Kenyataan Media
13 Mei 2014
Kembalikan Hak Memilih Kepada Rakyat Terengganu
Melihat kepada situasi politik terkini di Terengganu di mana pesta keluar parti begitu rancak setelah Datuk Seri Ahmad Said digulingkan dari jawatan Menteri Besar yang disandangnya, maka tersebarnya pelbagai khabar mengenai peluang Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan negeri tersebut melalui jalan belakang.
Suasana politik negara tidak harus disemarakkan dengan pelbagai tindakan dan keputusan yang tidak berlandaskan jalan demokratik. Pemilihan sebuah kerajaan itu haruslah dilakukan oleh rakyat sendiri melalui pilihanraya dan bukanlah melalui rundingan atau percaturan pemimpin politik.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini mendesak Datuk Seri Ahmad Said dan rakan-rakan beliau yang lain untuk turut meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi DUN masing-masing, bukannya menggunakan kesempatan ini sebagai "bargaining power" untuk memusatkan dendam amarah mereka apabila digulingkan.
Rakyat di kawasan tersebut telah membuat keputusan untuk memilih mereka melalui parti yang mereka dokong dan tindakan untuk keluar parti dan menjadi bebas adalah satu lagi siri pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Jika sebelum PRU 13 yang lepas, apabila beberapa politisi oposisi memilih untuk keluar parti, maka kedengaranlah suara-suara dari blok Pakatan Rakyat mendesak mereka-mereka ini melepaskan kerusi masing-masing, maka prinsip ini jugalah yang harus ditegaskan dalam krisis politik Terengganu ini. Masih segar di ingatan, bagaimana PR melaungkan slogan Kerajaan Haram sewaktu krisis di Perak dulu, apakah kini PR akan menggunakan cara yang sama untuk memegang kuasa?
SAMM menegaskan bahawa jalan demokratik harus diambil dan pembubaran DUN Terengganu atau gerombolan Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan bagi membuka jalan PRK diadakan adalah pilihan terbaik. Kembalikan hak rakyat Terengganu untuk memilih wakil rakyat dan Kerajaan mereka.
Sebarang percaturan politik mengikut "precedent" krisis Perak wajar ditolak oleh semua parti politik. Jalan belakang yang tidak berlandaskan demokrasi adalah penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga amalan demokrasi berperlembagaan yang dijunjung negara ini.
Tiada apa yang perlu ditakutkan oleh BN mahupun PR. Jika benar kamu punyai asas sokongan yang kukuh, kejayaan pasti milik kamu. Cukuplah mencabuli prinsip dan amalan demokrasi. Janganlah diulangi dan dijadikan satu amalan biasa.
Tak kira siapa yang menjadi pilihan Istana Terengganu menjadi Menteri Besar ketika ini, perkara pertama yang perlu dilaksanakan adalah adakan Pilihanraya Negeri Terengganu diadakan. Hormati kematangan rakyat Terengganu dalam membuat pilihan mereka. Binalah sebuah kerajaaan yang berlegitimasi bukannya separuh masak.
Roslee Md Shariff
Penyelaras SAMM Kebangsaan
No comments:
Post a Comment