Wednesday, March 23, 2011

Laporan polis terhadap Datuk T dan Nazri Aziz

TEMERLOH: Parti Keadilan Rakyat Cabang Temerloh hari ini tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) di sini berkaitan isu yang didakwa fitnah terbaru terhadap Ketua Umum parti tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan dibuat oleh ketua cabang Ahmad Nizam Hamid terhadap “Datuk T”, iaitu individu yang telah mendedahkan kepada wartawan kanan rakaman video aksi seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang itu.

Laporan polis juga dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang dianggap mengeluarkan kenyataan seolah-olah membenarkan tindakan Datuk T yang mempertontonkan video berkenaan kepada wartawan di hotel Seri Carcosa Negara di Kuala Lumpur, 21 Mac lalu.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan kira-kira 50 penyokong PR.

Nizam dalam aduannya meminta polis melakukan siasatan dan tindakan terhadap Datuk T kerana melanggar seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Kedua-dua seksyen itu berkaitan larangan memiliki, mengedarkan dan menayangkan filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam.

Bagi seksyen berkenaan, jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Siasatan dan tindakan mesti dilakukan atas kebenaran cerita Datuk T hingga membawa kepada pendedahan rakaman aksi seks berkenaan.

“Siasatan dan tindakan mesti dilakukan terhadap ugutan yang dibuat oleh Datuk T kepada pemimpin politik berkenaan dan isterinya agar meletakkan jawatan serta tekanan kepada NGO menubuhkan sebuah panel bebas, kononnya mendapatkan khidmat forensik profesional untuk mengkaji ketulenan rakaman tersebut.

“Siasatan dan tindakan mesti dilakukan terhadap Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang membuat kenyataan’ bukanlah sesuatu yang salah untuk pihak di belakang semua itu menunjukkan video kepada wartawan dan penyunting.”

Dalam laporan tersebut, Nizam meminta siasatan dan tindakan mesti dilakukan terhadap Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang menggambarkan tontonan aksi lucah tidak salah jika bukan untuk mencari keuntungan.

“Siasatan dan tindakan mesti dilakukan terhadap dalang di belakang Datuk T dalam konspirasi terbaru untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Laporan polis ini dibuat kerana tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu fitnah yang sangat melampau tanpa sebarang asas yang boleh dipertanggungjawabkan. Pembawa fitnah sendiri tidak mengisytiharkan dirinya siapa apatah lagi mendatangkan empat orang saksi yang adil dan berhemah.”

Sementara itu Mazlan Aliman dalam sidang medianya selepas itu berkata, pendedahan video seks berkenaan bukan sahaja mencemar nama baik Anwar Ibrahim, keluarganya, kedudukan beliau selaku Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR tetapi juga selaku pemimpin utama Pakatan Rakyat.

“Justeru saya meminta para mufti dan semua ulamak di negara ini segera bersuara menyekat trend fitnah mendedahkan keaiban orang Islam itu sebelum malapetaka yang lebih dahsyat melanda masyarakat di negara ini.

“Kepada pimpinan Umno pula saya merayu agar berpolitiklah secara jantan dan janganlah menjatuhkan lawan dengan cara mengaibkan peribadi seseorang,” katanya.


No comments:

Post a Comment