Tuesday, July 5, 2011

Titah Agung kemenangan awal rakyat cinta keadilan

Apa-apapun orang kata, saya menganggap Titah Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong semalam berkenaan Perhimpunan aman BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai nanti, merupakan kemenangan pertama kepada rakyat.

Biarpun Sultan Mizan tidak 100% menyokong BERSIH, namun jelas beliau tidak cepat menuduh kumpulan yang mahukan reformasi demokrasi pilihan raya itu sebagai komunis, pencetus huru-hara, dimasuki ejen asing, pengacau, pengguling kerajaan.

Bahkan beliau menegur kerajaan supaya memegang amanah dan melaksanakan keadilan yang dituntut rakyat. Ertinya apabila rakyat menuntut keadilan, bukannya mengisytiharkan negara ini darurat.

Ramai yang tertarik dengan Titah Baginda, "Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun".

Bagi saya, masih ada ruang yang mahu mendengar suara yang dambakan keadilan di negara ini. Jika diikutkan kerajaan yang diterajui Umno, sesiapa saja yang memakai ‘baju kuning’ ditangkap. Pengeluar baju dilokap.

Saya pasti, Tuanku juga tida gemar dengan cara penangkapan sebegini, meskipun ada alasannya.

Alangkah baiknya jika Titah ini yang mahukan kerajaan bertindak secara adil dan bijaksana dapat dipatuhi. Bahkan BERSIH mahu menghantar memorandum kepada Tuanku juga ialah mahukan keadilan.

Semua orang tahu, setiap kali pilihan raya media perdana hak milik kerajaan termasuk media cetak dipergunakan sepenuhnya berkempen untuk Umno/BN, dan semua agensi kerajaan dipergunakan semahu-mahunya termasuk beberapa peruntukan segera dikeluarkan ketika kempen pilihanraya sedang berjalan.

Di pihak Pembangkang pula, akses kepada media tidak diperolehi langsung. Pembangkang tidak diberi ruang untuk mereka menggunakan media kerajaan bagi menyampaikan dasar atau manifesto mereka walaupun sekadar 5 minit. Bahkan, Pembangkang terus difitnah dan diperburukkan tanpa mereka diberi peluang untuk menjawab. Ini semua ketidakadilan yang jelas berlaku.

Titah Tuanku, yang mahu agar kerajaan bertindak secara bijaksana juga gagal dilakukan. Najib selaku Ketua Kerajaan sewajarnya bertindak dengan bijaksana apabila BERSIH mahu mengadakan perhimpunan aman ini. Salah satu caranya, BERSIH diberi ruang untuk berhimpun dengan mendapat kerjasama dari pihak keselamatan. Di dalam masa yang sama, pihak yang tidak sependapat dengan BERSIH juga diberi hak yang sama berhimpun tetapi bukan bersamaan dengan tarikh perhimpunan BERSIH. Sudah tentu BERSIH sedia berbincang dengan pihak mereka agar dapat bersama-sama merancang jadual perhimpunan yang berlainan.

Titah Baginda lagi, " Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik".

Kita faham dengan titah Baginda ini. Sudah sememangnya kitapun mahukan kedamaian dalam negara tetapi bukannya dengan menggadaikan demokrasi. Kita bukannya mahu beramuk-amukan sesama sendiri seperti yang dikehendaki Perkasam, sebab kita ada agama.

Bahkan kita mahu pergi ke kuala Lumpur dengan aman sambil membawa anak-anak, bukannya membawa senjata. Kita juga tidak mahu ditangkap.

Kita tidak mahukan huru-hara, buktinya Pengerusi BERSIH Ambiga, sanggup membatalkan himpunan jika Agong berkenan menerima mengadap untuk menerima memorandum rakyat. Itu lebih baik supaya kita boleh jelaskan kepada baginda semua kepincangan.

Lebih baik menjelaskan kepada baginda segala yang terbuku daripada menjelaskan kepada kerajaan yang hanya kenal bahasa ‘tangkap’ dan menutup semua pintu perundingan!

No comments:

Post a Comment