Tuesday, July 14, 2015

PAS Pahang sokong penuh MSU

KENYATAAN MEDIA

Bismillahirrahmanirrahim..

Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang (BPPNP) menyokong penuh ketetapan Majlis Syura Ulama' Pas bertarikh 11 Julai 2015 baru-baru ni berhubung 'Tahaluf Siyasi' atau persepakatan politik dengan rakan parti dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.

Kewajaran Majlis Syura Ulama' Pas membuat keputusan yang besar ini setelah DAP dilihat tidak menghormati prinsip perjuangan Pas yang konsisten berusaha mendaulatkan syariat Islam sejak mula penubuhan parti Islam ini lagi.

DAP sendiri telah melanggar ketetapan yang telah diambil bersama dalam Pakatan Rakyat, iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dalam beberapa perkara, termasuk isu hudud. Ini dilihat apabila terus menerus menyerang sebahagian kepimpinan Pas dan mencampuri urusan pemilihan kepimpinan Pas.

Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang meyakini bahawa keputusan yang diambil demi menjaga kepentingan Islam adalah keputusan yang terbaik.

Justeru, BPPNP ingin menegaskan kepada seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong Pas agar sama-sama mendokong keputusan ini dan setiap tindakan yang akan diambil perlu dirujuk kepada kepimpinan tertinggi parti.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

YB Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang

Saturday, July 11, 2015

Belasungkawa Ustaz Rahim

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pahang yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Abdul Rahim Abdul Latif, 53, selamat dikebumikan tengahari ini di tanah perkuburan Kampung Berhala Gantang di sini.

Dikenali dengan panggilan Ustaz Rahim, jenazah beliau sebelum itu telah disolatkan oleh kira-kira 1,000 orang bermula di masjid Taman Temerloh Jaya dan kemudiannya di masjid Al Hasan Berhala Gantang iaitu kampung asalnya.

Solat jenazah kali pertama diimamkan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut serta Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan, ahli jawatankuasa Ulamak PAS Pusat Ustaz Zuridan Daud, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamed, pimpinan PAS negeri, kawasan serta keluarga dan kenalan.

Menurut anak sulungnya Zikrul Hakim, allahyarham disedari meninggal dunia ketika menggerakkannya untuk bersahur di rumahnya di Taman Temerloh Jaya 6 manakala Dr Alias yang mengesahkan kematiannya, berkata allahyarham mungkin telah meninggal dunia lima jam sebelum itu dalam tidur.

Katanya, Ustaz Rahim baru tiga hari keluar dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini setelah dimasukkan ke wad akibat injap jantung tersumbat awal Ramadan lalu dan dijangka menunggu giliran untuk pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ustaz Rahim yang berkelulusan sarjana Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan melanjutkan pelajaran di India dan Pakistan, semasa hayatnya dikenali sebagai seorang yang tegas. Beliau pernah dipilih sebagai ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat semasa di bawah kepimpinan Datuk Mahfuz Omar.

Beliau juga pernah dipilih sebagai Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Mentakab, dan kemudian YDP Temerloh. Di peringkat negeri, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Ustaz Rahim juga pernah bertanding mewakili PAS pada pilihan raya umum 29 November 1999 di Dun Sanggang menentang calon BN Datuk Abdullah Kia dari Umno.

Ustaz Rahim meninggalkan balu Hendon Tauhid serta lima orang cahaya mata, tiga lelaki dua perempuan. Anak sulungnya belajar di Mesir sementara anak bongsunya masih dalam darjah tiga Sekolah Rendah Tanjung Lalang.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam mesejnya, melahirkan rasa dukacita dan menganggap PAS Pahang kehilangan sebutir bintang.

“Baru sahaja menziarahi beliau, dapat berita menyedihkan, semoga Allah tempatkan rohnya bersama para anbiya, siddiqin dan syuhada. Semoga istiqamahnya dalam perjuangan Islam hingga akhir hayatnya juga penat lelahnya untuk Islam menjadi saksi kebaikan baginya disana..ameen Ya Rabb.”

Seluruh kakitangan Badan Perhubungan PAS Pahang turut mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham dan berharap semoga tabah dan sabar menerima dugaan ini apa lagi menjelang akhir Ramadan ini yang menjanjikan keampunan Allah.

CAPTION
Tuan Ibrahim mengimamkan Solat jenazah kali pertama, kemudian diulangi beberapi kali lagi.

Najib perlu cuti elak persepsi

PAS berpendirian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mesti bercuti dalam masa Jawatankuasa khas siasatan mengenai penyelewengan dana 1MDB menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini penting bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap negara dan Perdana Menteri (PM) sendiri berkaitan polemik isu yang telah diketahui dunia ini.

“Isu 1MDB adalah isu serius dan melibatkan maruah. Bayangkan hutang sampai puluhan bilion kemudian satu demi satu keluar cerita disuruh agensi-agensi beli tanah serta kontroversi transaksi wang.

“Sekarang dah tubuh jawatankuasa jadi inilah masa yang paling baik PM cuti bercuti supaya tiada gangguan dalam siasatan. Sebab keempat-empat yang dilantik itu merupakan kakitangan sedangkan yang disiasat itu bos mereka,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian dalam ceramahnya di tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau dekat sini malam tadi.

Turut berceramah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan dan Timbalan Pengerusi Tetap PAS Pusat yang juga Penyelaras Dun Kerdau Ustaz Kamal Ashaari.

Baru-baru ini kerajaan menubuhkan Jawatankuasa khas siasatan mengenai penyelewengan dana 1MDB setelah isu tersebut menjadi kontroversi dibangkitkan oleh Wall Street Journal (WSJ) mengenai sejumlah wang dimasukkan ke akaun Najib.

Mereka ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu bakar dan Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Tuan Ibrahim berkata, inilah masa paling baik PM bercuti dan ambil waktu untuk berehat zaman paling baik untuk PM bercuti supaya siasatan terus berjalan lancar.

“Kalau nak rehat masa inilah bukan masa ditimpa musibah banjir bercuti, kalau nak main golf pun masa inilah. Supaya tidak ada perspektif yang tidak elok.

“Katakanlah selepas siasatan didapati tidak bersalah, orang akan kata memang dia tak terlibat sebab dia masih PM dan ada elemen-eleman campur tangan. Jadi pergilah rehat dulu supaya jawatankuasa boleh siasat dengan bebas tanpa gangguan dan tanpa persepsi negatif,” ujarnya.

Ini merupakan program julung-julung kalinya diadakan di tapak kompleks bernilai RM5 juta yang masih dalam pembinaan itu. Sebelum itu turut diadakan majls berbuka puasa, Solat Maghrib, Solat Isyak dan tarawih di situ.

Sementara pada sebelah petangnya pula Tuan Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada orang miskin, anak yatim dan orang kelainan upaya sekitar Dun Kerdau.


Wednesday, July 8, 2015

Najib, turunlah sebelum diturunkan

Rakyat sudah penat. Mungkin bukan yang berada jauh di ceruk dan disuap dengan gula-gula, tetapi yang celik dan dahagakan perubahan.

Banyak ‘rahsia’ sudah didedahkan, pelbagai persoalan sudah ditanyakan, yang belum ada hanya jawapan.

Rakyat bukan minta penjelasan panjang berjela macam cerita dongeng. Apa yang mereka mahukan jawapan disusuli tindakan.

Satu negara sudah bercanang tentang ketirisan yang melampau, satu dunia dah bercakap tentang ketidak cekapan mentadbir harta. Tidakkah yang berkenaan terpanggil untuk menjawab.

Bila buka mulut, yang keluar hanya kenyataan-kenyataan sumbang yang langsung tidak menjanjikan penyelesaian.

Malah tidak langsung menyentuh gajah besar yang berada ditengah-tengah bilik yang semakin sempit dek kerana terlalu banyak alasan dan omong kosong.

Bila hendak turun dari kerusi empuk yang menjadi tempat bersemayam mencipta mimpi untuk susur galur darah Bugis?

Berapa banyak lagi angka sifar yang perlu ditambah dalam gerobok harta karun? Tidak cukup lagikah dengan apa yang ada?

Sedarkah tatkala penjaga kira-kira menambah satu lagi angka sifar dalam senarai harta, rakyat sedang bertarung untuk hidup.

Perjuangan demi rakyat? Jangan berbicara tentang perjuangan untuk rakyat bila yang terpancar dalam mata hanya perjuangan untuk melepas tengkuk sendiri dari terjerut.

Biar beribu pahlawan kiri kanan yang mengusung tandu berteriak dan menyalak. Rakyat sudah penat. Atas alasan apa, keperluan apa mahu rakyat berperang jika yang diatas hanya saling menepuk bahu, berbangga kerana rakyat menurut.

Kalau benar katanya jantan, turun dan rasa sendiri kepayahan rakyat. Jangan berselindung di sebalik bayang-bayang rendang.

Berhenti mendabik dada, lupa diri dengan pencapaian yang tidak seberapa.

Barangkali tiada rasa malu dalam diri. Atau mungkin akal pemberian Tuhan tidak diguna sebaiknya. Untuk apa lagi cuba bertahan menahan serangan yang kononnya boleh merosak perpaduan bila hantu jembalang yang jadi penyebab kepada semua ini berdiri di dalam cermin.

Rakyat dah penat dan bosan, waima gula-gula dari Arab sekali pun sudah tidak mampu membangkit tenaga.

Turunlah sebelum diturunkan, kerana apabila bangkit rakyat menentang, panglima-panglima yang teriaknya bak gempita sekalipun tidak akan dapat melawan.

Namun jika itu kehendak badan, maka rakyat sedia.

~ petikan dari FMT