Wednesday, January 25, 2017

PAS Pahang kecam kem motivasi berbogel

Negara ini sekali lagi digemparkan dengan isu panas dan kontroversi apabila media mendedahkan sekumpulan peserta kem motivasi yang diadakan di sebuah resort di Bentong, Pahang melakukan aksi bogel dan lucah.

Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) kesal dan mengecam tindakan yang tidak bermoral ini. Motif kem yang berlaku hujung minggu lalu tersebut juga dipersoal kerana aktiviti seperti itu tidak mempunyai nilai yang baik dan tidak membina sahsiah peserta. Selain hanya menatijahkan keruntuhan moral di kalangan masyarakat.

BPPNP mengharapkan satu tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap penganjur dan peserta terbabit sebagai pengajaran kepada semua agar isu yang memalukan ini tidak lagi berulang di negeri ini.

Tindakan yang tidak bermoral ini telah mencemarkan kempen Tahun Melawat Pahang yang baru sahaja bermula awal Januari 2017 lalu.

Justeru, BPPNP mahu beberapa perkara perlu diberi perhatian;

1. Kerajaan Negeri Pahang tidak hanya menjayakan kempen melawat Pahang dengan pelbagai aktiviti pelancongan, tetapi perlu memantau aktiviti yang diadakan agar unsur-unsur negatif tidak dibawa masuk ke negeri ini.

2. Orang ramai perlu sentiasa peka terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika melihat atau mendengar perkara yang mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.

3. Penggiat industri pelancongan di negeri ini diingatkan agar tidak hanya memikirkan keuntungan wang ringgit, tetapi juga peka dengan isu-isu sensitif bagi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Sekian.

NAZRI BIN AHMAD
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang
PAS kecam kem motivasi berbogel

No comments:

Post a Comment