Ekspedisi Jelajah Cakna Hutan Simpan yang dilakukan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) pada hari Isnin, 5 September 2016 di kawasan Hutan Simpan Kekal Tambahan Jerantut mendapati kerja-kerja awal pembalakan pernah dilakukan di hutan tersebut. Jalan dan beberapa kawasan yang dipercayai matau pembalakan menjadi bukti hutan simpan tersebut pernah cuba dirobek khazanahnya yang berusia jutaan tahun. Namun tindakan tersebut terhenti dipercayai ekoran bantahan penduduk kampung yang diketuai beberapa pemuda yang berani dan prihatin.
PAS Pahang menggesa pihak kerajaan khasnya melalui Jabatan Hutan memastikan hutan simpan tersebut kekal terpelihara tanpa diusik khazanahnya terutamanya daripada sebarang aktiviti pembalakan dan perlombongan. Hutan simpan ini perlu kekal lestari kerana ianya adalah kawasan tadahan air semula jadi untuk Sungai Teh yang mengalir ke Sungai Pahang. Penduduk Kg Bharu dan beberapa kampung berdekatan menggunakan bekalan air yang disalurkan daripada Lata Besin di hulu sungai tersebut untuk aktiviti pertanian dan perikanan yang merupakan sumber ekonomi penting mereka sejak sekian lama.
Selain itu kesemua hutan simpan kekal perlu kekal lestari untuk menjadi santuari flora dan fauna sekali gus meminimumkan konfrontasi hidupan liar ke atas kawasan pertanian dan penempatan manusia.
YB HAJI ANDANSURA BIN RABU
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang
Merangkap ADUN Beserah
No comments:
Post a Comment