Monday, March 5, 2018

Kekalkan kemenangan Temerloh - Ustaz Idris


Oleh: MUJAHIDUL AMIN ROSLAN

TEMERLOH: Jentera PAS Kawasan Temerloh di semua peringkat diseru untuk bergerakerja semaksimum mungkin bagi mempertahankan kemenangan Parlimen Temerloh dan DUN Kuala Semantan di samping menawan DUN Mentakab dan Lanchang.

Seruan itu disampaikan oleh Naib Presiden PAS Pusat, YB Ustaz Idris Ahmad semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Temerloh kali ke tiga puluh satu semalam.

Menurut beliau, Parlimen Temerloh merupakan salah satu daripada kawasan Parlimen yang disenaraikan mesti menang seperti yang disasarkan oleh Tuan Guru Presiden dalam menjadikan PAS sebagai King Maker selepas pilihanraya umum yang akan datang.

Tambah beliau lagi, maka kerana itu, jentera PAS Temerloh mestilah sudah berada pada persiapan terbaik buat masa ini. Gerakerja perlulah sudah berfokus pada golongan sasaran terutamanya golongan muda yang pertama kali mengundi.

“Pilihanraya kali ini sangat penting buat kita (PAS). Kerana ia akan menentukan survival kuasa politik Islam dalam pentadbiran negara. Kita masuk bertanding untuk memerintah bagi mengembalikan semula kuasa politik Islam. Inilah yang tercatat dalam perlembagaan PAS”, ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang di hadapan kira-kira 350 orang perwakilan dan pemerhati.

Dalam mesyuarat yang dijalankan di Markaz Tarbiah Darul Amin Sungai Gau itu, Ustaz Idris sempat membacakan perutusan khas Tuan Guru Presiden khusus buat Jentera PAS Kawasan Temerloh yang antara lain memberi peringatan agar semua ahli di semua peringkat untuk mengukuhkan aqidah perjuangan dengan budaya ilmu dan hubungan dengan Allah agar tidak mudah goyah dengan ujian perjuangan dan juga kemengan yang akan dikecapi nanti.

Di akhir ucapannya, Ustaz Idris sempat menitipkan harapan khusus buat jentera muda PAS untuk aktif membantu gerakerja pilihanraya PAS khususnya dalam media massa dan media sosial. Menurut beliau juga jentera PAS wajib menjadikan akbar Harakah dan portal Harakahdaily sebagai rujukan utama dalam apa jua isu dan maklumat kerana ia adalah lidah rasmi parti dalam membawa suara dan keputusan pimpinan parti.

No comments:

Post a Comment