PAS akan mengadakan Kongres Rakyat yang menghimpunkan entiti mewakili segenap masyarakat bagi menangani isu-isu kritikal yang dilihat mencemaskan rakyat mutakhir ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan berkata, kongres tersebut akan diadakan pada pertengahan September ini bertempat di ibu kota Kuala Lumpur.
Katanya, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat semalam dan Lajnah Penerangan diberi amanah untuk melaksanakannya.
“Pada masa ini negara bagaikan di ambang perang keyakinan di mana satu demi satu muncul isu yang melibatkan Perdana Menteri sendiri membuatkan rakyat rasa cemas.
“Pada mulanya terdedah isu 1MDB tetapi rentetannya melarat kepada pemecatan TPM, penangkapan pegawai-pegawai penyiasat serta kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang dilihat umum kerajaan campur tangan tugas penjawat awam dan penyalahgunaan kuasa.
“Jadi Kongres Rakyat ini akan menghimpunkan paling kurang 50 NGO, tokoh-tokoh masyarakat dan parti politik serta gerakan mahasiswa,” katanya kepada media semasa Majlis Sambutan Eidul Fitri Parlimen Temerloh bersama PAS Kawasan di hadapan Pusat Komuniti Parlimen kelmarin.
Tambahnya, pada kongres tersebut akan ada resolusi dan pelan tindakan susulan di mana daripada situ PAS akan memimpin rakyat melakukan perubahan.
“Kita tidak menolak kemungkinan bertemu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, raja-raja Melayu, para mufti kerana tokoh-tokoh ini dianggap penaung dan amat dekat dengan rakyat.
“PAS yang konsisten menuntut demokrasi rakyat menganggap tindakan ini penting kerana jika tidak ditangani, tak mustahil Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertindak lebih rakus lagi.
“Gerakan massa akan menentukan paling tidak beliau mesti kembalikan mandat kepada rakyat untuk kembali memilih pemimpin negara ini,” jelasnya.
Nasrudin berkata, rakyat yang masih terkesan dan bergelut dengan kos kehidupan yang tinggi, harga komoditi rendah serta kejatuhan nilai mata wang negara juga masih keliru dengan wang derma untuk PM RM2.6 bilion.
Tambahnya, semua ini membuatkan rakyat makin cemas oleh itu gerakan daripada rakyat sendiri amat penting bagi menentukan masa depan negara.
Sementara itu, dianggarkan lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis sambutan raya kali ini. Antara kenamaan yang hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Adun Meru Dr Abdul Rani Osman serta seluruh pimpinan PAS Pahang.
CAPTION
1.Nasrudin melayani tetamu kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Md Jusoh Darus dan Yusof Embong
2.Menyambut pengunjung bukan Islam yang hadir
No comments:
Post a Comment