Saturday, June 28, 2014

Ahli Parlimen lunas janji PRU

Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan hari ini mulai melunaskan satu lagi janji pilihan raya umum (PRU) yang lalu iaitu memberi bantuan benih ikan kepada penternak ikan sangkar di daerah ini.

Berikutan itu, sebanyak 2,000 anak ikan patin dilepaskan kepada penternak ikan sangkar di Kampung Paya Kechik dan Kampung Lompat dekat sini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut menyampaikan bantuan jala kepada tiga orang nelayan sungai di kampung yang sama.

“Hari ini kita sumbangkan dulu kepada dua penternak. Kita bagi beringkat-peringkat. Sasaran kita boleh memenuhi keperluan antara tiga ke empat orang penternak dalam sebulan sehingga semua yang memerlukan dapat.

“Kita tidak mempunyai peruntukan rasmi daripada kerajaan. Jadi kita terpaksa menghadkan sumbangan kepada mereka yang betul-betul memerlukan kerana kita juga mencari dana daripada sumbangan orang ramai,” ujarnya.

Kata Nasrudin, usaha tersebut bagi melunaskan apa yang dijanjikan sebelum PRU dan agak tergendala, tetapi akhirnya berjaya walaupun tidak mampu memberi secara serentak kepada pengusaha sangkar kerana terpaksa menggunakan kos yang besar.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus.

Mengenai kritikan sesetengah pihak kononnya beliau hanya menumpukan kuliah dimasjid, Nasrudin menafikannya dan berkata penduduk di sini merangkumi semua aspek kategori masyarakat.

“Ada yang di pasar, ada yang di padang dan ada yang di masjid. Kekerapan kuliah ilmu di masjid. Kesemuanya saya pergi. Saya perasaan seperti ada yang tak senang apabila saya begitu aktif menghidupkan masjid dan surau.

“Bagi saya sebahagian daripada pembentukan masyarakat dan daerah mesti ebrmula daripada ilmu. Jadi salah satu ialah melalui kuliah yg konsisten. Jadi sebab itu satu kuliah saya boleh bertemu ratusan malah ribuan pengunjung atau rakyat yang hadir.

“Maka saya dapat tiga dalam satu. Yang pertama saya dapat bekalkan ilmu yang kedua saya dapat beramah mesra dengan rakyat di Temerloh dan yang ketiga saya dapat maklum balas daripada mereka apa yang perlu saya lakukan sebagai wakil rakyat di Parlimen Temerloh,” katanya.

Nasrudin menjelaskan, beliau tidak merasa kesal dengan aktiviti malah merasa bangga kerana dapat menghidupkan masjid. Dengan itu bukan saja dapat membekalkan agama tetapi juga dapat memulihkan sistem sosial seperti menasihatkan mereka supaya menjauhkan diri daripada kemungkaran, jenayah dan semua itu nasihat datang daripada majlis-majlis yang diadakan.

CAPTION
Nasrudin (dua kiri) sedang melepaskan anak benih ikan patin ke dalam sangkar seorang penternak.















No comments:

Post a Comment