Wednesday, March 16, 2011

Terima wang SES: Peneroka patut terima kasih kepada PAS

TEMERLOH: Bekas calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau, Hassanuddin Salim, mengingatkan peneroka seharusnya berterima kasih kepada PAS kerana dengan perjuangan parti itu mereka menerima wang SES dan wang insentif sawit daripada Felda.

Serentak dengan itu, beliau menggesa Felda segera memulangkan wang berkenaan kepada semua peneroka di seluruh negara dan tidak hanya menunaikan janji pilihan raya.

Kelmarin seramai 260 peneroka Felda Jengka 22 menerima bayaran SES sebanyak RM13,000 manakala peneroka Felda Jengka 23 menerima bayaran Skim Insentif Tanam Semula (SITS) daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sebelum itu, bayaran tersebut telah dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan diulang semula oleh Datuk Ahmad Maslan ketika berkempen dalam PRK Kerdau.

Jengka 22, 23 dan 25 merupakan kawasasan Tanah Rancangan Felda yang termasuk dalam Dun Kerdau.

“Wang SES dan wang insentif sawit merupakan isu hak peneroka yang dibangkitkan oleh PAS dan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dalam kempen PRK Kerdau minggu lalu.

“Oleh kerana tersepit PM dan Felda terpaksa berjanji demi untuk meraih undi dan sekarang mereka terpaksa tunaikan janji.

“Sebab itu Felda Jengka 21 dan Jengka 24 yang hanya berada bersebelahan tidak dapat bayaran SES atau wang insentif itu kerana tidak termasuk dalam Dun Kerdau,” ujarnya.

Wang SES ialah bantuan tanam semula Risda daripada kutipan setiap jualan getah berasaskan Seksyen 3, Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan getah sebanyak 15 sen per kilogram kering yang mana 10 sen untuk kerajaan dan 5 sen mesti dikembalikan semula kepada peneroka.

Najib ketika berkempen dalam PRK Kerdau baru-baru ini, telah memberikan tiga pilihan kepada warga peneroka berhubung bayaran SES berkenaan.

Pilihan pertama peneroka menerima bayaran kira-kira RM13,000, tetapi bayaran kembali (BK) mereka akan bertambah sebanyak RM650 sebulan, sementara pilihan kedua SES, mereka dapat separuh, RM6,500 dan BK mereka, RM550 sebulan. Jika mereka tidak menuntut apa-apa, mereka hanya perlu bayar balik BK RM400 sebulan.

Dalam pada itu, Hassanuddin mahu Felda menyelesaikan kedua-dua pembayaran wang tersebut kepada peneroka seluruh negara kerana itu hak mereka.

“Semua peneroka berhak menerima semula wang mereka tanpa syarat. Apakah kerajaan mahu menunggu satu demi satu wakil rakyat kawasan Felda mati baru nak bayar untuk umpan peneroka dalam PRK?,” soal Hassanuddin.



No comments:

Post a Comment