Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji semalam (Selasa) tampil membuat laporan polis ke atas enam NGO Melayu yang telah membuat demonstrasi dan provokasi melampau yang jika tidak ditangani segera dikhuatiri boleh mencetuskan permusuhan kaum.
Pengerusi DAP Pahang itu berkata, kumpulan yang menamakan Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia itu menawarkan sesiapa yang dapat menampar muka YB Teresa Kok akan dapat RM1,200 kerana semata-mata tidak berpuas hati ke atas video klip “Onederful Malaysia CNY 2014 yang mengkritik dan menyindir secara lawak jenaka berkenaan kelemahan pentadbiran kerajaan BN.
“Video klip tersebut langsung tidak menyentuh perkataan mahupun menghina mana-mana kaum, agama dan institusi istana di negara ini.
“Kami juga berasa sedih dengan penjelasan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa perkara ini ancaman ini tidak dianggap jenayah dan polis tidak akan mengambil berat. Sedangkan kenyataan yang tidak bertanggung-jawab ini keluar dari mulut orang yang sepatutnya mengawal keamanan,” katanya selepas membuat laporan polisdi Balai Polis Mentakab.
Turut mengiringi Setiausaha PAS Temerloh Abirerah Awang Chik, Setiausaha PKR Temerloh Yahya Abdul Rahman, Ketua DAP Mentakab Lai Chee Meng serta para penyokong.
Yang menariknya, pada waktu yang sama kira-kira 40 orang Wanita Umno Temerloh turut membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di IPD Temerloh serta membuat demonstrasi di hadapan bangunan Plaza Temerloh.
Zulpuri yang juga Adun Mentakab berkata, persoalannya menawarkan kepada sesiapa melakukan jenayah pukul (tampar) dengan menawarkan ganjaran wang adalah amat berbahaya yang mana ianya boleh memudaratkan mangsa jika ianya dilakukan oleh orang ramai.
“Diharapkan Peguam Negara dapat memberi komen tentang perkara tersebut, jika tidak provokasi dan demonstrasi seperti ini akan terus dilakukan oleh generasi muda yang akan datang kerana ianya dianggap tidak salah dan kononnya bukan jenayah, sehinggalah negara ini akan dilihat sebagai negara koboi.
“Saya sebagai seorang Islam juga ingin menyeru kepada pihak berkuasa Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negara ini agar dapat menasihatkan atau mengambil undang-undang terhadap mana-mana orang Islam yang memburukkan imej Islam dengan provokasi penyembelihan seolah-olah ianya satu amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam,” jelasnya lagi.
Zulpuri berkata, tujuannya membuat laporan supaya polis dapat menyiasat tawaran ganjaran RM1,200 oleh pihak tertentu yang telah disiarkan media secara meluas sedangkan jelas melakukannya adalah satu kesalahan di bawah seksyen 505 dan 506 Akta Jenayah.
Justeru beliau menyeru pihak polis membuat penyiasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.
~ Zulpuri menunjukkan laporan polis bersama (dari kiri) Lai, Abirerah dan Yahya.
No comments:
Post a Comment