Tuesday, September 13, 2011

Tanah Umno tergadai kepada Cina

TEMERLOH: Gara-gara tanah milik Umno dilelong dan berpindah milik kepada bukan Melayu, seorang peniaga gerai makan yang menyewa di tapak tersebut terpaksa menutup perniagaannya sekali gus menjejaskan sumber pendapatan sekeluarga selain kerugian ratusan ribu ringgit.

Peniaga terbabit Zarima Abdul Aziz, 45, berkata, ini disebabkan pemilik baru tanah yang terletak berhampiran Pejabat Pos Mentakab dan bangunan Mara itu baru-baru ini telah menyerahkan surat mengarahkan dia mengosongkan tanah terbabit dalam tempoh 14 hari.

Menurut Zarima, apa yang beliau kesalkan ialah sepatutnya beliau sebagai penyewa perlu diberi keutamaan jika berlaku lelongan namun yang berlaku Umno Cawangan Bandar Mentakab sebagai tuan tanah langsung tidak memaklumkannya.

Menurutnya, dia mula menyewa tanah berkeluasan 2,250 meter persegi dalam bandar Mentakab itu pada 9 Julai 2009 dengan kadar sewa RM250 untuk tiga bulan pertama dan RM500 selepas tempoh itu sehingga hari ini.

“Pada mulanya saya berniaga gerai makanan di medan selera Mentakab, tetapi terpaksa mencari tapak baru selepas arahan dikeluarkan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).

“Pada ketika itu muncul seorang pemimpin Umno Mentakab menawarkan bantuan dan atas keprihatinan diberikan, saya dapat menyewa tanah baru iaitu di tapak ini.

“Ketika mula menyewa, tanah ini dimiliki tiga nama individu dan saya difahamkan tanah ini adalah milik Umno Cawangan Bandar Mentakab,” katanya kepada media di gerainya di sini baru-baru ini.

Zarima berkata, selepas siap surat perjanjian sewa, beliau melaburkan lebih RM100,000 bagi membina gerai dan peralatan memasak lalu terus berniaga tanpa sebarang masalah sehinggalah didatangi seorang lelaki yang mendakwa tanah tersebut sudah menjadi miliknya sejak awal tahun ini.

“Apabila disiasat, saya dimaklumkan tanah ini telah dilelong dan akibatnya saya yang menanggung rugi kerana telah melabur ratusan ribu ringgit sedangkan perjanjian sewa belum lagi tamat,” katanya yang mengikat perjanjian selama lima tahun.

Beliau difahamkan, tanah tersebut yang dicagarkan kepada sebuah bank di sini, dilelong setelah Umno gagal membayar pinjaman.

Zarima berkata, apa yang dipersoalkan di mana surat tawaran lelong dan bila ia dilelong kerana sepatutnya penyewa perlu diberi keutamaan jika berlaku lelongan tetapi orang Umno tidak sedikitpun memaklumkan kepadanya.

“Kalau hendak lelong kenapa tidak beri keutamaan kepada saya yang mengikat perjanjian selama lima tahun, saya bina kedai ini dengan duit sendiri dan sudah melabur banyak.

“Saya begitu mengharapkan perhatian daripada pihak yang terlibat supaya dapat menyelamatkan perniagaan dan periuk nasi saya untuk menyara empat anak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) PAS Mentakab, Norazmi Abdul Majid, ketika diminta mengulas isu berkenaan, berkata Umno sepatutnya tidak boleh berlepas tangan begitu saja sedangkan tanah tersebut pada asalnya milik awam yang ditukar kepada parti itu.

“Saya pertikaikan kenapa Umno boleh miliki tanah sedangkan ia hanya sebuah parti politik seperti PAS dan ini mungkin boleh dikaitkan dengan salah guna kuasa.

“Keduanya, jika tanah yang dah jadi hak milik tidak boleh dijaga dan diurus dengan baik sehingga tergadai, bagaimana untuk menjaga tanah air dan rakyat yang lebih besar?,” soalnya.

Zarima menunjukkan surat perjanjian dengan Umno di hadapan kedainya


No comments:

Post a Comment