Thursday, September 21, 2017

28 pasangan disatukan sejak 2015

Ahad lalu, 7 pasangan berjaya disatukan dalam program Walimatul Urus Perdana 3.0 anjuran Pejabat Ahli Parlimen Temerloh serta PAS Kawasan Temerloh, menjadikan 28 pasangan mendirikan rumah tangga setakat ini.

Sebelum ini pada Walimah 1.0 (2015) terdapat enam pasangan diijabkabulkan. Manakala Walimah 2.0 (2016) pula 15 pasangan disatukan melalui program berkenaan.

Program 3.0 kali ini disambut meriah sejak Sabtu lagi apabila ketujuh-tujuh pengantin diakadnikahkan pada malamnya di Masjid Temerloh Jaya.

Selepas itu disambung dengan sambutan Malam Kesenian Islam yang berlangsung di padang awam Taman Temerloh Jaya melibatkan penceramah terkenal Ustaz Dasuki Abd Rani, selebriti pelawak Saiful Apek serta kumpulan nasyid Shoutul Amal.

Kemuncaknya pada sebelah siang diadakan kenduri rakyat dengan dihadiri tidak kurang 5,000 pengunjung terdiri daripada jemputan serta saudara mara pengantin yang diadakan di padang Temerloh Jaya.

Antara kenamaan yang hadir ialah Ahli Parlimen Temerloh selaku tuan rumah Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi yang juga Ketua Penerangan PAS Malaysia dan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar, Adun Tanjung Lumpur.

Sementara itu Ustaz Rosli dalam ucapannya berkata PAS Pahang dalam manifesto tawarannya turut memasukkan walimah perdana sebagai komitmen kerajaan negeri sekiranya diberi peluang mentadbir Pahang.

Katanya, usaha yang dipelopori PAS ini amat relevan di tengah-tengah suasana harga barangan yang serba-serbi melambung pada masa kini sehinggakan menyulitkan sesetengah pasangan yang kurang berkemampuan.

Kebaikannya terserlah apabila inisiatif PAS ini turut ditiru oleh badan-badan kerajaan dan NGO lain.


Ribuan tetamu membanjiri walimatul urus perdana 3.0 di padang Temerloh jaya pada Ahad





1 comment: