, saya fikir penjelasan Zainal ini akan makin mengelirukan orang ramai buat masa ini. Banyak persoalan yang akan timbul. Kenapa baru sekarang cerdik pandai Melayu baru sedar bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah? Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Dol Said di Naning, Maharajalela di Perak, Abdul Rahman Limbong di Terengganu itu berjuang menentang siapa dan untuk apa?

Saya fikir sejarah mesti ditulis semula sebab orang ramai pasti semakin keliru. Persoalannya, siapa yang layak menulis? Saya fikir tidak semua orang Melayu bersetuju dengan kenyataan Zainal.

Jika cendekiawan Melayu pun boleh berbalah dalam soal sejarah, bagaimana pula pemahaman rakyat terbanyak?

Benarlah kata pemimpin PAS, pengajian dan buku sejarah bukan seperti sebuah Al-Quran dan Hadis. Mempertahan buku sejarah tulisan penulis berkepentingan, tidak ada gunanya. Namun ketaksuban pemuja Umno tanpa kewarasan selama ini menyebabkan mereka sendiri terkurung di bawah tempurung kebodohan!

No comments:

Post a Comment