Tuesday, April 29, 2014

PAS Pahang bela Orang Asli

TEMERLOH: PAS Pahang menganggap penduduk Orang Asli di Kampung Pasu Peneras, Kuala Krau mempunyai hak untuk membantah tindakan penebangan hutan di kampung mereka kerana tindakan tersebut memusnahkan tanah adat dan kawasan sumber rezeki mereka.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, kawasan tersebut telah diusahakan oleh penduduk di situ sejak turun-temurun sebagai kawasan kediaman, sumber rezeki dan pengkebumian.

“Saya lihat tuntutan Orang Asli itu munasabah kerana masyarakat mereka sudah mengusahakan tanah di kawasan tersebut sejak beberapa lama... di situlah mereka anggap tanah air mereka, tiba-tiba orang luar datang dan ambil alih.

“Bukan setakat usahakan malah dah mohon lama tetapi tak lulus. Kemudian ada pemimpin buat janji setiap kali pilihan raya untuk luluskan. Bagi kami ini satu penindasan terhadap Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melawat kawasan Orang Asli yang dijadikan sasaran oleh pembalak sejak lebih sebulan lalu. Bagaimanapun tiga buah kenderaan yang menyertainya hanya lantas ke kawasan pengumpulan balak (matau saja) tetapi tidak berjaya ke kawasan penebangan hutan kerana dipintas oleh kenderaan penguatkuasa perhutanan yang melarang.

Beberapa hari sebelum itu, penduduk perkampungan Orang Asli di situ berhimpun dan berdemonstrasi membantah penebangan balak yang didakwa di kawasan penempatan mereka sehingga beberapa buah lori ditahan.

Andan berkata, pada mulanya beliau dimaklumkan hanya 300 ekar sahaja kawasan balak di situ diluluskan dan memang tidak perlukan kajian kesan alam sekitar (EIA). Bagaimanapun, katanya, sesampai di sini beliau diberitahu berdasarkan pelan perancangan, penebangan balak menjangkau sehingga 2,000 ekar tetapi dipecah-dipecahkan 300 ekar.

“Itu mungkin bagi mengelakkan EIA. Kita kesal kerana kawasan ini dikelilingi oleh sungai dan kawasan tadahan. Dari segi alam sekitar pembangunan tidak terancang dengan baik dengan penebangan balak yang tidak dapat dikawal, bukan setakat kemusnahan hutan tetapi juga sungai akan jadi cetek maka banjir lumpur mudah berlaku.

“Selepas itu yang akan terkesan ialah Orang Asli yang duduk berdekatan, iaitu rakyat negeri Pahang ini juga,” tegasnya.

Andan berkata, selaras dengan itu lajnahnya akan mendapatkan semua maklumat untuk dibawa ke perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri, bersama isu-isu lain seperti pembalakan di Cameron Highlands.

Sementara penguatkuasa Perhutanan yang menemui Andan mengaku kawasan tersebut mendapat kebenaran sah bagi penebangan balak. Manakala rombongan Adun Beserah itu dilarang kerana tidak dibenarkan sesiapapun memasuki kawasan hutan simpan.

Tuesday, April 22, 2014

“Saya dengar pemandu berdengkur” – mangsa kemalangan

TEMERLOH: Seorang mangsa kemalangan bas ekspres di Kilometer 116 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) kelmarin, percaya nahas tersebut mungkin berpunca daripada pemandu bas tersebut yang mengantuk.

Norhaizan Hassan, 40, berasal dari Johor yang patah tangan dan dimasukkan besi itu, malah mendakwa beliau sendiri mendengar pemandu berdengkur.

“Saya duduk di bangku bersebelahan dengan pemandu dan saya dengar pemandu bas berdengkur.

“Pada masa itu saya dah mula risau tetapi tak nampak pula pemandu kedua,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini semasa dikunjungi oleh Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hassan.

Turut mengiringi, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Md Jusoh Darus, Pengarah MTD Semantan Hassanuddin Salim dan Pegawai Sekretariat Parlimen Temerloh Zulkarnaini.

Norhaizan yang baru balik daripada menyelesaikan tuntutan mahkamah di Kuantan atas satu lagi kes kemalangan berkata, malapetaka itu berlaku terlalu pantas berlaku.

“Tiba-tiba saya terasakan bas berpusing-pusing dan apabila berhenti saya lihat pemandu bas sudah tercampak dan rakan saya yang di belakang pula terhambur ke hadapan.

“Apabila bas berhenti kerana terbalik suasana menjadi kecoh dengan teriakan dan tangisan penumpang terutamanya kanak-kanak. Semuanya berasak-asak cuba keluar melalui tingkap yang pecah,” ujarnya.

Norhaizan berkata, mujurlah bantuan keselamatan sampai dengan pantas selepas bencana itu kerana berlaku tidak jauh dari Tol Temerloh.

Beliau turut mendakwa, bas tersebut sebenarnya terlewat bertolak beberapa jam daripada jadual asal.

Sabtu lalu tiga penumpang termasuk seorang bayi 11 bulan parah apabila sebuah bas ekspres membawa 27 orang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur terlibat dalam kemalangan kira-kira 10 kilometer dari Plaza Tol Temerloh.

Kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, bas berkenaan dikatakan terbalik sebelum terjatuh dan tersangkut dalam longkang di sebelah kiri jalan setelah terbabas dan melanggar pengadang jalan sebelah tengah lebuh raya.

Sementara itu Nasrudin turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa-mangsa lain dan pesakit di hospital berkenaan.

Dalam pada itu, sepanjang minggu lalu saja tiga kemalangan bas ekspres telah berlaku. Pertama di Bentong yang mengakibatkan tiga kematian. Kedua di Temerloh dan ketiga di Pekan yang mengorbankan yang mana seorang pelancong asing dalam bas dua tingkat itu terkorban.

~ Norhaizan sebak menceritakan saat-saat cemas ketika kemalangan kepada Nasrudin.

Thursday, April 3, 2014

Mesir, Ikhwan dan ketuanan serantau Arab Saudi

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tindakan sebuah mahkamah Mesir menjatuhi hukuman mati ke atas 529 ahli dan penyokong Ikhwan al-Muslimin telah menyampaikan satu mesej yang jelas bahawa Mesir sedang kembali kepada kawalan tentera dan kelompok rejim lama.

Kemunculan dan kebangkitan pantas Abdul Fatah al-Sisi, yang telah mengisytiharkan akan bertanding merebut jawatan presiden, dan dilihat mempunyai peluang yang cerah, menunjukkan satu perubahan besar yang bukan sahaja melibatkan politik dalaman Mesir, tetapi juga landskap politik serantau.

Apa yang sedang berlaku di Mesir pada masa ini tidak dapat dipisahkan daripada percaturan kuasa-kuasa serantau, terutama Arab Saudi, dalam membina semula susunan kuasa seperti yang wujud sebelum diubah oleh kebangkitan Arab yang mencapai kemuncaknya pada 2011.

Arab Saudi mungkin kuasa yang paling bimbang dengan kebangkitan massa serantau yang melanda hampir semua negara di Asia Barat, termasuk jiran-jirannya di Teluk Parsi.

Semasa kebangkitan mula tercetus di Mesir, Riyadh mengambil langkah-langkah untuk membantu, termasuk menyatakan sokongan kepada Mubarak dan mendesak sokongan lebih kuat daripada Amerika Syarikat.

Saudi melihat sekutu kuatnya itu, yang bersamanya dianggap sebagai tonggak dunia Arab, perlu dipastikan kekal dikuasa oleh Presiden Hosni Mubarak atau sekurang-kurangnya pemimpin yang mengekalkan sistem dan aliansi politik sedia ada.

Kejatuhan Mubarak menjatuhkan satu sekutu penting Saudi, dan menandakan permulaan kebangkitan gerakan Ikhwan al-Muslimin yang bersifat popular dan republikan, bertentangan dengan sifat sistem politik keluarga monarki Saudi dan "pseudo-monarki" Mesir.

Ikhwan sebagai sebuah gerakan politik mempunyai cita-cita politik merentasi sempadan negara yang besar, dan mempunyai kuasa-kuasa tersendiri, termasuk tarikan dari sudut keagamaan.

Penguasaan Ikhwan di Mesir menandakan gerakan itu mempunyai satu negara yang ditadbir, dan membuka peluang kepadanya untuk membina hubungan dengan kuasa-kuasa serantau dan global, sekaligus mengukuhkan kedudukan di dunia Arab dan dunia Islam.

Kehilangan Mesir dan dikuasai gerakan Ikhwan membuka kepada pelbagai kemungkinan yang dilihat oleh Riyadh sebagai mencabar ketuanannya di rantau Arab, termasuk perluasan pengaruh ideologi gerakan Islam itu dan kemungkinan pembinaan hubungan dengan Iran.

Pengaruh meluas Ikhwan telah membolehkannya memenangi pilihan raya di Mesir, dan meningkatkan profil dalam kalangan gerakan Islam serantau dan global. Tarikan popular ini telah menunjukkan potensinya dalam kebangkitan yang menjatuhkan Mubarak, dan Saudi tidak mahu sentimen ini berleluasa di dunia Arab dan sampai ke sempadannya dan negara-negara serantau lain.

Kaherah di bawah Morsi tidak menunjukkan kecenderungan untuk membina hubungan dengan Tehran, tetapi kemungkinan hal ini berlaku membimbangkan Riyadh.

Saudi walau bagaimanapun sukar menangani kebangkitan Ikhwan yang dilihat sebagai ancaman kepadanya dan negara-negara monarki lain seperti Emiriyah Arab Bersatu dan beberapa negara serantau lain, terutama disebabkan naungan Qatar.

Kejatuhan Presiden Mohamed Morsi membuka peluang kepada Saudi untuk mengembalikan Mesir ke zaman sebelum ini, dengan hubungan yang rapat dengannya dan berperanan seperti semasa era Mubarak.

Bantuan dan sokongan yang diberikan Riyadh kepada Kaherah selepas penggulingan Morsi menunjukkan kesungguhan Saudi untuk memandu Mesir ke arah yang dikehendakinya, dengan sokongan sekutu UAE dan juga Kuwait.

Arab Saudi dan sekutu-sekutu di Teluk Parsi pada masa yang sama menekan Qatar dengan lebih kuat, mendesak negara penanung Ikhwan itu menghentikan usaha agenda serantaunya menyokong dan menaikkan Ikhwan al-Muslimin.

Tindakan terhadap Qatar dilakukan ekoran sokongan kepada Ikhwan, dan agenda meluaskan pengaruh serantau dengan Ikhwan sebagai proksi seperti di Mesir dan Syria. Desakan ini terus dilakukan dan beberapa tindakan diambil tidak lama sebelum sidang Liga Arab di Kuwait minggu lalu.

Sejurus selepas Arab Saudi, UAE dan Bahrain memanggil pulang duta masing-masing dari Qatar, Riyadh mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan teroris.

Di Mesir, media instrumen dasar luar Qatar, al-Jazeera terus berdepan tekanan dengan wartawannya ditahan dan dibicarakan atas tuduhan mengubah rakaman yang menjejaskan nama baik Mesir dan membantu teroris.

Tuduhan itu, yang dikenakan terhadap tiga orang wartawan al-Jazeera, Peter Greste, Mohamed Fahmy dan Baher Mohamed sedang dibicarakan di mahkamah Mesir.

Tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan balas dendam terhadap al-Jazeera, media utama yang membuat liputan kebangkitan yang menjatuhkan Mubarak dan menunjukkan sokongan kepada Ikhwan.

Sukar untuk menjangkakan perkembangan yang berlaku pada masa ini dilakukan tanpa pengaruh Riyadh, daripada penarikan duta-duta dari Qatar, tindakan Kaherah terhadap wartawan al-Jazeera, bantuan kewangan kepada Kaherah selepas kejatuhan Morsi hingga kepada sokongan kepada al-Sisi bertanding jawatan presiden Mesir.

Arab Saudi dan sekutunya di Teluk Parsi yang membentuk Majlis Kerjasama Teluk dan menguasai Liga Arab kini sedang mengambil peranan sebagai sekutu dan penaung baharu kepada Mesir, yang sedang pantas bergerak ke arah dikuasai kuasa lama yang terbina di bawah kepimpinan Mubarak.

Riyadh dan sekutunya sedang membina semula aturan yang terjejas dan diubah ekoran perubahan politik akibat kebangkitan Arab, dan apa yang sedang berlaku di Mesir menunjukkan agenda ini semakin hampir dicapai.