Monday, March 14, 2011

PAS Pahang mahu kegiatan lombong besi dihenti

Harakahdaily

KUANTAN: Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Ramli Abdul Rahman, meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang serta Pejabat Tanah dan Daerah bertindak menghalang aktiviti perlombongan bijih besi di Kampung Selamat Pelabuhan, dekat sini berikutan pencemaran teruk.

Menurutnya, aktiviti perlombongan yang dijalankan di kawasan seluas empat ekar sejak lima bulan lalu itu telah menimbulkan masalah pencemaran udara sehingga menimbulkan masalah kesihatan kepada kira-kira 1,000 penduduk tempatan.

“Saya telah melawat kawasan berkenaan setelah menerima aduan penduduk dan mendapati lokasi perlombongan amat tidak sesuai selain sikap kontraktor yang tidak mengindahkan keselamatan penduduk tempatan. Sekarang Kampung Selamat sudah tidak selamat.

“Kawasan di situ mengalami pencemaran teruk sehingga diselaputi banyak habuk apabila waktu panas dan berlaku banjir lumpur pada musim hujan. Keadaan ini menyebabkan ramai terutamanya kanak-kanak di situ menghidap batuk, selesema dan demam selain kering tekak.

“Penduduk juga mengadu, oleh kerana kawasan pengumpulan bijih besi hanya 100 meter dari kediaman penduduk menyebabkan berlaku pencemaran bunyi bising sehingga menyebabkan penduduk tidak lagi merasa aman,” ujarnya.

Tambah Ramli, turut teruk terjejas ialah peniaga kedai makan yang semakin kurang dikunjungi pelanggan akibat meja yang sentiasa berhabuk, bunyi bising dan suasana yang tidak selesa.

Menurutnya lagi, terdapat tiga kawasan penyimpanan bijih besi di situ dan pada setiap hari lebih 10 lori berulang-alik mengangkut besi berkenaan tanpa mengira waktu.

Yang menyedihkan, mereka seperti tidak menghiraukan keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar yang berdepan dengan pencemaran udara selain kawasan yang kotor dengan lumpur.

“Operasi melombong seperti ini tidak boleh dibiarkan di kawasan kediaman seperti ini. Saya lihat ada penduduk yang terpaksa berkurung 24 jam seperti tinggal di dalam gua kerana pintu dan tingkap rumah tidak boleh dibuka akibat habuk berterbangan dengan banyak.

“Harapan saya kepada JAS, pejabat tanah dan pejabat menteri besar supaya berikhtiar menghentikan aktiviti membahayakan penduduk ini. Janganlah kerana memberi keuntungan kepada pihak tertentu, keselamatan penduduk pula terabai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ramli berkata beliau akan mengusahakan pengumpul tanda tangan penduduk bagi membantah kegiatan itu dan akan dihantar kepada Menteri Besar Pahang.


3 comments:

  1. bukankah pemilik lesen lombonhg orang pas?

    ReplyDelete
  2. Ye ke orang Pas? pelik tu?

    Cuba bagi nama dia... kot2 bapak Umno ni dah serahkan borang masuk Pas tanpa diketahui ramai.

    Utk pengetahuan, org Pas ni kalau nak mintak lesen meniaga pun takdpt, org Umno dah kontrol abis. lebih baik diorang bagi kat Cina, masyuk jugak komisen...

    ReplyDelete
  3. pegi belasah je tokey lombong 2...ape yg susah sngt?
    kumpul semua org2 kampung,belasah je kroni lombong 2,then bakar lombong 2...abis citer..
    xkan la polis nk tngkap sume pnduduk kmpg...
    lokap pn penuh la...

    ReplyDelete