Monday, August 23, 2010

Khemah Bazar Ramadan depan masjid negeri dipukul taufan

KUANTAN: Lebih 30 peniaga Bazar Ramadan di depan Jalan Mahkota di bandar ini, terkejut dan panik selepas khemah utama yang menempatkan kira-kira 36 gerai diterbangkan angin kencang yang melanda secara tiba-tiba, ketika orang ramai sedang sibuk membeli juadah berbuka puasa, petang semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 6.30 petang itu, pengunjung Bazar Ramadan terbabit bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas khemah diterbangkan ribut.
Hanya seorang peniaga cedera ringan pada bahagian tangan akibat terkena tiang khemah yang melayang, manakala peniaga lain dan pengunjung tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang peniaga, Omar Yaacob, 53, berkata beliau sedang sibuk melayan pengunjung di gerainya apabila secara tiba-tiba angin kuat menerbangkan khemah di situ.

Kejadian berlaku terlalu pantas dalam kira-kira dua hingga tiga saat saja dan saya lihat khemah terangkat ke atas lalu terbalik.

Orang ramai yang sedang membeli belah dan peniaga bertempiaran lari bagi mengelak daripada terkena tiang khemah.

Sebelum itu, beberapa peniaga cuba memegang tiang khemah bagi mengelakkannya diterbangkan angin, tetapi ribut terlalu kuat dan kami terpaksa melepaskannya, katanya yang menjual air minuman.
Omar dari Kuala Penor berkata, kejadian seumpama itu pertama kali dialaminya sejak berniaga di Bazar Ramadan lebih 10 tahun.

Seorang lagi peniaga, Mohd Nor Maidin, 24, yang menjual nasi beriani berkata, beliau mendengar suara orang menjerit dan melihat khemah pada bahagian depan padang bola di situ, terangkat dan diterbangkan angin.

Sejurus kemudian, hujan lebat menyebabkan masing-masing cuba mencari tempat berteduh.

Saya bernasib baik kerana gerai saya berada di bahagian belakang, katanya yang berniaga di situ sejak tiga tahun lalu.

Seorang pengunjung, Maziah Ariffin, 24, berkata beliau bersama seorang rakannya yang menaiki kereta melalui kawasan itu terkejut melihat beberapa bumbung khemah bergerak sebelum terangkat.

~ bharian


No comments:

Post a Comment