Thursday, September 22, 2011

Penghidap paru-paru kronik rayu derma orang ramai untuk kos bedah

TEMERLOH: Seorang bekas pekerja kilang papan yang mengalami sakit paru-paru kronik sejak 8 tahun merayu derma orang ramai untuk kos pembedahannya.

Mohd Safri Che Ghani, 34, yang menghidap dua penyakit sekali gus iaitu paru-paru menguncup dan Hepatitis B + C, berkata beliau diminta menjalani pembedahan dalam tempoh enam bulan akan datang dengan kos RM12,000 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bapa kepada lima orang anak itu memberitahu, penyakit tersebut mulai dikesan apabila beliau dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian tahun 2010 lalu.

“Sebenarnya saya sudah mulai sakit-sakit dan semput sejak 8 tahun lalu semasa bekerja di sebuah kilang papan dan hanya disahkan menghidap penyakit ini setelah dimasukkan ke hospital.

“Saya sangat perlukan wang untuk mendapatkan rawatan dan dalam masa yang sama untuk memelihara anak-anak yang masih kecil. Akibat kemiskinan juga dua orang anak kami tidak memiliki surat beranak dan seorang terpaksa berhenti sekolah,” katanya ketika mengadu kepada Selamatkan Pahang di sini.

Pada masa ini beliau masih berulang alik untuk diagnos dan rawatan dua kali sebulan ke HKL dan tiga bulan sekali di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshas).

Safri yang tinggal Batu 3 Jalan Karak, Mentakab berkata, atas ikhtiar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan doktor, beliau kini bekerja ringan secara sambilan di kilang sawit Semantan dengan pendapatan sekitar RM200 sebulan.

“Dicampur dengan sedikit bantuan JKM, sebenarnya masih jauh daripada mencukupi dengan harga barang yang mahal dan kos hidup yang tinggi,” ujarnya sedih.

Bagi sesiapa yang bersimpati, bolehlah menghubungi isteri beliau (Aida) di talian 0179995863. Atau memasukkan wang ke akaun beliau di Bank Islam 03072020842719.


CAPTION:
Safri bersama isteri dan dua anaknya




No comments:

Post a Comment