Tuesday, February 26, 2013

Soi Lek hina Islam lagi!

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kembali sekali lagi bersikap celupar terhadap PAS sekali gus biadab terhadap Islam.

Dalam berita “MCA: PAS will ruin country” (PAS akan hancurkan negara) dalam akhbar The Star semalam, beliau dengan begitu angkuh mengatakan dasar Islam yang dibawa dan diperjuangkan PAS akan membawa kesan negatif ke atas sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Pemimpin MCA yang diberi jolokan ‘apek porno’ itu berkata demikian dalam satu majlis di George Town. Tetapi saya fikir kenyataan biadab tersebut tidak disiarkan dalam media Umno berbahasa Melayu.

Bukan sekali dua beliau bertabiat melampau dan mencabar kesabaran umat Islam, malah telah berkali-kali.

Masalahnya Chua memahami Islam hanya melalui kefahaman yang diajarkan Umno, iaitu politik tidak dijadikan panduan dalam semua bidang kehidupan termasuk politik, ekonomi dan sosial melainkan terbatas dalam masjid dan dalam majlis keagamaan sahaja.

Kata Chua kurang lebih bermaksud: "PAS begitu mendesak menggunakan Islam dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Menggunakan Islam untuk politik adalah tidak baik untuk negara."

Kita dapat melihat beberapa kecelaruan pemikiran Chua iaitu yang pertamanya Chua lupa bahawa Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Sudah tentu Islam yang dimaksudkan ialah Islam yang diturunkan Allah, bukan sebagaimana difahami Umno dan bukan juga seperti yang ada dalam kepala hotaknya.

Kedua, dasar PAS ialah Islam. PAS telah wujud dalam sistem demokrasi negara ini sejak tahun 1951. Islam PAS bukan seperti yang difahami Chua. Jika PAS berjuang seperti dilaksanakan Umno, itu bukan dasar PAS, itu Umno-lah.

Ketiga, Chua barangkali tidak membaca sejarah bahawa Islam yang datang sebagai rahmat sekelian alam ini telah menaungi pelbagai bangsa dan negara dunia. Malangnya Chua melihat Islam ini penuh dengan prejudis dan prasangka jahat.

Keempat, Chua melihat Islam dalam politik sempit yang dimainkan Umno iaitu agama berlandaskan perkauman. Sebab itu apabila Umno bertemu dengan orang Melayu kampung mereka menakut-nakutkan dengan penguasaan Cina. Manakala MCA apabila berhimpun di kalangan Cina akan menakut-nakutkan dengan penguasaan PAS yang membawa Islam.

Sayangnya, setelah lebih 60 tahun berkawan dengan MCA, Umno masih gagal memahamkannya tentang Islam!

Bayangkan kata Chua: “bahawa jika negara ini mengamalkan apa yang PAS mahu, sistem politik, pendidikan, ekonomi dan kewangan akan mengalami kesan-kesan negatif.”

Begitulah daifnya pendapat seorang pemimpin BN ini sedangkan di bawah dan Pakatan Rakyatlah semua aspek yang disebutkan itu terbela.

Cuba tengok apa yang terjadi kepada sistem politik tanpa Islam seperti diamalkan sekarang. Berlakulah perebutan kuasa, rasuah wang bahkan sehingga berlaku bunuh membunuh. Dari segi pendidikan pula, cuba tengok sistem yang diajar tidak membawa kepada kebaikan akhlak dan budi pekerti. Kenapa jenayah, penagihan dadah dan kebejatan moral semakin hari semakin menggerunkan? Sistem mana yang dipakai?

Ekonomi yang mengamalkan sistem riba’ di negara ini, menyebabkan berlaku pelbagai malapetaka, rasuah dan penyelewengan. Yang kaya terus bertambah mewah mengaut keuntungan dan mengekah hak-hak yang sepatutnya dinikmati oleh golongan miskin. Sebab itulah yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus papa kedana makan sampah.

Jika sistem Islam dilaksanakan, tidak mungkin dengan mudah dapat projek untuk lembu kondo sehingga RM250 juta dari wang rakyat, tidak mungkin komisyen sehingga RM500 juta, tidak mungkin pakai cincin sehingga RM24 juta, tidak mungkin boleh menghadiahkan buah hati sehingga berjuta-juta, tidak mungkin tender dan kontrak hanya dimonopoli kroni!

Sayangnya, setelah lebih 60 tahun berkawan dengan MCA, Umno masih gagal memahamkannya tentang Islam!

Sayangnya orang yang bijak pandai seperti Tan Sri Harussani, diam menikus berhadapan dengan kenyataan biadab apek porno itu!


Monday, February 25, 2013

Cerita ustaz PAS dalam kursus BTN

Cerita ustaz PAS dalam kursus BTN

Tergelak saya mendengar cerita, seorang ustaz muda PAS yang dihantar berkursus di BTN baru-baru ini. Semua tahu, BTN ialah perkakas propaganda dan gerak saraf parti pemerintah.

Menurut cerita seorang rakan karib, dalam kursus tersebut, seorang penceramah telah memainkan ‘video keramat’ Umno lagu ‘Anak kecil bermain api’.

Antara lain isu kandungan lagu patriotik perkauman tersebut: “Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita.”

Lagu itu menggambarkan kebanyakan tanah-tanah dalam negara ini sudah terlepas kepada ‘bangsa asing’ sehingga sedikit demi sedikit tanah Melayu menjadi milik bukan Melayu.

Ia telah dimainkan dalam Perhimpunan Agung Umno yang terakhir sebelum PRU 13. Sudah tentu untuk melonjakkan semangat pimpinan dan perwakilan-perwakilan Umno yang sudah ‘kecapekan’ semangatnya. Maknanya, semangat dan perjuangan kemelayuan yang ada pada Umno mahu dibangkitkan kembali.

Berbalik kepada cerita ustaz muda PAS tadi, apabila pensyarah BTN berceramah ‘brain-wash’ peserta, ketika dialog beliau berkata kurang lebih, tanah hak orang Melayu beransur-ansur menjadi milik asing adalah akibat digadai, dijual dan diserahkan sendiri oleh pemimpin Umno.

Kurang lebih katanya: “Kita ada 9 raja-raja Melayu, Perdana Menteri dan timbalannya Melayu, DO dan ADO Melayu, pegawai-pegawai kerajaan dan wakil rakyat ramai Melayu, jadi bagaimana tanah Melayu boleh dikuasai orang asing?”, soalnya.

Kenyataan beliau itu sudah meninbulkan sedikit ‘ketegangan’ pada majlis. Tetapi mesej yang dibawanya jelas difahami.

Pada saya, memang dalam bab tanah Melayu jelas pemerintah yang ada hari yang amat bersalah.

Jika dulu kita dengar bagaimana hutan-hutan balak, pasir, lombong-lombong, pulau dan tanah tinggi diserah kepada tauke Cina MCA.

Di Pahang, tanah rizab Melayu di transit kuarters dijual kepada tauke Cina. Dato’ Fauzi Abdul Rahman pernah berucap dalam satu majlis mengatakan tanah MEC di Gambang telah dijual kepada Cina. Malah Dato’ Tajudin Sulaiman pernah mendedahkan tanah-tanah Umno telah digadai kepada Cina!

Bukan menjadi rahsia lagi, sudah banyak rungutan tanah-tanah di Johor Bharu terlepas kepada Cina Singapura. Khabarnya, yang berada di Putrajaya itulah yang menjualnya. Sama juga dengan Najib Tun Razak, beliau tidak minat sangat mempertahankan tanah milik KTM melainkan melepaskannya kepada Singapura dengan perjanjian yang tidak didedahkan kepada rakyat.

Satu soalan, kenapa Tanah Rizab Melayu yang diwartakan sudah ghaib dua pertiga daripada jumlah keseluruhan?

Hari ini Umno mahu mengugut jika Umno tidak berkuasa, negara dimiliki orang asing?

Ada satu perkara yang sudah lama saya perhatikan, tetapi saya harap tidak dianggap sebagai perkauman. Apabila menjelang pilihan raya, pemimpin Umno akan turun menemui rakyat dan ahli-ahlinya dengan taburan wang dan janji yang muluk-muluk.

Tetapi bangsa Cina saya perhatikan mereka pandai ‘demand’. Mereka tidak mahu wang, tetapi mereka desak untuk luluskan geran dan hak milik tanah!

Orang Melayu?

Menurut cerita orang, apabila pakcik-pakcik tua Melayu kampung berurusan di pejabat tanah kadang-kadang dilayan acuh tak acuh. Tapi apabila apek tua datang, kadang-kadang layanannya tiba-tiba berbeza!

Hari ini Umno mahu mengugut jika Umno tidak berkuasa, negara dimiliki orang asing?

Berbalik kepada ustaz muda PAS yang berhujah dalam program BTN tadi, saya cukup kenal ustaz itu. Sesiapa yang mahu kenal dia, jumpa saya.... saya boleh beritahu!

Friday, February 22, 2013

Dr Asri sindir Rosmah pemboros!


Penulisan bertajuk ‘Pemerintah bukan pelacur’ oleh bekas Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian hari ini, saya anggap paling berani dan berterus terang.

Selepas membaca artikel berkenaan, kita dapati Dr Asri begitu berani menegur pemimpin nombor satu di negara ini, berdasarkan ilmunya, juga yang tidak mampu langsung disentuh oleh gerombolan ulamak-ulamak muda Umno.

Dalam tulisannya, Dr Asri pada mulanya hanya mengaitkan persoalan cinta. Tetapi cinta itu akhirnya dikaitkan dengan suami isteri. Akhirnya cinta dan suami isteri itu dikaitkan dengan sesebuah negara.

Maksud Dr Asri, seseorang suami yang penyayang akan melayan isterinya secara terbaik. Kata Dr Asri, lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.

Sudah tentu cinta seorang suami terhadap isterinya ialah sanggup berhabisan belanja demi isterinya yang dikasihi. Namun bagaimana jika suami telah menjadi pemimpin tertinggi negara, bagaimana pula beliau melayan isterinya dengan kewangan?

Jelas Dr Asri: “Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnahkan kekayaan negara dibandingkan mereka yang digelar ‘musuh’.”

Dr Asri menggambarkan: “Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka. Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini”.

Mungkin bila masuk bab ini, pembaca mungkin membayangkan cerita Presiden Marcos dan Imelda, Isteri bekas Presiden Tunisia, Laila Ali atau ada yang membayangkan kekayaan Taib Mahmud dan anak-anak. Mungkin juga Khairy Jamaluddin mengaut kekayaan semasa bapa mertuannya menjadi Perdana Menteri, atau kerana Shahrizat berada dalam kerajaan keluarganya boleh mendapat pinjaman mudah lembu RM250 juta, projek anak-anak Raja Nong Chik.

Kata Dr Asri: “Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotik dan setia kepada tanah air, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka.

“Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodoh rakyat jelata.”


Sampai ke perenggan ini, kita tahu siapa yang dimaksudkan oleh Dr Asri iaitu Rosmah!

Sebenarnya banyak yang diperkatakan tentang Rosmah, anatarnya sebuah akhbar pernah melaporkan isteri Perdana Menteri itu berbelanja sehingga A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney. Rosmah dikatakan memiliki cincin RM24 juta, gelang mewah berharga RM1.65 Juta [Zebra Safari Bangle], 11 beg tangan Rosmah antara RM638 ribu hingga RM5 juta?. Walaupun mungkin itu berbentuk tuduhan, tetapi bak kata pepatah ‘jika tiada angin masakan pohon bergoyang’.

Pernah ada dulu yang membela Rosmah dengan mengatakan beliau seorang yang cermat dan harta yang disebutkan tadi adalah dari duit tabungnya yang disimpan dari kecil.

Bagi Dr Asri, hujah seperti itu hanya untuk membodohkan rakyat. Sebab itu rakyat sendiri seakan-akan tidak menyintai pemimpin. Kerana katanya, pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia.

Dr Asri kemudian menutup tulisannya dengan: “Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipu rakyat dengan pemberian yang mengaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.”

Maka renung-renungkanlah.





Thursday, February 21, 2013

Pekan: Setahun selepas kami datang

Siapa kata pembangkang tak berguna?
Dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pembangkang sebenarnya diletakkan ditempat yang sah di sisi undang-undang, sekurang-kurangnya sebagai ‘check and balance’.

Ketika kami turun ke Pekan pada cuti Tahun Baru Cina tahun lalu, kami dibawa ke beberapa tempat yang amat daif di kawasan Parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, termasuk di Kampung Kuala Pahang.

Namun apabila kami bertandang sekali lagi ke kawasan yang sama pada Tahun Baru cina tahun ini, pemandangannya sudah berubah sama sekali.

Di Kuala Pahang ketika kami datang kali pertama, penduduk mengadu tentang betapa melarat dah deritanya mereka terutama kediaman. Kami rakamkan pemandangan ketika itu.

Kata mereka, ketika Tun Razak menjadi Ahli Pekan atas usaha beliau telah membina perumahan kos rendah rakyat di Kuala Pahang pada tahun 1969 dengan bayaran sebanyak RM10 sebulan. Manakala rumah pemindahan banjir pula penduduk membayar RM15 sebulan pada tahun 1971.

Apa yang mengecewakan mereka, pada zaman Najib menjadi ahli parlimen dan Perdana Menteri ini tiada usaha untuk mengubah nasib mereka.

Di Kuala Pahang masyarakatnya tidak tersusun sebab itu selain daripada masalah ekonomi, gejala sosial juga teruk dengan penagihan dadah dan gejala anak luar nikah.


Kata penduduk: “Itu yang kami kesal sedangkan Parlimen Pekan sudah melahirkan dua Perdana Menteri, tiga Menteri Besar dan dua Timbalan Menteri Besar. Tetapi nasib penduduk Kuala Pahang tidak berubah,” katanya.

Perdana Menteri yang berasal dari Pekan ialah Tun Razak Hussein dan anaknya Najib. Manakala Menteri Besar Pahang yang datang dari daerah ini ialah Datuk Mohamad Jusuh, Najib dan Tun Khalil Yaakob.

Timbalan Menteri Besar pula ialah Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.

Kedaifan penduduk Kuala Pahang kami abadikan dalam bentuk berita dan video. Difahamkan, selepas itulah ada pihak yang bertungkus lumus mengusahakan janji yang dihamburkan Najib.

Kini sudah ada pemandangan yang agak menyedapkan mata, walaupun belum siap sepenuhnya.

Bukanlah kami ‘masuk bakul angkat sendiri’, bayangkan jika tiada pembangkang seperti kami, rasanya sehingga kinipun penduduk Kuala Pahang kempunan memiliki rumah yang bakal mereka diami!

Friday, February 15, 2013

Tegang, samseng Umno kepung mahasiswa

PEKAN: Setelah dimaki hamun, diusir dan diancam dengan parang Gerakan Mahasiswa (GM13) hari ini menghadapi satu lagi saat getir apabila dikepung dan diganggu oleh samseng Umno dalam kawasan parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini.

Sekitar pukul tiga petang tadi kumpulan Pemuda Umno Pekan itu telah mengepung mahasiswa dan mendesak mereka untuk keluar dari daerah Pekan serta-merta.

Menurut sumber yang menghubungi Harakahdaily, kekecohan juga tercetus apabila ada ahli PAS yang cuba menasihati kumpulan Pemuda UMNO itu supaya bertenang kerana kejadian berlaku betul-betul di bawah Pejabat PAS Kawasan Pekan, di bandar ini.

Dalam suasana tegang dan kekecohan tersebut ada ahli GM13 dikasari dan ditampar serta ada mahasiswi ditarik tudung walaupun mereka tidak melawan.

Beberapa ahli PAS yang kebetulan berada disitu membantu mengiring mahasiswa untuk kembali ke penginapan mereka di Kampung Rompin Lama dan diiringi sebuah kereta peronda Polis.

Bagaimanapun, kumpulan samseng itu terus mengekori mahasiswa ke penginapan mereka dan menunggu seta mendesak supaya mahasiswa mesti keluar dari Pekan pada petang ini juga.

GM13 datang ke Pekan Ahad lalu dalam usaha melakukan ziarah, mengedar risalah, kerja gotong-royong dan bersukan dengan pemuda tempatan.

Mereka memulakan aktiviti di Dewan Undangan Negeri Pulau Manis di mana diherdik dan diusir oleh Adun di situ sendiri.


Hari kedua di Dun Chini, mereka bukan saja disekat bahkan dua kali diugut dengan parang oelh samseng Umno.

Semalam mereka berada di Dun Bebar juga ditunggu dan diringi oleh samseng.

Hari ini mahasiswa berkenaan di Dun Peramu Jaya iaitu melibatkan kawasan bandar Pekan dan sekitarnya. Aktiviti pada sebelah pagi tidak diganggu sehinggalah mereka dikepung pada sebelah petangnya.

Sementara itu, rata-rata berpendapat kejadian ini tidak sepatutnya terjadi dalam sebuah negara demokrasi dan berlaku pula di parlimen Perdana Menteri yang telah mengumumkan transformasi demokrasi.

Bagi mereka, cara berpolitik samseng sepatutnya sudah berlalu kerana hanya diamalkan pada zaman kuno. Mereka kesal, kefahaman ini tidak diterapkan oleh Najib kepada warga parlimennya sendiri.

Banyak juga pihak kesal dengan Umno yang mengupah samseng sedangkan aktiviti mahasiswa yang 100 peratus berbangsa Melayu dan beragama Islam itu tidak menyalahi undang-undang selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti di parlimen baru-baru ini.


~ Suasana tegang di bawah pejabat PAS apabila samseng Umno beramai-ramai mengepung mahasiswa.

~ Seorang samseng Umno tidak dapat mengawal perasaan memekik memarahi mahasiswa.


Adik PM pula sasaran demo


TEMERLOH: Kira-kira 100 anggota National Union of Bank Employees (NUBE) dari seluruh negara hari ini mengadakan perhimpunan aman di hadapan CIMB Cawangan Temerloh bagi mendesak Datuk Seri Nazir Razak menyelesaikan beberapa tuntutan mereka.

Kumpulan yang diketuai Setiausaha Agung NUBE, J.Solomon yang berhimpun sekitar jam 11.45 pagi itu antara lain menuntut diberi perhatian soal gaji, kebajikan dan faedah perubatan kakitangan CIMB daripada kumpulan pengurusan diketuai oleh adik Perdana Menteri itu.

Dalam perhimpunan yang berlangsung selama 45 minit itu turut dipamerkan beberapa sepanduk yang tertera mesej-mesej yang cuba disampaikan kepada orang ramai yang secara kebetulan berhadapan dengan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Temerloh.

Kebanyakan sepanduk tersebut ditujukan kepada pihak pengurusan CIMB terutama kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Nazir Tun Razak.

Antara lain kelihatan sepanduk “Abang sulung janji ditepati, adik bongsu janji dimungkiri”, “Adik PM menipu pekerja”, “CEO CIMB restu PMS tipu ahli” dan “PM’s brother exploit workers”.

J.Solomon dalam ucapannya berkata, terdapat 27 aduan yang dituntut pekerja di peringkat bawahan masih tidak dapat diselesaikan, malah tidak diindahkan oleh pengurusan CIMB.

Menurutnya, beberapa tuntutan lain termasuk bonus kakitangan bawahan gagal diselesaikan sedangkan pengurusan tertinggi menerima faedah yang melampau.

“Antara kekecewaan lain termasuklah kes seorang kakitangan yang sedang hamil empat bulan diherdik hingga pengsan kerana enggan mematuhi arahan pihak atasan,” katanya.

J.Solomon berkata, mereka telah menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia bermula di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

Menurutnya, Temerloh adalah destinasi kedua selepas Karak dan mereka turut akan mengadakan himpunan aman selepas ini di Maran, Kuantan dan Pekan.


~ Kumpulan NUBE berhimpun di hadapan CIMB Temerloh sebelum waktu Jumaat tadi hingga menarik perhatian banyak pihak.


Thursday, February 14, 2013

Najib dimalukan media Singapura


Di sebalik puji-pujian melangit oleh media Umno kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyambut Tahun Baru Cina bersama Psy Gangnam Style di Pulau Pinang tempoh hari, media Singapura mendedahkan sebaliknya.

Diceritakan bagaimana Najib terpaksa menanggung malu yang amat sangat di hadapan 80,000 penonton Psy apabila menjerit sebanyak tiga kali, ketika ditanyakan: “Are you ready for BN?”
Sebaliknya, orang ramai menjerit "Yes" sebanyak tiga kali apabila Najib bertanya: " Are you ready for Psy"

Ramai yang mengatakan peristiwa yang berlaku di Han Chiang College hanya datang untuk menonton Psy, bukan untuk mendengar kempen Najib yang bernilai RM2 juta itu.

Akhbar tersebut dalam komentarnya, mengatakan Najib bukanlah seorang PM yang pintar kerana dia sepatutnya mengelak daripada mengulangi soalan itu selepas mendengar jeritan “No” dalam percubaan pertama beliau.

Isteri yang dianggap ‘membebankan suami’ Rosmah Mansor, pula diboo apabila dia naik ke atas pentas untuk menyanyikan lagu-lagu tahun baru Cina. Terdapat juga cubaan menampilkan Psy dan pemimpin BN di atas pentas bersama-sama (sebagai bahan kempen). Tetapi Psy enggan muncul di atas pentas dengan pemimpin BN.

Tidak lama selepas persembahan oleh Psy, orang ramai mula beredar meninggalkan tempat itu.

Sunday, February 10, 2013

Nasha bertanding BN, idea baik!

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mencadangkan, BN melalui Umno, memberi peluang kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika parti itu berminat dan memerlukan bekas orang nombor dua Pas itu.

"Nasharudin kelihatan seperti begitu cuba untuk membantu Umno dalam pelbagai hal hingga ketepi kepentingan Pas sendiri. Kerana itu, jika benar Umno perlukan dia, buka peluang untuk dia bertanding di mana-mana kerusi atau beri laluan di Bachok," katanya pada sidang media di Kota Darul Naim, semalam.

Husam berkata, pengguguran Nasharudin daripada Majlis Syura Ulama Pas bukan disebabkan kerjasamanya dengan Umno, tetapi ketidakhadirannya dalam beberapa mesyuarat Majlis Syura dan Pas Pusat.

"Kalau dia nak, dia boleh merayu semula. Saya cadangkan dia kembali, tetapi dengan syarat, dia mesti patuh pada peraturan dan hadir mesyuarat seperti biasa. Dia bukan Umno tapi semua kerja yang dilakukan adalah untuk membantu Umno.

"Kalau kita kahwin dan isteri main kayu tiga, dayuslah kalau kita tidak tegur perbuatan dia," katanya.

Menurutnya, pendekatan Pas adalah menepati matlamat untuk menukar dasar kerajaan yang zalim.

Komen aku pula, Nasha boleh menaiki hirarki lebih tinggi dalam Umno. Umno sekarang sedang menangguhkan pemilihan kepimpinannya pada semua peringkat sejak dua tahun lalu. Ertinya selepas PRU, akan berlaku pemilihan jawatan.

Mana tahu jika nasib Nasha baik, orang Umno memang memerlukan ulamak profesional yang pandai banyak bahasa itu, Nasha boleh bertanding Timbalan Presiden atau Presiden Umno sendiri!



Thursday, February 7, 2013

Masuk politiklah woii, pengurus Felda

Tindakan Pengurus Felda Kota Gelanggi 2 yang meluru ke pentas dan meminta Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberhenti ceramahnya serta merta malam tadi, dianggap biadab.

Yohanis Ahmad, yang mempengerusikan ceramah dalam premis PAS itu berkata, tindakan pengurus tersebut juga boleh dianggap mencabar kuasa polis yang ada dalam program tersebut.

Beliau turut kesal kerana tindakan tersebut sangat bahaya, boleh dianggap menceroboh dan bersifat provokatif jika tidak ditangani dengan bijak.

“Saya pada mulanya agak terperanjat apabila pengurus berkenaan tiba-tiba menerpa ke hadapan setelah kira-kira 15 minit Ustaz (Datuk) Tuan (Ibrahim) berucap dan mahu merampas pembesar suara sambil meminta dihentikan ceramah serta-merta.

“Dalam keadaan panik dan sangat pantas itu, saya terdengar Ustaz Tuan meminta saya memujuk pengurus itu masuk ke dalam markas untuk berbincang. Suasana ketika itu bingit dengan pekik sorak terutama orang muda yang marah dengan insiden itu,” katanya.

Yohanis berkata, tujuan dibawa pengurus itu berbincang di dalam markas adalah bagi mengelakkan berlaku kekecohan kerana ada lebih 200 yang hadir ketika itu.

Katanya, suasana pada mulanya terkawal apabila majlis berjalan dengan ucapan pertama daripada Yang Dipertua PAS Jerantut Dr Hamzah Jaafar sehinggalah Tuan Ibrahim berceramah kira-kira 15 minit.

“Semasa berbincang, pengurus tersebut beliau meminta maaf kerana mendapat arahan daripada orang atas dan pada masa yang sama saya menghubungi peguam. Tetapi dia tidak mahu bercakap dengan peguam kami.

“Tapi cara beliau bertindak begitu memang biadab dan boleh menjadi contoh yang buruk sebagai seorang pegurus tanah rancangan tetapi mujurlah tidak berlaku kekecohan,” katanya.

Tambahnya, sebagai pengurus sepatutnya banyak lagi kerja-kerja pengurusan yang wajar dilaksanakan bukannya menjadi alat menghalang ceramah parti politik yang sah berdaftar.

Yohanis berkata, tindakan pengurus tersebut juga salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.



Taktik baru Umno: Mengaku PAS, berdemo


MARAN: Pengarah Briged Keselamatan PAS Pahang, Ramli Abdul Rahman, hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis di sini berikutan perhimpunan provokasi dipercayai didalangi Umno di perkarangan masjid As-Syakirin, di sini petang semalam.

Katanya, perhimpunan sekitar 20 orang individu yang mengaku kononnya penyokong PAS itu, dipercayai orang yang sama yang berdemo di Kemaman, Trengganu kelmarin dan bergerak ke seluruh negara untuk tujuan yang sama.

Tambahnya, kumpulan yang menyamar penyokong PAS ini yang dipercayai diupah, menjerit dan memekik kononnya bagi menyelamatkan kalimah Allah dengan jelas mengaitkannya sebagai agenda PAS dan DAP sedangkan Umno sebagai penyelamat.

“Petang semalam kira-kira pukul 5.30 petang sekitar 20 orang telah membuat himpunan provokasi di masjid daerah dan mereka dilihat membawa sepanduk yang mempunyai logo PAS. Mereka juga memijak gambar Lim Guan Eng dan bendera DAP.

“Malam tadi peristiwa itu telah disiarkan melalui Buletin Utama Tv 3, Astro Awani dan akhbar Utusan Malaysia hari ini.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya penglibatan ahli-ahli PAS atau Pakatan Rakyat dalam insiden ini malah tidak tahu menahu langsung, sebaliknya hairan bagaimana media Umno boleh berada di situ,” katanya selepas membuat laporan.

Turut hadir Naib Yang Dipertua PAS Maran Shaharuddin Omar, Setiausaha Kawasan Mohd Nor Saleh, Ketua PKR Maran Boestamin Bakar dan kira-kira 20 penyokong.

Ramli yang juga ahli jawatankuasa PAS Maran berkata, mereka memandang serius terhadap penyamaran dan penggunaan logo PAS oleh individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai didalangi oleh ahli Umno.

“Pihak kami juga kesal dengan tindakan Tv3, Awani dan Utusan Malaysia yang telah menyiarkan berita ini tanpa usul periksa atau merujuk terlebih dahulu kepada PAS.

“Laporan dibuat hari ini untuk meminta pihak polis menyiasat tentang penyamaran yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab itu bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini terutama ketegangan antara kaum dan agama,” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad, kesal isu kalimah Allah dipolitikkan begitu sekali oleh pihak yang hanya mahu memporak-perandakan keamanan bagi tujuan pilihan raya.

Serentak dengan itu, katanya, PAS Pahang akan mengambil tindakan undang-undang termasuk menyaman mana-mana individu yang menyamar sebagai ahli PAS.


Ramli (empat dari kanan) bersama ahli PAS selepas membuat laporan polis hari ini

























Wednesday, February 6, 2013

Tempat Saifuddin sepatutnya bukan dalam Umno

Membaca tulisan Ahli Parlimen Temerloh Dato’ Saifuddin Abdullah bertajuk “Mendidik, bukan mengherdik” dalam kolumnya di Sinar Harian pada 4 Februari lalu, saya terasa seolah-olah membaca komen seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Bukan apa, kebanyakan idea yang diutarakannya tidak sesuai sama sekali dengan kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh.

Dalam tulisan tersebut, Saifuddin mengulas isu video “Listen, listen, listen” yang menjadi buah mulut ramai sedikit masa dulu. Katanya, video tersebut telah ditonton tidak kurang daripada 5 juta kali. Itupun, belum dicampur dengan komentar-komentar dalam Facebook, Twitter, blog dan sebagainya. Juga video/filem “2+2=5” dan “3 Idiots”, yang ada kaitan dengan video ini.

Seperti diketahui ramai, video popular itu menayangkan situasi KS Bawani, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), yang sedang bercakap dihentikan percakapannya oleh Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), dengan cara yang tidak sesuai, iaitu dengan nada suara yang meninggi dan menarik pembesar suara. Ini diikuti dengan Sharifah berleter terhadap Bawani yang senyum mendengarnya sebelum beredar ke tempat duduknya.

Insiden ini berlaku dalam Forum Suara Mahasiswa di UUM yang dihadiri kira-kira 2,300 mahasiswa UUM pada awal Disember 2012.

Pada saya, Saifuddin boleh menerima hakikat benar atau salah berdasarkan suasana, bukannya atas sentimen kepuakan.

Saya katakan ini, kerana ramai juga penulis tetapi hanya akan menulis dan menjatuhkan hukum halal sahaja apabila berbetulan dengan puaknya. Contohnya Dato’ Dr Nashitah Ibrahim, dia boleh menulis menghalalkan aktiviti pelacuran. Kerana apa? Kerana puak dan kumpulannya menghalalkan pelacuran.

Begitu juga dia menulis mengatakan boleh bersalam lelaki perempuan walaupun bukan mahram asal tiada nafsu, kerana apa? Kerana bersalam-salaman, bahkan berpeluk-pelukan itu amalan pemimpin dan pengikut partinya iaitu Umno.

Cuba perhatikan pendapat Saiffuddin ini:

“Pada saya, Sharifah sepatutnya membenarkan Bawani menghabiskan percakapannya. Kalaupun ingin menghentikannya, terdapat cara lain yang lebih baik. Selepas itu, Sharifah boleh tidak bersetuju dengan apa yang diutarakan Bawani. Tetapi, berhujahlah dengan bijaksana. Sekurang-kurangnya, tidak perlu menggunakan ayat yang membawa maksud adalah lebih baik Bawani meninggalkan Malaysia dan UUM.”

Cuba tengok pula dengan amalan juak-juak Umno jika menghadapi yang tidak aliran dengannya. Ambil saja Ambiga yang mengetuai Bersih 2.0, puak Perkasa dan ekstremis Umno yang sewaktu dengannya terus mahukan beliau dilucutkan kewarganegaraan dan dihalau dari negara ini.

Lagi contoh, Ahli Parlimen Maran Dato’ Ismail Mutalib dan Adun Kuala Sentul Dato’ Shahaniza Shamsuddin apabila mengulas tentang peneroka yang berlainan parti dengannya. Apa katanya? Dia mengcop peneroka tersebut tidak bersyukur, pengkhianat dan patut dihalau keluar dari Felda!

Itulah mentalitinya, walhal mereka berada satu kapal dengan Saifuddin.

Teliti lagi komen Saifuddin:

“Cara Sharifah yang berleter dan memperkecilkan Bawani adalah tidak baik. Beliau sepatutnya menggunakan cara yang lebih baik, misalnya, seperti yang ditunjukkan oleh ayat al-Quran, an Nahl:125, iaitu: dengan bijaksana, dengan pengajaran yang baik dan berdebat atau berhujah dengan cara yang terbaik.”

Apa maksudnya? Maksudnya sesorang yang yakin dnegan pendapatnya boleh berhujah dengan baik walaupun berhadapan dengan musuhnya. Bagaimana Presiden Umno Najib Razak? Digunakannya kesempatan dalam parlimen, dalam televisyen, atas pentas ceramah dan di mana-mana saja menghentam Anwar Ibrahim.

Akan tetapi apabila Anwar mempelawa berdebat, Najib jadi kecut-sekecutnya! Jadi itulah bezanya Saifuddin dengan Najib!

Saifuddin mengatakan, video Bawani menjadi “meletup” kerana insiden “Listen, listen, listen” atau yang seakan-akan dengannya selalu berlaku dalam masyarakat kita. Iaitu, Umno saja yang boleh bercakap, Umno saja yang betul.. orang lain semua salah. Umno tak boleh ditegur.

Kata Saifuddin: “Ia berlaku, antara lain, akibat “budaya takut” yang menular, contohnya: sebahagian guru/pensyarah tidak menggalakkan pelajar bertanya atau berhujah; sebahagian orang dewasa memperlekeh orang muda; salah tafsir undang-undang tertentu, seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan wujudnya peraturan-peraturan tidak munasabah; melabel orang yang berbeza pendapat; syarat-syarat mesti dipatuhi untuk mendapat sesuatu, contohnya, tinggal di asrama pelajar; takut dapat markah kurang atau tidak naik pangkat; dan sebagainya.”

Pada saya, yang dimaksudkan Saifuddin itu, bukan saja budaya takut, bahkan budaya taat setia. Umno dan BN kalau boleh mahu dikepilkan sekali dengan kerajaan dan negara. Maksudnya, kalau tak masuk Umno maknanya tak taatkan negara. Kalau lawan BN, mahu dikaitkan seolah-olah menentang kerajaan dan raja-raja!

Kalau boleh, itu yang Umno mahu semaikan sejak di bangku tadika hingga ke universiti!

Itulah Saifuddin, dia lain dari Umno yang lain. Bukan tentang itu saja, bahkan dalam kebanyakan isu beliau bercanggah sama sekali dengan pemimpin Umno. Ya, saya tahu kedua arwah ibu bapanya orang PAS, tetapi ada juga anak orang PAS yang tidak sepertinya.

Jadi bagi saya, Saifuddin ‘orang yang boleh berfikir’ di kalangan Umno, Cuma tempat berpijaknya saya rasa salah. Beliau sepetutnya berada dalam PAS atau PKR, bukan Umno.

Dalam Umno, biasanya orang yang cerdik akan menerima nasib sama seperti Hang Nadim dalam sejarah Melayu!



Sunday, February 3, 2013

Ingatkah Nasha dua Tuan Guru hampir berpecah kerana mempertahankannya?

Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, tiba-tiba menjadi begitu popular dan kerap mendapat tempat di muka depan media Umno. Lihat, bagaimana seseorang ahli PAS boleh popular apabila diambil tindakan. Bahkan dijadikan ‘peluru’ untuk menembak jamaahnya sendiri!

Saya tidak membaca penuh apa yang dikeluhkan oleh Ustaz Nasha kepada media Umno, cuma pada tajuk besarnya beliau ada mengatakan kecewa dengan penyingkirannya dari Majlis Syura Ulamak, merasa dizalimi dan tidak akan keluar PAS kerana mahu pastikan PAS kekal di landasan perjuangan sebenar

Kita faham kekecewaan Nasha apabila beliau dipecat dari Majlis Syura, sehingga merasa seolah-olah dizalimi. Sesiapa pun begitu. Tetapi knapa baru sekarang, sedangkan beliau tahu ponteng mesyuarat tanpa sebab berisiko untuk digugurkan? Bukankah itu termaktub dalam Perlembagaan PAS?

Di sebalik kekecewaannya, pernahkah agaknya beliau bertanya, apakah 1,000,000 ahli dan penyokong PAS tidak kecewa dengan tindakannya ‘membontot’ Najib ke hulu ke hilir? Sedarkah Nasha, luluh hati penyokong dan pendokong PAS kerana jauh di ceruk-ceruk kampung, Umno mempermainkan gambarnya bersama Najib bagi meragu-ragukan mereka dengan PAS?

Penat dan tercungap-cungap ketua-ketua Cawangan PAS menjawap propaganda Umno yang melibatkan bekas Timbalan Presiden dan ahli Majlis Syura itu? Mungkin oleh kerana Nasha berada di puncak kerana ‘diangkat’ oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor dahulu, maka beliau idak faham sepak terajang di peringkat akar umbi.

Baru-baru ini dalam satu program di Temerloh, Wan Nik Wan Yusof menceritakan bagaimana bagaimana PAS Kelantan terpaksa berhempas pulas mengambil alih tugasan wakil rakyat di kawasan yang dimenangi Nasharuddin atas tiket PAS, iaitu Parlimen Bachok. Difahamkan, sejak kalah kepada Mohamad Sabu, beliau tidak lagi turun kawasan di menanginya itu. Sedangkan beliau masih wakil rakyat dan menerima gaji? Apakah ini tidak mengecewakan pendokong dan penyokong PAS? atas tiket PAS, iaitu Parlimen Bachok. Apakah membontot Najib lebih mulia sifatnya berbanding dengan memenuhi tugasan sebagai wakil yang dipilih rakyat?

Apabila Nasha mengatakan tidak akan keluar PAS kerana mahu pastikan PAS kekal di landasan perjuangan sebenar. Itu kita boleh pertikaikan. Orang yang mengetahui tentang bai’ah calon-calon PAS pasti tahu bahawa mereka dikehendaki berbai’ah. Cakaplah apa yang orang nak cakap, tetapi dengan izin Allah, bai’ah itulah yang telah mempertahankan kerajaan PAS Kelantan walaupun bermajoriti satu kerusi! Bai’ah itulah yang membezakan wakil rakyat PAS dengan parti lain kerana mereka tidak melompat macam katak!

Tidak manis rasanya jika saya dedahkan apakah isi bai’ah itu, tetapi cukup saya katakan, orang ‘meleleh air liur’ untuk menyeberang ke arah Umno lebih suka dipecat daripada mereka sendiri keluar PAS!

Di sebalik semua itu, saya ada perkara yang suka tidak suka, mesti diungkit di sini. Nasha tidak sedar bahawa hasil daripada usahanya dan Dr Hasan Ali bertemu pihak Umno sejurus selepas PRU 2008, telah membawa parti hampir pecah dua? Lupakah Hasil pertemuannya itu Dato’ Seri Tuan Guru Presiden Abdul Hadi Awang telah terpalit dan terpaksa menanggung isu ‘kerajaan perpaduan’.

Paling menyeramkan bulu roma, ialah hasil cerita dongeng ‘kerajaan perpaduan’ itu dua Tuan Guru pimpinan PAS hampir ‘berpecah’ dan bertembung bersama penyokong masing-masing!

Ingatkah Nasha, Tuan Guru Nik Aziz pernah menulis dalam blognya pada satu masa dulu, mahu diadakan ‘mesyuarat agung luar biasa’ mahu memecat Presiden PAS kononnya kerana mahu menubuhkan kerajaan perpaduan yang diusahakan Nasha? Tidakkah itu semunya gara-gara usul mempertahankan Nasha dalam isu ‘kerajaan perpaduan’?

PAS juga sudah serik dan penat berpecah kerana isu Erbakan – Erdogan.

Nasha juga perlu ingat, bahawa ahli-ahli PAS terpaksa berkorban ‘mengalahkan’ ‘Perlembagaan Bergerak PAS’ iaitu Ustaz Hasan Shukri bagi mengharapkan pembaharuan dibawa ulamak profesional PAS itu selaku Timbalan Presiden PAS yang baru.

PAS telah banyak berkorban untuk Nasha, harap Nasha sedar itu kerana jika tidak dicalonkan dalam PRU nanti, bukannya bermakna dunia akan kiamat!


Friday, February 1, 2013

MB Pahang: JJ ganti Adnan?

Spekulasi siapa bakal menjadi Menteri Besar (MB) Pahang yang baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 sekiranya BN terus berkuasa, sudah acap kali diperkatakan umum. Tetapi oleh kerana ia spekulasi, sifatnya ialah tenggelam timbul.

Namun begitu, spekulasi tersebut hangat diperkatakan kembali baru-baru ini apabila bekas Duta Besar (bertaraf menteri) ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, turun menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis rasmi di Parlimen Pekan.

Antara yang merancakkan spekulasi tersebut termasuklah blog-blog yang menganalisis persaingan politik di negeri Pahang.

Memang sebelum ini, nama Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Rompin, disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob. Selain beliau, dua orang Exco Kerajaan Pahang iaitu Datuk Sharkar Shamsuddin dan Datuk Wan Adnan Wan Mamat serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah turut disebut-sebut.

Seorang wartawan veteran yang juga pengamat politik negeri Pahang ketika ditanyakan berhubung isu tersebut, tidak menolak kemungkinan jawatan Menteri Besar Pahang yang ketika ini disandang Adnan bakal bertukar tangan.

Katanya, perkara itu normal kerana tidak salah jika
Najib mahu membina imej baru jika mendapat mandat pertama kerajaannya dalam PRU nanti. Adnan dari rejim lama, dilantik oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada 25 Mei 1999, menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang ‘ditarik’ ke Pusat sebagai Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno.

‘Report card’ pentadbiran Adnan boleh dinilai dan dihukum melalui kritikan-kritikan oleh Ketua Audit Negara berdasarkan kelemahan dalam perbelanjaan dan pelaksanaan projek. Pada masa yang sama, hutang dan prestasi kewangan negeri juga teruk berdasarkan hampir setiap tahun mengalami defisit dalam bajet tahunan negeri.

Di bawah pentadbiran Adnan, dikaitkan juga dengan kurangnya usaha-usaha baru untuk menambah pendapatan negeri. Selain daripada itu, negeri Pahang juga tampak ketinggalan dalam pelancongan walaupun berkedudukan strategik dan mempunyai segala daya tarikan.

Umum juga masib ingat kontroversi-kontroversi dicetuskan Adnan daripada menunjukkan buntut dan isyarat lucah pada pilihan raya kecil Sanggang, hinggalah kepada mengajak Orang Asli (yang berhimpun di hadapan pejabatnya) bertumbuk. Sindiran terbaru terhadap Adnan ialah beliau mencabar jika Parlimen Bentong (yang ditandingi MCA) kalah kepada DAP, beliau rela ‘dikerat telinga’ dan terjun dalam Sungai Pahang.

“Semua itu ada kemungkinan menyebabkan Najib tidak mahu memikul kontroversi yang dibawa Adnan jika mahu tampil dengan imej baru mandat baru,” kata wartawan veteran berkenaan yang mendakwa pernah agak rapat dengan Najib.

Jika demikian, adakah JJ (gelaran popular Jamaluddin Jarjis di kalangan rakan-rakannya) merupakan cita rasa Najib?

JJ adalah kenalan lama Najib sejak dulu. Sudah tentu Najib mahu “orangnya” bagi memperkukuhkan kedudukannya di Pahang. Bukan rahsia lagi, Adnan dikaitkan sebagai orang Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada masa dulu.

Selain rakan karib Najib, JJ sendiri adalah orang Pekan (sebelah ibu) dan pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Pekan sebelum berpindah ke Bahagian Rompin.

Dari segi akademik pula, beliau anak Pahang pertama lulusan tertinggi dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal. Justeru jika ilmu dan pengalamannya menjadi taruhan untuk memajukan negeri Pahang, kriteria tersebut ada padanya.

Beliau merupakan bekas menteri pusat. Jawatan tarakhirnya ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau juga bekas Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB). Semasa menjadi pengerusi itulah beliau telah membawa kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke Muadzam Shah.

Kedudukan JJ sebagai bekas Penaung Persatuan Pengilang-pengilang Bumiputra Malaysia, dijangka mampu menarik lebih banyak pelaburan industri ke Pahang.

Memang ada yang berhujah, JJ pernah dikaitkan dengan satu kes moral beberapa tahun dahulu sehingga ‘dihantar’ menjadi duta bertaraf menteri ke Amerika Syarikat. Tetapi ramai pula yang berpendapat, kes tersebut hanya diketahui oleh mereka yang mengikuti perkembangan politik di media baru sahaja. Sedangkan di Rompin sendiri perkara tersebut tidak terhebah.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Shukri Ahmad, mengesahkan bahawa sudah ada juru kempen Umno di sana turun sambil membisikkan JJ bakal MB Pahang yang baru.

Umum mula mengandaikan, jika JJ bertanding di peringkat negeri, adakah beliau akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Muadzam Shah iaitu menggantikan tempat Datuk Maznah Mazlan? Maznah menang kerusi Dun tersebut pada PRU 2008 tetapi dilantik sebagai senator bagi mengisi jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia selepas Najib dilantik Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009.

Jadi Maznah atas sifatnya sebagai timbalan menteri, akan bertukar dengan JJ untuk bertanding di Perlimen Rompin sebelum tamat tempoh sebagai senator. Tetapi ada juga yang mengatakan jika JJ benar-benar akan menggantikan Adnan sebagai MB, beliau mungkin bertanding di Dun Bukit Ibam iaitu di kerusi penyandangnya sekarang Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Tetapi Sahfri merupakan Exco Kerajaan Negeri Pahang. Apakah beliau terpaksa berkorban atau bertukar kerusi dengan JJ.

Bagaimanapun persoalan sebenar tertimpa kepada Adnan. Jika JJ benar-benar dipertaruhkan di kerusi Dun untuk menjadi MB, Adnan yang kini sebagai wakil rakyat Dun Pelangai, di mana pula akan bertanding? Apakah kerjayanya berakhir bersama penggal PRU ke-12?

Pelbagai andaian dibuat. Tetapi yang popularnya ialah beliau akan bertanding di kerusi parlimen bagi membolehkan dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri jika menang.

Beliau tidak boleh bertanding di Parlimen Bentong kerana kerusi tersebut diperuntukkan untuk MCA. Jadi ada yang berkata mungkin Adnan akan bertanding di Parlimen Kuantan, satu lagi kerusi MCA tetapi kalah pada PRU lalu, bagi menentang Fuziah Salleh. Menurut andaian ini, Adnan akan ‘menebus’ kerusi yang asalnya milik Umno itu atas desakan Umno Bahagian Kuantan. Ada yang berkata, Adnan perlu menentang Fuziah bagi membuktikan projek Lynas diterima penduduk Kuantan tidak seperti mana dakwaan Fuziah projek tersebut ditolak penduduk.

Tetapi yang lebih popular ialah ada ura-ura Adnan akan bertanding di Paya Besar menggantikan Datuk Abdul Manan Ismail yang akan ditarik bertanding di Dun. Kebetulan, Abdul Manan tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Umno bahagian berkenaan.

Nampaknya debaran PRU bukan sahaja menjadi percaturan siapa menang antara Pakatan Rakyat dan BN, tetapi perbualan pemerhati-pemerhati politik kini turut menjurus kepada siapa yang akan tersingkir dan siapa yang akan tersungkur.









Wednesday, January 30, 2013

Perkara yang perlu peneroka tahu

WASIAT TUN RAZAK: PENEROKA itu TUAN, FELDA itu HAMBA

Oleh: Wan Rohimi Bin Wan Daud, @29012013

Almarhum Tun Razak memberitahu saya sejak 27/4/1960, bahawa Kerajaan berhasrat memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah (giving land to the landless). Menginsafi kemelaratan dan kemiskinan hidup rakyat 3 tahun selepas merdeka, Tun Razak memberitahu saya bahawa tanah-tanah tersebut akan diberikan secara sistem “hire-purchase”. Dengan kata lain secara sewa-milik. Pada akhirnya, mengikut wasiat Tun Razak, selepas membayar keseluruhan hutang dalam sistem sewa-milik, maka tanah-tanah itu hendaklah dimiliki sepenuhnya oleh peneroka. Dimiliki secara mutlak oleh peneroka. Sebab itu Seksyen 47 Akta GSA dimasukkan dalam Akta itu. S. 47 GSA terang dan jelas, untuk membebaskan tanah itu dari kongkongan Akta GSA. Tanah yang diberi Geran Hakmilik tidak lagi tertakluk kepada Akta GSA. Tanah itu sama dengan tanah-tanah lain diluar kawasan Rancangan Felda, yang dikawalselia oleh Kanun Tanah Negara 1965. Segala sekatan kepentingan (restriction in interest) ke atas tanah itu juga hendaklah dianggap sekatan kepentingan di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Dalam keadaan sedemikian, kuasa eksekutif ke atas tanah-tanah yang telah diberi hakmilik adalah terletakhak kepada Kerajaan Negeri. Ya. Kerajaan Negeri, melalui Pejabat Tanah. Bukan Felda. Itulah wasiat Tun Razak, yang dimaklumkan kepada saya pada 27/4/1960 – melalui Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat.

Seksyen 47 (d) Akta GSA menyatakan:-

(a) Express condition and restrictions in interest endorsed on the document of title shall continue to run with the land until amended or rescinded pursuant to subsection (4) and shall be deemed to be expressed conditions and restrictions in interest imposed under the National Land Code.

Ini selaras dengan penegasan Tun Razak di Dewan Rakyat pada 27/4/1960:-

“Once title has been granted, the land ceases to be State Land.................”

Setiap peneroka yang menyertai Rancangan Felda akan menandatangani 2 set perjanjian – Surat Perjanjian Peneroka dan Perjanjian Tambahan. Adalah diperhatikan bahawa kedua-dua perjanjian tersebut merujuk kepada hal keadaan penyertaan awal peneroka “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik”. Surat Perjanjian Peneroka, adalah perjanjian asas untuk diterima sebagai peneroka. Peneroka akan hanya didaftarkan sebagai “seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik”, selepas satu Perjanjian Tambahan ditandatangani oleh peneroka. Ini selaras dengan Fasal 15 Perjanjian Peneroka yang memperuntukkan seperti berikut:-

“15. Apabila Perjanjian Tambahan ditandatangani, Lembaga akan mendaftarkan Peneroka sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik bagi satu kawasan yang tidak dibelah bahagi seluas lebih kurang 14 ekar daripada Kawasan Rancangan yang ditanam dengan sawit dan lebih kurang ¼ ekar daripada Kawasan Rancangan untuk Lot Rumah”.

Selanjutnya, Frasa “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik” ada terkandung pada 12 tempat dalam Perjanjian Tambahan iaitu pada baris 6, Fasal 1, 2, 3, 5, 6, 9, 11, 17, 21, 22 dan 23.

Berdasarkan Perjanjian Tambahan, adalah jelas diperuntukkan seperti berikut:-

2. Tertakluk kepada pertimbangan cara-cara dan syarat-syarat yang ternyata dalam Perjanjian Tambahan, FELDA akan mendaftarkan Peneroka sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan Surat Hakmilik mengikut Seksyen 12(1) dalam Akta mengenai Tanah itu;

4. Perjanjian Tambahan hendaklah disifatkan sebagai dipinda seperti berikut:-

[c] Perkataan “Seksyen 35(4)” dibaris 3 dalam Fasal 1 hendaklah disifatkan sebagai telah dipotong dan digantikan dengan perkataan “Seksyen 12(1)”.

Oleh itu, jelas sekali keseluruhan 2 set perjanjian antara Peneroka dan Felda adalah HANYA berkaitan dengan penyertaan awal sebagai peneroka, sebelum Surat Hakmilik dikeluarkan.

Perjanjian-perjanjian tersebut dengan jelas merujuk kepada perjanjian di bawa Seksyen 12(1) Akta GSA yang merujuk kepada “Occupation In Expectation Of Title”, iaitu kependudukan sebelum mendapat hakmilik dan dalam jangkaan untuk mendapatkan hakmilik.

Oleh itu, selepas Surat Hakmilik dikeluarkan kepada Peneroka, maka perjanjian-perjanjian tersebut telah terhenti berkuatkuasa atau discharged by performance atas alasan-alasan berikut:-

1. Asas kepada kedua-dua perjanjian tersebut adalah sebagai instrumen mengawal selia kemasukan peneroka “sebagai seorang penduduk yang kelak akan dikurniakan surat Hakmilik”;

2. Perjanjian-perjanjian tersebut dibuat/sandarkan kepada Seksyen 12(1) Akta GSA iaitu “Occupation In Expectation Of Title”, - pendudukan sebelum mendapat hakmilik dan dalam jangkaan untuk mendapatkan hakmilik;

3. Selepas Surat Hakmilik dikeluarkan, dengan sendiri substance atau pati kepada perjanjian tersebut telah dipenuhi dan oleh itu perjanjian tersebut telah berakhir/dan tidak lagi berkuatkuasa – discharged by performance;

4. Selepas maksud kepada S.12(1) Akta GSA dipenuhi dengan pemberian Surat Hakmilik, maka S. 12(1) sudah tidak lagi terpakai dan menjadi akademik;

5. Seksyen 47 Akta GSA dengan jelas memperuntukkan bahawa tanah-tanah tersebut adalah milik individu Plaintif-Plaintif yang dikawal selia oleh Kanun Tanah Negara 1965;

6. Seksyen 47 juga memperuntukkan bahawa apa-apa sekatan kepentingan atas Surat Hakmilik hendaklah dianggap sebagai sekatan kepentingan di bawah Kanun Tanah Negara 1965;

Analogi Mudah – bagi sesuatu Perjanjian Sewa Milik (Hire Purchase), contohnya membeli kereta, maka selepas selesai keseluruhan urusan dibawah perjanjian tersebut – selepas pembayaran penuh harga beli termasuk faedah bank, maka dengan sendirinya sesuatu Perjanjian Sewa Milik tersebut akan berakhir/terhenti berkuatkuasa – discharged by performance. Ini adalah kerana objektifnya telah dicapai dan tanggungjawab pihak-pihak kepada perjanjian telah dipenuhi.

Hal yang sama berlaku dalam konteks perjanjian peneroka dan Felda. Jelas sekali perjanjian dibuat di bawah Seksyen 12(1) Akta GSA iaitu pemilikan sebelum mendapat hakmilik. Selepas hakmilik diberikan, sudah tentu Seksyen 12(1) tidak lagi terpakai. Keseluruhan terma-terma perjanjian juga (yang banyak menekankan kepada “penduduk yang kelak dikurniakan hakmilik”) telah tidak lagi terpakai. Maka dengan sendirinya perjanjian tersebut berakhir dan tidak lagi berkuatkuasa.

Tun Razak juga memberi pesan bahawa dalam usaha memberikan tanah-tanah itu kepada rakyat yang tiada bertanah, Felda dan Kerajaan boleh berniaga. Felda ditubuhkan pada 1/7/1956, setahun sebelum Merdeka, dan hampir 4 tahun sebelum Akta GSA digubal. Benar. Felda telah berniaga untuk satu pusingan. Bermodalkan dana dari Bank Dunia, Felda dilantik menjadi Pengurus, mendahulukan modal untuk membangunkan tanah-tanah peneroka, dan mengenakan caj perkhidmatan, upah dan kadar faedah yang tinggi. Untuk satu pusingan hutang BK (Bayaran Kembali), peneroka mengambil masa selama 20 – 25 tahun untuk menyelesaikannya.

Kerajaan Negeri juga berniaga. Dengan cara mengenakan bayaran premium ke atas setiap inci tanah yang diberikan kepada peneroka. Selepas diberikan Hakmilik, Kerajaan Negeri mengutip hasil melalui cukai tanah. Itu perniagaan yang jelas. Yang nampak! Tetapi nun di sana sumbangan peneroka lebih besar. Kemasukan berbondong-bondong kumpulan peneroka untuk mendiami hutan belantara, yang sebelum itu didiami oleh binatang buas dan komunis, telah ternyata menjadi teras kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk memajukan sesebuah kawasan hutan belantara dengan pusat ekonomi dan dengan itu akan membiakkan industri hiliran. Maka tumbuhlah pekan-pekan kecil yang menjana ekonomi rakyat sehingga kini.

Pada pemerhatian saya, kumpulan peneroka adalah pejuang asal yang memajukan ekonomi negara ini sejak selepas merdeka. Negara kita tidak punyai hasil lain. Kecuali hasil pertanian. Justeru peneroka sepatutnya dilayan seperti TUAN, dan bukan sebagai HAMBA. Selepas tamat satu pusingan hutang-hutang BK dijelaskan sepenuhnya, dan Hakmilik diberikan, maka peneroka sepatutnya dibebaskan dari rejim GSA. Felda perlu berundur dari kawasan Rancangan. Isytiharkan kawasan Rancangan itu sebagai kawasan perkampungan. Kampung Kemahang. Kampung Aring. Kampung Jengka. Kampung Air Tawar. Kampung Bukit Ramun. Keluarlah Felda, keluarlah dari kawasan Rancangan itu sepenuhnya. Berikan kebebasan kepada peneroka. Setiap inci bumi itu sudah menjadi milik mereka. Mereka Tuan, kepada harta mereka. Usahlah lagi mencari helah untuk terus berlagak sebagai Tuan kepada peneroka sehingga kiamat!

Pelik bukan. Selepas peneroka diberikan geran tanah, mendapat hakmilik mutlak, Felda masih bertenggek di situ. Memaksa peneroka untuk menerimanya mereka sebagai Tokey, sebagai Tuan. Mengaut untung dan menghisap darah peneroka atas hasil ladang mereka. Benar. Dalam mana-mana sistem perniagaan, khidmat orang tengah, broker, peraih, selalunya akan menyedut hasil dan pendapatan petani-petani dengan rakusnya.

Kedudukan Felda dalam kawasan Rancangan tidak lebih daripada orang tengah, peraih dan broker, untuk mengaut hasil sawit peneroka. Peneroka menjual sawit secara paksa. Mereka tidak diberi pilihan, untuk memilih kilang mana yang harganya lebih tinggi. Mereka dipaksa hantarkan buah sawit ke kilang Felda, dan tunggulah bayaran pada hujung bulan. Bila dilihat “paysheet” bulanan, berbelas-belas potongan dibuat oleh Felda.

Cuba bayangkan senario ini. Tiada orang tengah yang mengaut hasil jualan sawit. Peneroka potong buah. Peneroka angkut buah ke kilang. Peneroka jual. Dapat duit, cash lagi. Peneroka boleh pilih kilang mana yang dia suka, yang pastinya lebih mahal. Pulangan hasil lebih lumayan. Peneroka selenggara sendiri ladang mereka, tidak perlu upah kontraktor yang dilantik Felda. Peneroka tanam sendiri ladang mereka (untuk pusing kedua). Pilih sendiri kontraktor, atau pilih untuk tanam sendiri. Beli baja sendiri. Racun tikus sendiri. Bela burung hantu sendiri. Tentunya mereka lebih bermotivasi, kerana kemalasan mereka akan diterjemah dalam bentuk pengusutan hasil bulanan. Paling penting, setiap sen hasil sawit yang dijual, semuanya milik mereka. Sudah tentu mereka akan kaya raya. Bila peneroka kaya raya, kuasa beli meningkat. Ekonomi negara pastinya lebih mansang! Perlu diingat, anak-anak peneroka ini ramai. 7 – 10 orang anak satu keluarga adalah perkara biasa. Maklum sajalah, balik dari ladang, apa lagi kerja mereka. Selain mengoles isteri tercinta!!!

Tapi kini dunia terbalik, yang diperkasakan oleh pembesar negeri ini, ialah Felda. Sedang Felda itu sifatnya hanya broker dan peraih. Orang tengah. Sesudah hutangnya bersama untung dibayar sepenuhnya oleh peneroka, mereka masih bertenggek di situ. Mengaut untung atas angin hasil keringat dan peluh mereka. Pendapatan peneroka hanya RM1,500 – RM2,000-00 sebulan. Anak 10. Akhirnya walau memiliki ladang sawit seluas 10 ekar, peneroka tidak ubah kais pagi makan pagi, kais petang untuk malamnya. Sejak merdeka hinggi kini, peneroka masih miskin tegar.

Sedang Felda itu kaya raya. Pengerusinya dibayar elaun puluhan ribu setiap bulan. Pembesar-pembesarnya lena diulit kerusi empuk di pejabat, dengan elaun bulanan belasan ribu. Duit Felda berbillion-billion (dulu la.....). Ramai Tuan-tuan politik melobi sana sini nak jaga Felda. Nak jadi Menteri yang jaga Felda. Nak jadi lembaga pengarah kepada anak syarikat Felda. Anak syarikat lingkup tidak mengapa, janji pengarah dapat elaun yang lumayan. Kemewahan dan pembaziran merebak ke serata alam. Namun peneroka, kelam dan terus kelam!!!

Kini tiba musim pilihanraya. Maka ramailah tuan-tuan politik yang suka mengungkit. Dipaksa dan diugutnya peneroka untuk ucap terima kasih kepada tuan-tuan politik. Sudah tentu ucapan terima kasih itu membawa maksud sokongan terbuka kepada pemerintah, dan mengundi parti pemerintah. Jelek kita melihatnya. Diungkit ke serata alam kononnya tanpa mereka, siapalah peneroka. Tanpa pembesar itu dan ini, peneroka tak dapat kemewahan seperti hari ini. Mewah ke peneroka??? Padahal peneroka dapat apa yang mereka dapat bukan percuma. Sama macam membeli kereta secara sewa milik, lepas habis hutang, baru jadi pemilik mutlak. Peneroka pun begitu, semua proses pembangunan ladang dan kemudahan infrastruktur dibayar peneroka, termasuk faedah, upah, caj perkhidmatan bahkan ketirisan dan pembaziran yang dilakukan oleh tuan-tuan politik. Semua gaji Pak-pak Menteri Felda dibayar oleh peneroka. Gaji pengerusi dibayar oleh peluh peneroka. Gaji keseluruhan kakitangan Felda dan para pengampu tuan-tuan politik, juga disara oleh peneroka. Apalagi yang perlu diucapkan terima kasih? Siapa yang sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada siapa? Sememangnya ucap terima kasih itu baik! Menghargai pertolongan sesama insan juga baik. Orang berbudi, kita berbahasa!! Tetapi usahlah dipaksa dan diugut, agar semua peneroka berterima kasih kepada Ketua Peraih, yang mengaut keuntungan atas keringat peneroka.

Bertentangan dengan Wasiat Tun Razak, selamanya peneroka dilayan seumpama Hamba!!!

Monday, January 28, 2013

Bayar balik saham FGVH: Felda tipu peneroka?

TEMERLOH: Surat perjanjian pinjaman Bank yang ditandatangani sebagai jaminan membayar semula pinjaman saham Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGVH) sebanyak RM50 sebulan kepada Felda, mula menimbulkan keraguan kepada peneroka.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, terdapat beberapa keraguan dalam perjanjian setebal 27 muka surat itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan aset peneroka terpaksa digadaikan jika saham FGVH terus menanggung kerugian.

“Satu surat telah dikeluarkan kepada peneroka meminta mereka membayar semula wang pinjaman sebanyak RM3,812.23. Ini adalah pinjaman pokok yang perlu dibayar untuk 800 unit saham FGVH yang belum diambil kira bunganya lagi.

“Apa yang menimbulkan keraguan ialah perjanjian yang dibuat terlalu tebal, sehingga 27 muka surat, dan mempunyai perkara-perkara yang amat menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Mazlan berkata, antara perkara yang meragukan dalam perjanjian tersebut ialah berkaitan dengan ‘kuasa wakil’ dan ‘tanggung rugi’ yang tidak dinyatakan dengan jelas.

Katanya, pernah terjadi sebelum ini di Felda Cahaya Baru, Johor Bahru, di mana warganya hanya menerima pampasan sebanyak RM200,000 berbanding RM1.3 juta kerana melibatkan perjanjian yang mempunyai kuasa wakil.

“Perjanjian hanya melibatkan wang pinjaman saham ini hanya sebanyak RM3,812.23, mengapa perlu dokumen perjanjian setebal ini? Sedangkan sebelum ini segala hutang peneroka memang dipotong melalui pembayaran hasil ladang, tidak perlu dokumen bertandatangan.

“Sekarang kenapa? Adakah kerana mereka mahu menjadikan peneroka atau aset mereka termasuk tanah ladang 10 ekar sebagai galang ganti sekiranya berlaku sebarang kerugian saham FGVH?” soalnya ketika menjadi pengulas kertas kerja 3 dalam Munakasyah Ucapan Dasar Presiden di Darul Amin Sungai Gau Ahad lalu.

Kira-kira 150 peserta dari seluruh negeri hadir dalam program dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu itu. Mohamad turut membentangkan kertas kerja 1 manakala kertas kerja dua dibentangkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Wan Nik Wan Yusof.

Mazlan dalam pada itu meminta pihak Felda memberi penjelasan terhadap kekeliruan yang timbul kerana terma yang ditetapkan seperti mempunyai perkara tersirat di sebaliknya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat berkata, sepatutnya jumlah yang perlu dibayar peneroka hanya RM3,560 dan bukannya RM3,812.23.

“Peneroka terpaksa menanggung caj-caj yang mungkin ada kaitan dengan perjanjian ini. Memamng amat menghairankan kerana dalam perjanjian itu tertulis bahawa peneroka akan menanggung segala kos termasuk yang berkaitan dengan bank,” katanya.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan pihaknya apabila pembiayaan Felda tidak mencukupi, kemungkinan mereka akan mendapatkan pembiayaan dengan pelbagai cara termasuk menjadikan peneroka sebagai ‘tebusan’.

Katanya lagi, ini sama sekali bercanggah dengan janji-janji pemimpin kerajaan dan Felda sebelum ini bahawa peneroka akan menempa kekayaan apabila menceburi bidang perniagaan saham.

“Dahulu Felda mempunyai tabung untuk membuat pembiayaan tanam semula. Sekiranya saham gagal, Felda mungkin akan mengambil segala aset peneroka, keraguan dan kebimbangan inilah yang telah ditimbulkan oleh peneroka kepada saya” katanya.

Tambah Mazlan, harga saham FGVH yang terus menjunam pada masa ini sehingga berada di bawah harga IPO, menyebabkan pelabur rugi besar dan telah mendorong peneroka mahu menilai semula perjanjian yang ditandatangani mereka.


Mazlan menunjukkan surat perjanjian yang meragukan, semasa Munakasyah Ucapan Dasar.





Tuesday, January 22, 2013

Pertandingan NGO pro kerajaan macam pemilihan Umno

Pertandingan NGO pro kerajaan macam pemilihan Umno

Nampaknya pemilihan dalam persatuan-persatuan yang menyokong kerajaan sudah berjangkit penyakit macam Umno.

Akhbar hari ini melaporkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim menjelaskan beliau menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) pada saat akhir tidak mahu berlaku krisis kepimpinan.

Beliau mengambil keputusan menarik diri empat jam sebelum pengundian daripada terus bertanding kerana mendakwa menerima ugutan secara peribadi.

Katanya, keputusan itu diambil selepas menyedari hakikat “menang jadi arang, kalah jadi abu” kerana wujudnya undi blok dan pelbagai ketidakadilan berlaku pada saat itu.

“Saya diugut secara peribadi begitu juga dengan penyokong. Malah bantahan dikemukakan pasti membolehkan saya menang tanpa bertanding secara teknikal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada pemilihan tersebut, penyandang Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee mengekalkan jawatan itu buat penggal 2012-2014 apabila menang tanpa bertanding.

Sebelum ini jika diperhatikan tabiat Umno, terutama pada musim pemilihan, maka akan berebut-rebutlah pemimpin kelompok tertentu untuk menjadi calon ketua. Biasanya akan ada klik-klik dan setiap kumpulan ada habuan masing-masing.

Parahnya pemilihan dalam Umno, menyebabkan kepimpinan parti itu sendiri tidak mahu mengadakan pemilihan sebelum pilihan raya umum kerana dikhuatiri akan membawa pecah belah yang seterusnya akan melemahkan organisasi.

Pada peringkat cawangan saja, kadang-kadang sudah ada ahli Umno yang berbaling kerusi. Pada peringkat Bahagian, biasanya perwakilan akan ‘mewah’ dengan imbuhan-imbuhan.

Pertandingan peringkat Pusat lebih menggerunkan kerana lazimnya setiap calon akan mengeluarkan belanja sehingga jutaan ringgit. Isa Samad yang menjadi Pengerusi Felda sekarang ialah bekas pesalah rasuah ketika menang bertanding Naib Presiden Umno.

Nampaknya penyakit Umno dah berjangkit kepada NGO mereka pulak dah!




Monday, January 21, 2013

Dr Wahab terima gelaran Dato' Kedah

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang Dr Abdul Wahab Ismail, Ahad lalu menerima anugerah pingat Darjah Setia DiRaja Kedah sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke-85 tahun ini, yang telah membawa gelaran Dato'.

Istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran itu disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah mewakili Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim di Istana Anak Bukit.

Dr Wahab yang juga seorang ahli korporat, menerima anugerah tersebut sebagai perhargaan jasa-jasanya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bina Darulaman Berhad.

Semoga Allah memberkati segala usaha beliau untuk semua, dan diharap selepas ini menabur bakti pula di bumi kelahirannya sendiri di Pahang, insyaALlah.



Mail Mutalib, Munawar, Shahaniza, tolong tengok tempat judi

Assalammualaikum w.b.t ,

Saya ingin memohon kpd semua utk mengwar2warkan isu kewujudan hiburan haram dan perjudian di daerah Maran, Pahang Darul Makmur. Saya mendapat maklumat ini di papan kenyataan Masjid As-Syakirin Maran ketika Solat Jumaat minggu lepas 18 Januari 2013. Sewaktu sy membaca memo ini, saya terdengar perbualan dua orang jemaah tentang isu ini yg turut sama membaca memo itu dan mereka sangat tidak berpuas hati dengan apa yg berlaku. Komen mereka perkara seperti inilah yg sebenarnya merosakkan orang Islam dan orang2 Melayu terutama golongan muda. Jika saya tidak salah, tempat pusat judi ini berkemungkinan di kawasan Tong Kiat yg berhampiran dengan kawasan Kuala Sentul. Pengesahan lanjut perlu didapatkan tentang lokasi sebenar pusat kegiatan haram ini.

Jika dapat dilhat kepada senarai memo tersebut dihantar, ianya dihantar kepada

- Menteri Keselataman Dalam Negeri
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
- Menteri Besar Pahang
- Ketua Polis Pahang

dan ianya juga telah dihantar kepada pihak berautoriti yang berada di daerah Maran seperti

- Ahli Parlimen Maran, YB Dato' Hj. Ismail
- ADUN Kawasan Luit, YB Dato' Hj. Ahmad Munawar
- ADUN Kawasan Kuala Sentul, YB Dato' Shahaniza
- ADUN Kawasan Jengka, YB Wan Salman
- YH Dato' Pegawai Daerah Maran
- Ketua Polis Daerah Maran.

Pengumuman telah dibuat oleh pihak masjid sebelum Solat Jumaat bagi memohon jemaah sama2 mengerjakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat. Saya tidak mendapat maklumat bilakah memorandum bantahan tersebut dihantar dan ditandatangani. Diharap maklumat ini dapat disebarkan dan dikongsikan agar dapat membuka mata pihak2 berwajib untuk mengambil tindakan sepatutnyer. Dengan gejala sosial dan keruntuhan akhlak yg membarah sekarang ni, adalah amat wajar perkara2 seperti ini diperangi habis-habisan.

Yang Benar,
Anak Maran


Saturday, January 19, 2013

22 bubar, 16 pencalonan 30 Mengundi?

Seorang sahabat iaitu Ketua Pemuda Umno sebuah cawangan memberitahu, tarikh-tarikh penting ialah 22 Februari ini bubar parlimen, 16 Mac hari penamaan calon dan 30 Mac pula ialah hari mengundi.

Konon ceritanya, beliau diberitahu oleh orang penting partinya, tarikh-tarikh tersebut telah diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno Pahang di Kuantan minggu lalu.

Ada juga yang berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak juga dikatakan malu untuk membiarkan parlimen Malaysia terbubar dengan sendiri oleh SPR. Dengan itu demi maruahnya, beliau akan bubar (sebelum terbubar dengan sendiri) untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

Pilihan raya Umum (PRU) 12 ialah 8 Mac 2008, iaitu lima tahun yang lalu.

Bagaimanapun, ada satu sumber menyebut tarikh bubar mungkin 25 Februari (Isnin). Jika diambil tarikh pembubaran parlimen 22 Februari itu, ia jatuh pada hari Jumaat iaitu 11 hari selepas sambutan Tahun Baru Cina. Memang sudah dijangka, Najib selaku Presiden Umno tidak akan berani membubar sebelum Tahun Baru Cina kerana khuatir dengan protes kaum Tionghua itu.

Manakala bagi pihak Umno, tarikh itu dianggap sesuai kerana pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) kali kedua akan mula diagihkan Februari ini. Manakala bantuan persekolahan M100 telah bermula minggu ini.

Kedua-dua bantuan dan lain bantuan dari bajet 2013 telah diuar-uarkan berulang-ulang kali dalam media elektronik sebagai satu kempen ‘kerajaan pemurah, rakyat kena balas budi dengan undi BN’.

Tarikh 16 Mac sebagai hari penamaan calon itu jatuh pada hari Sabtu, seminggu sebelum cuti penggal pertama persekolahan.

Jika benar hari mengundi ditetapkan pada 30 Mac (Sabtu), bermakna tempoh berkempen ialah selama dua minggu. Hari tersebut berada di akhir cuti persekolahan penggal pertama di Malaysia. Faktor ini penting kerana kebanyakan pusat mengundi ialah di sekolah.

Sebelum ini, akhbar The Star telah membuat spekulasi Najib akan mendapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Mu'adzam Shah Halim untuk pembubaran pada bila-bila masa antara 20 Feb ke 20 Mac.

Ini disebabkan tarikh 21 Mac adalah hari tempoh Dewan Undangan Negeri Johor tamat selepas tempoh lima tahun.

"Dewan Undangan Negeri Johor mengangkat sumpah mereka pada 21 Mac. Oleh itu tamat pada tarikh yang sama tahun ini. Kami menjangkakan Perdana Menteri akan bubar parlimen sebelum itu," kata sumber The Star.

Sumber mengatakan bahawa Najib tidak mahu membenarkan perhimpunan Johor tamat kerana sehingga tidak sah kerana akan membawa implikasi undang-undang.

Selain Raya Cina Februari ini, Najib dijangka ke luar negara atas urusan penting dalam bulan Februari ini. Pertubuhan sidang kemuncak Kerjasama Islam yang dijadualkan pada 6-7 Februari dan pemimpin Malaysia jarang terlepas mesyuarat ini. Ia difahami bahawa Najib telah dijadualkan satu lagi lawatan ke luar negara tidak lama selepas Tahun Baru Cina (10 Februari).

Najib juga dikatakan telah menerima isyarat daripada think-tanknya supaya tidak terlalu awal membubarkan parlimen kerana lazimnya sambutan dan kegembiraan perayaan Tahun Baru Lunar disambut selama 15 hari.

Berdasarkan semua faktor-faktor ini, menurut sumber dalaman Umno, 22 atau 25 Februari bubar, 16 Mac penamaan calon dan 30 hari mengundi untuk PRU 13.

Sudah bersediakah kita semua?



Friday, January 18, 2013

Kalaulah Ustaz Hadi, Anwar, Lim Guan Eng yang kata begini...

Tetapi kenyataan ini diucapkan oleh bapak segala Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, orang bukan Melayu (Cina, India dan lain-lain) juga boleh menjadi Perdana Menteri negara ini kerana tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menyekat perkara itu daripada menjadi kenyataan.

Dr Mahathir berkata, sekatan itu tidak dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana beliau yakin pengasas negara ini berpendapat bahawa orang Melayu tetap kekal akan menjadi majoriti dan tidak mustahil bagi orang Melayu tidak menjadi lagi menjadi Perdana Menteri.

“Oleh kerana tidak ada sekatan, besar kemungkinan kita akan dapat Perdana Menteri bukan Melayu. Mereka sudah tentu akan berkata, mereka akan bertimbang rasa dan melakukan keadilan kepada semua kaum.”

Bayangkan kenyataan kontroversi itu diucapkan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atau Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Lim Guan Eng. Walaupun ayatnya sama dengan Dr M, kita percaya, akan berlaku demonstrasi besar-besaran oleh Perkasa, Jati, Umno dan Pekida bangkit membantah.

Saya fikir mereka tidak perlu membaca apa isi berita berkenaan. Cukup dengan taju seperti ini sahaja, mereka akan terus bertindak.

Jangan lupa, inilah realiti baru politik penyokong-penyokong Umno di negara ini!



Wednesday, January 16, 2013

Peguam gesa PAS dapatkan perintah mahkamah

Seorang peguam, mencadangkan supaya parti-parti pembangkang terutamanya PAS, supaya pergi ke mahkamah dan meminta satu perisytiharan daripada mahkamah tinggi.

Ia berkaitan dengan satu trend baru, terdapat kecenderungan menyekat kebebasan bersuara dan beraktiviti yang dibenarkan demokrasi di tanah-tanah rancangan Felda mutakhir ini.

Pengerusi Angkatan Pembela Hak Rakyat (Hak), Mohd Harris Abdullah, berkata, semua halangan tidak sah kerana bertentangan dengan Fasal 9 Perlembagaan Persekutuan. Melalui perisytiharan itulah yang boleh digunakan untuk didakwa kerana menghina ke mahkamah.

Menyekat orang lain bermakna mengatasi masalah pencabulan undang-undang secara nyata ini.

Baru-baru ini, PAS Cawangan Jengka 12 telah menerima surat amaran melarang sebarang program ceramah parti itu oleh Penguruh tanah rancangan berkenaan.

Akhbar sebelum ini, memaparkan beberapa pertubuhan dalam Felda di Lipis menyerahkan resolusi bantahan bagi menghalang parti politik daripada Pakatan Rakyat daripada masuk ke kawasan mereka.

Sebelum ini, 8 orang ketua-ketua peneroka Felda di Johor, telah menghantar memorandum kepada ketua polis daerah meminta larangan terhadap pergerakan parti-parti politik Pakatan Rakyat (PR) di kawasan masing-masing.

Bulan lalu pula, Timbalan Pengurus Wilayah Felda Jengka melarang parti-parti politik mengibarkan bendera di kawasan tersebut. Sebelum itu Kembara Oren Selamatkan Felda telah disekat secara ganas di pintu masuk Jengka 23 dan Jengka 11.

Di Negeri Sembilan pula, konvoi yang sama bukan saja diusir malah telah dicederakan.

Jadi apakah sebenarnya yang sedang berlaku sekarang, di manakah letaknya undang-undang? Adakah sesuatu arahan pada masa ini hanya terletak kepada golongan yang ‘kuat’?

Harris berkata, keadaan ini menggambarkan ada segelintir manusia yang menganggap undang-undang berada di tangannya.

Sedangkan, katanya, tindakan menghalang tersebut sama sekali bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dalam Fasal 9 Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak. Undang-undang itu menyebutkan, Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan.

Kedua, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.

“Jadi di mana ada undang-undang yang melarang warganegara ini memasuki kawasan Felda?,” soalnya ketika berkunjung ke pejabat guamannya di Raub baru-baru ini.

Harris berkata, beliau ada mendengar bahawa tindakan melarang aktiviti PR di Felda adalah bersandarkan kepada Seksyen 34 Akta Group Settlement Area (GSA) yang kononnya memperuntukkan kuasa pengurus rancangan.

Di bawah Seksyen 34. 2 (b) menyebutkan: “that upon such declaration being made, the area shall vest in the development authority” iaitu bahawa apabila perisytiharan dibuat, kawasan itu hendaklah terletak hak pada pihak berkuasa pembangunan.

“Barangkali inilah tafsiran yang dibuat kononnya terdapat kuasa pengurus rancangan.. Cuba kita faham betul-betul perkataan ‘vested’ iaitu letak hak. Kalau kita faham letak hak ini, kita kena faham fungsi Felda. Felda apabila kenal pasti satu kawasan untuk dimajukan, maka agensi itu akan mohon kepada kerajaan negeri sebagai pemilik tanah.

“Seterusnya negeri akan letak hak kepada Felda atau pengurus rancangan untuk mengurus, untuk memilih peneroka, menjaga kebajikan peneroka dan sebagainya kerana tanah itu masih milik negeri.


“Bahkan kalau kita tengok konsep ini, peneroka mempunyai hak yang lebih berbanding Felda. Apabila peneroka membayar CAC (bayaran premium, upah ukur dan batu sempadan) maka dia sudah boleh kaviet, sedangkan Felda tidak ada hak itu,” katanya.

Felda tiada kuasa, bukan pemilik tanah

Jadi apa-apa larangan yang dikeluarkan oleh Felda adalah salah di sisi undang-undang. Sebab Felda bukan pemilik tanah, dia agen pengurusan tanah. Siapa yang keluarkan dokumen hak milik? Bukan Felda tetapi kerajaan negeri, berdasarkan Perkara 20 Perjanjian Peneroka dengan Felda. Felda tidak ada kepentingan benificial dan tidak ada kepentingan legal.

Jelas Harris, kalaupun beliau silap mentafsir kuasa-kuasa pengurus di bawah Seksyen 34 Akta GSA itu, tindakan melarang rakyat Malaysia memasuki Felda itu tetap tidak sah dan terbatal berdasarkan Fasal 4 Perlembagaan.

Fasal 4 di bawah undang-undang utama Persekutuan menyebutkan menyebutkan dengan jelas: (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

“Perlembagaan Persekutuan digubal pada tahun 1957 sedangkan Akta GSA pada tahun 1960, jadi terbatal. Sebab itu saya tegaskan perbuatan melarang pihak bukan proUmno masuk itu tetap bertentangan dengan Fasal 9 bersandarkan Fasal 4 dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

“Jadi saya seru kepada pihak Felda atau Umno atau yang berkaitan dengannya, hentikanlah trend menyekat pembangkang masuk itu kerana ia sangat bahaya.

“Cuba kita bayangkan jika sekiranya Perdana Menteri Malaysia pergi ke negeri-negeri PR kemudian dihalang. Kalau di Kedah, di Kelantan, di Pulau Pinang dan Selangor BN adalah pembangkang. Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Jadi hormatilah undang-undang,” tegasnya.

Harris berhujah, tindakan menghalang PAS atau Kembara Oren itu lahir daripada kejahilan terhadap undang-undang negara. Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Fasal tersebut menjelaskan (a) Setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara; (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata; (c) semua warganegara berhak untuk menubuhkan persatuan.

Parti politik itu ialah persatuan setelah diluluskan Pendaftaran Pertubuhan. Jadi apakah salahnya pemimpin PAS datang untuk bertemu dengan orang-orang PAS, untuk berdialog dengan orang-orang PAS. Begitu juga dengan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) berhak untuk bertemu dengan ahli-ahli persatuan mereka.

Semua persatuan berhak temui ahlinya

“Janganlah jadikan undang-undang itu dijadikan sebagai bahan politik. Biarkanlah pengamal undang-undang yang bercakap tentang undang-undang. Jadi yang jelasnya perlembagaan membenarkan sesiapa saja bergerak ke mana-mana termasuk menemui ahli-ahlinya,” jelas Harris.

Sebab itulah Harris mencadangkan supaya parti-parti pembangkang pergi ke mahkamah dan meminta satu perisytiharan daripada mahkamah tinggi bahawa semua halangan tidak sah kerana bertentangan dengan Fasal 9 Perlembagaan Persekutuan. Melalui perisytiharan itulah yang boleh digunakan untuk didakwa kerana menghina ke mahkamah.

Beliau yakin mahkamah akan keluarkan perisytiharan itu kerana mahkamah tidak akan tergamak melacurkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai Rela yang dipergunakan untuk menyekat kemasukan PR ke tanah rancangan, Harris berkata ia amat bercanggah dengan tujuan asal penubuhan Rela. Rela itu sendiri merupakan ‘makhluk yang wujud kerana ciptaan akta’.

Rela sebagai penjaga ketenteraman tidak boleh bertindak di luar daripada undang-undang. Setiap warganegara Malaysia sama. Dalam Fasal 8 Pelembagaan Persekutuan dalam bab kesamarataan: Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

“Jadi tidak ada istilah orang BN mendapat layanan istimewa dan orang-orang PR dibiarkan aniaya,” ujar Harris.

Mengenai arahan larangan memasang bendera di dalam Felda, ia juga satu diskriminasi dan salah guna kuasa. Bendera PAS PKR dibuang bendera BN dikekalkan.

“Kita kembali kepada Fasal 8, setiap orang sama di sisi undang-undang. Kenapa tak sama dalam kes ini? Semua itu penting kita tahu. Sebab ini sebenarnya hak kita untuk bergerak, untuk bersuara dan hak untuk hidup.

“Mungkin ada yang kata mereka halang kerana takut orang-orang PR atau Kembara Oren mahu kucar-kacirkan penduduk. Jenayah belum berlaku, tidak apa-apa yang. Andaian tidak boleh dipakai. Takkan saya tak boleh masuk untuk jumpa ahli saya. Kalau saya ganggu, mungkin itu satu kesalahan. Itupun satu kesalahan kecil,” tegasnya.

Apa kesannya kalau perkara ini tidak dibendung, undang-undang itu tidak dipertegaskan. Apa kesannya kepada masyarakat akan datang?

Harris menambah, jika semua orang yang mencabul undang-undang dibiarkan saja, akhirnya undang-undang negara ini tidak akan dihormati lagi dan negara akan jadi huru-hara.

Katanya, amat tidak wajar hanya kerana ada pihak yang mahu menyekat maklumat daripada disampaikan kepada semua orang, maka dihalang masuk Felda. Ini nampak kecil, tetapi kesannya besar terutama melibatkan hak parti-parti politik untuk berkempen nanti menjelang pilihan raya nanti.


Monday, January 14, 2013

Isu Najib-Altantuya meletup di Australia

KUALA LUMPUR 14 Jan: Akhbar Australia, The Age meramalkan skandal pembunuhan Altantuya Shaariibu yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjejaskan peluang Umno BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Najib menafikan penglibatannya, tetapi dakwaan tersebut tidak akan hilang. Internet di Malaysia sedang ‘panas’ dengan pendedahan seorang ahli perniagaan yang tidak berpuas hati dengannya, Deepak Jaikishan, yang mempunyai hubungan dengan Umno,” tulis portal akhbar itu semalam.

Menurut akhbar berkenaan, pendedahan Deepak juga merupakan sebahagian usaha untuk membongkar misteri pembunuhan warga Mongolia itu pada 2006.

Akhbar itu turut mengaitkan pembelian dua kapal selam dianggarkan bernilai USD2 bilion pada 2002, ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.

The Age turut mengaitkan hubungan Abdul Razak Baginda, yang dituduh membunuh Altantuya namun dibebaskan mahkamah pada 2009.

“Antara tuntutan yang dibuat oleh Deepak seperti dinyatakan kepada pembangkang dan laman web bebas adalah bukti akuan bersumpah pada 2008 oleh penyiasat, (P) Balasubramaniam yang menyatakan Najib mempunyai hubungan seksual dengan Altantuya.

“Terdapat perbalahan dalam Umno yang berkuasa dalam negara selama lebih 50 tahun, kaji selidik terbaru menunjukkan populariti Najib menurun pada paras paling rendah dalam 16 bulan.

“Sebahagian penganalisis berkata, PRU kali ini akan menjadi cabaran terbesar kepada pemerintahan Umno. Najib sendiri mengatakan ia sebagai ‘titik penentu nasib rakyat dan negara’,” akhbar itu dipetik.